JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Tuesday, July 26, 2011

Siapa sebenarnya saya?




Alhamdulillah, baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri satu seminar berkaitan pendekatan genetik kepada masyarakat umum yang dianjurkan oleh Persatuan Genetik Malaysia. Walaupun saