JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Tuesday, March 17, 2009

Mutiara Kata 2

" Mukmin itu jiwanya damai , tak mudah tergoncang oleh ujian. Baginya ujian sebagai Tarbiyah dari Allah , tanda kasih sayangNya , jua penghapus dosa..."

Abang Khalid Al-Walid

Rasulullah S.A.W bersabda , " Setiap keletihan , penyakit , kegelisahan , perbuatan jahat manusia dan kerisauan yang menimpa seseorang muslim sehingga duri yang mencucuknya sekali pun, semua itu akan menyebabkan Allah menghapuskan dosa - dosanya."

(Riwayat Al - Bukhari dan Muslim )

Kakak

"Mulakan hari kita dengan bismillah , jadikan setiap apa yang berlaku sebagai tarbiyah , di atas setiap ujian jangan kita berasa resah , kerana itu tanda Dia mahu berkeluh kesah pada Nya."

Ustaz Muhtad

"Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada masa muda untuk bergembira dan suka - suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadah kepada Allah ."

Sahabatku , Ahmad Faiz

Rasulullah S.A.W bersabda , " Amat menakjubkan kehidupan orang mukmin , seluruh urusannya membawa kebaikan .Sekiranya dia mendapat kegembiraan maka dia bersyukur dan dia mendapat kebaikan. Sekiranya dia ditimpa kesusahan dari ujian dan bencana , dia bersabar dan dia mendapat kebaikan. Keadaan ini tidak ada dalam kehidupan manusia lain kecuali dalam kehidupan orang mukmin sahaja ."

Hamizan

Tuesday, February 24, 2009

GELIGA ' 08 in MeMOry

Tatkala aku membaca message dalam inbox email aku , aku tertarik dengan luahan hati yang disampaikan oleh abg Ali Irfan. Aku tertarik dengan sesuatu yang berkaitan dengan tempat kediamanku sendiri , Pulau Langkawi. Bercakap mengenai Program GELIGA membuatkan aku terkenang ketika kali pertama program tersebut diadakan di tempat yang sama.Cuma bezanya kali ini aku tak berkesempatan untuk mengendalikan program ini kerana berada di Melaka , yang ada hanyalah sahabat-sahabatku yang berkhidmat di Asrama Haluan Penyayang sahaja yang meneruskan perjuangan ini.

Sememangnya aku sendiri tak pernah menjangkakan adanya program ala KMK akan dibuat di pulau yang kecil ini. Ketika itulah aku merasai buat pertama kalinya mengendalikan program yang sebesar ini bersama-sama dengan keluarga tercinta. Apa yang lebih membanggakan aku lagi adalah aku bukan sahaja berseorangan di sini, sebaliknya Allah telah menyusun salah seorang rakanku ketika di zaman aku pra sekolah seterusnya bersekolah rendah bersama - sama , kini berada di atas jalan DnT ini bersama-sama dengan sahabatnya yang lain.Itulah antara nikmat yang aku tak dapat bayangkan.Aku sendiri tidak pernah membayangkan akan terjadinya perkara seperti ini.


Sememangnya aku sendiri tak pernah menjangkakan adanya program ala KMK akan dibuat di pulau yang kecil ini. Ketika itulah aku merasai buat pertama kalinya mengendalikan program yang sebesar ini bersama-sama dengan keluarga tercinta. Apa yang lebih membanggakan aku lagi adalah aku bukan sahaja berseorangan di sini, sebaliknya Allah telah menyusun salah seorang rakanku ketika di zaman aku pra sekolah seterusnya bersekolah rendah bersama - sama , kini berada di atas jalan DnT ini ......



Di sini jua aku ingin berkongsi sebahagian gambar kenangan semasa Program GELIGA yang pertama diadakan di Langkawi.























Tuesday, February 17, 2009

Memang Allah Sengaja..




Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
dapat menjadi penilai yang baik


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang
sentiasa mengharapkan pertolongan Allah


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
mendapat kasih sayang yang terbaik
khas untuk diri kita


Memang sengaja Allah menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
sedar bahawa Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat
untuk kita dan kehidupan kita pada masa hadapan


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
dapat mengutip pengalaman yang tak semua
orang berpeluang untuk mengalaminya


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
jadi manusia yang hebat jiwanya


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
lebih faham bahawa cinta yang terbaik
hanya ada bersama Allah


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YANG TAK

SELAMANYA KEKAL.....

Sunday, February 15, 2009

Tragedi ...


Seperti malam – malam kebiasaannya , aku akan mengarahkan semua penghuni asrama masuk ke kelas prep sebaik selesai saja solat Isya’. Pada malam itu , aku terpaksa berada di dalam pejabat kerana ada tugas yang perlu disiapkan. Muiz , pada waktu itu berada bersama – sama dengan aku berada di dalam pejabat , bersama – sama menyiapkan tugas yang perlu.Aku hanya meminta pelajar- pelajar yang lebih tua untuk mengawal suasana pada malam tersebut. Ketika aku sedang asyik menaip sesuatu ke dalam komputer , tiba – tiba ,
"Ya Allah ! Allahuakbar !!! " jeritan yang datang dari arah luar mengejutkan aku. Hati aku tiba – tiba merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Sangkaku mereka melakukan sesuatu di luar sana .

"Ya Allah ! Allahuakbar !!! " jeritan yang datang
dari arah luar mengejutkan aku. Hati aku tiba – tiba merasakan ada sesuatu yang
tidak kena. Sangkaku mereka melakukan sesuatu di luar sana .

Jeritan tersebut kedengaran makin dekat , dan dari jauh , terdengar seperti seseorang yang sedang memikul sesuatu yang berat dan sedang dalam keadaan tergesa – gesa berlari . Muiz yang berada paling hampir sekali dengan muka pintu cepat-cepat menjenguk keluar , ” Ya Allah , apa yang hampa buat ni ,” sebaik saja mendengar keluhan Muiz , aku bingkas bangun dan meluru ke muka pintu , dan sejenak sahaja aku ingin menjengah keluar , aku tergamam seketika apabila Faizul muncul di muka pintu dengan mendukung Azhari yang berlumuran darah di kepala. Darah yang mengalir laju bagai air paip yang bocor menyebabkan aku kaget , ” Ya Allah , apa dah jadi ni ,” dan tidak semena – mena , terbit rasa kekesalan dan bimbang di dalam hati.Sepanjang hidupku , tak pernah aku rasa tersangat menyesal dan takut seperti saat itu.

Azhari dibawa masuk segera ke dalam pejabat dan diletakkan di atas lantai. Muiz lantas mengarahkan beberapa orang pelajar lain mencari sesuatu bagi menghentikan pendarahan di kepala Azhari. Koyakan yang terbuka di bahagian kepala menyebabkan cecair merah pekat itu seolah – olah tidak mahu berhenti dari terus mengalir .Melihat saja keadaan Azhari yang semakin parah , aku teringat Mak Cik Idah yang berada di dewan makan ketika itu. Aku lantas mendapatkan Mak Cik Idah di dewan makan. Mujur sahaja Mak Cik Idah memang pandai dalam perubatan tradisional ini. Mak Cik Idah mengarahkan kami mengangkat Azhari di hadapan dewan makan. Mak Cik Idah seterusnya mengarahkan baju Azhari ditanggalkan , dan perkara pertama yang diarahkan adalah meminta Azhari mengeluarkan cecair yang terdapat di dalam hidung bagi mengelakkan simptom darah beku. Berbekalkan sedikit bacaan doa dan ayat Al-Quran , Azhari kemudiannya dibasahkan dengan air paip yang sejuk bagi mengecutkan sel – sel kulit kepala dan dapat mengecilkan sedikit bukaan di kepala Azhari.Aku kemudiannya diminta oleh Mak Cik untuk meletakkan gel Daun Lidah Buaya di tempat berlakunya pendarahan.Fungsi gel ini sebenarnya berperanan seperti gamat dimana ia akan memperbaharui sel-sel yang mati dan akan berfungsi sebagai penghubung sel –sel yang terpisah . Dengan berhati – hati aku menypu sedikit demi sedikit gel tersebut . Rasa menyesal dan sayu terbit di hati tatkala mendengar bunyi rintihan Azhari menahan kepedihan.

Pada malam itu , Azhari tidur di dalam bilik warden , ditemani dan diawasi aku sendiri. Sengaja aku tak menggalakkan Azhari tidur di biliknya, khuatir terjadi apa-apa. Pada mulanya , aku bercadang untuk menghubungi Ustaz Taufiq , tetapi memandangkan malam yang semakin larut , aku tidak berniat untuk mengganggu masa rehat beliau.Mungkin disebabkan pendarahan yang berlaku , Azhari kelihatan cukup letih dan dia tertidur dengan nyenyak sekali. Sepanjang malam , aku tak dapat melelapkan mata memikirkan kejadian pada malam tersebut. Aku mula memikirkan apa yang patut aku khabarkan kepada Ustaz dan Ustazah keesokannya. Semakin lama aku berfikir , kian lama , mataku kian berat dan akhirnya aku terlelap dibuai mimpi.

Monday, January 26, 2009

Sunday, January 18, 2009

Bermulanya tugas...

Bangunan sekolah tersergam indah




Apa nak buat ni ......?


Buku rancangan PnP dan buku subjek nak kena ajar..


Aku agak terkejut ketika Ustazah Asiah menyerahkan jadual kelas seorang bekas Ustaz yang sudah berpindah kepada aku sambil berkata , “ Anta mengajar boleh Firdaus” . Seingatku aku ke sini hanya sekadar sebagai seorang warden,itu pun aku hanya menggantikan sebentar sahabatku , Faiz yang masih belum datang kerana ada urusan keluarga , tak lebih dari itu. Pakaian untuk mengajar pun tidak dibawa.Gelabah jugak aku dibuatnya.
Malam itu agak sukar untuk aku melelapkan mata , memikirkan apa yang bakal aku lakukan esok. Bermacam-macam perasaan yang bermain di mindaku ; gelisah, seronok , sedih , semuanya bercampur baur di benak pemikiranku, namun aku cuba kawal dan tenangkan minda , dan mujur sahaja ada kata-kata semangat yang diberi oleh Ustaz Muhtad pada petang tadi melalui sistem pesanan ringkas.Aku membelek kembali pesanan tadi dan aku tersenyum sendirian pabila memikirkan , sememangnya tepat sekali pesanan tersebut dengan suasana yang aku hadapi ketika itu.

Pada paginya , aku lebih banyak mengadakan sesi suai kenal bersama-sama dengan pelajar-pelajar yang bakal aku didik.Sengaja aku tidak memulakan sesi pembelajaran pada hari itu kerana aku sendiri ingin menyesuaikan diri aku dengan suasana selaku seorang guru.Dimulakan dengan pelajar sekolah rendah hinggalah pelajar sekolah menengah , kesemuanya aku gunakan pendekatan yang berbeza.Kalau dengan pelajar sekolah rendah ,aku akan minta mereka untuk melukis selesai sahaja sesi suai kenal , saja , habis modal katakan. Kalau dengan pelajar sekolah menengah , aku berikan mereka sedikit briefing tentang matapelajaran yang akanku ajar.Pada hari pertama saja , bermacam-macam kerenah dan celoteh nakal yang aku jumpa, pening kepala dibuatnya,namun aku cuba sesuaikan suasana tersebut dengan diri aku.

Selesai saja hari pertama aku bertugas , aku sudah cukup keletihan , dan keletihan tersebutlah yang menyedarkan aku betapa tanggapan aku selama ini terhadap kerjaya mulia ini nyata meleset sama sekali. Sangkaku pekerjaan ini bukannya susah dan meletihkan, tetapi apabila aku sendiri yang menjalankan tanggungjawab ini, baru aku sedar tanggungjawab untuk mendidik hamba Allah bergelar manusia ini bukanlah sesuatu yang mudah dan sememangnya cukup meletihkan.Ini baru hari pertama, bagaimanalah dengan guru – guru yang mengajar sejak berpuluh-puluh tahun lamanya dari aku.Keletihan aku jualah yang mengingatkan aku kepada seorang warden yang cukup aku hormati ketika di bangku sekolah menengah dahulu, Ustaz Mahadzir .Aku tidak dapat membayangkan betapa tabahnya beliau dalam menguruskan asrama di samping menjadi tenaga pengajar di sekolah. Sedangkan aku yang menjaga sekelompok pelajar ini pun tidak terdaya, inikan beliau yang menjaga beratus-ratus orang pelajar. Ya Allah, hanya Engkau sahaja yang memahami betapa tabahnya beliau……

Monday, January 5, 2009

Tinta seorang warden...


Tahun 2008 sudah beberapa hari meninggalkan kita.Setiap insan pasti mempunyai seribu satu kenangan serta memori suka dan duka yang terpahat utuh dalam diri masing-masing .Namun apa yang pasti , setiap yang berlalu pasti akan tersimpan dalam lipatan sejarah yang tak mungkin akan berulang kembali.

Bagi diriku , tahun 2008 merupakan tahun yang paling bermakna buat aku. Tahun inilah yang mengajar aku erti dan cabaran sebenar dalam kehidupan selaku hamba Allah yang punya banyak kelemahan.Tahun ini jualah yang mematangkan lagi aku dalam melakukan pilihan serta membuat keputusan dalam sesuatu perkara.

Aku memulakan tahun 2008 aku dengan melakukan sesuatu yang tak pernah aku bayang dalam hidupku.Alhamdulillah, Allah telah memilih aku untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang warden di sebuah sekolah agama rakyat yang terletak di Changloon.Mungkin bagi insan lain ia adalah sesuatu yang biasa , tetapi bagiku , tanggungjawab inilah yang menyedarkan aku tentang dunia sebenar, tentang tanggungjawab seorang guru, serta erti sebenar kasih sayang dalam hidup ini.

Sepanjang aku berada di sana , begitu banyak pengalaman yang aku lalui dan timba.Dengan kerenah pelajarnya, ibubapanya serta bermacam-macam lagi perkara menjadikan ia pengalaman yang tak akan dilupakan sepanjang hayatku.Di sinilah segala pengalaman serta ilmu yang aku ada selama berada di lubuk tarbiyah teruji.Bagaimana praktikalnya aku dapat melaksanakan dakwah dan tarbiyah yang aku lalui dalam mendidik insan-insan yang datang dari latarbelakang yang berbeza,bukan seperti di MATRI, di mana suasana biah solehah yang terbina mungkin memudahkan lagi proses merawat jiwa-jiwa insan yang berada di dalamnya. Ada di antara mereka yang masih tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik, ada juga yang datang dari keluarga yang bermasalah, dan ada juga yang datang dari keluarga yang susah.Namun apa yang pasti, cabaran yang aku lalui ini telah menyedarkan aku betapa beruntungnya hidup yang aku miliki, walaupun datang dari keluarga yang sederhana namun aku tetap mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya..... (bersambung)
bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite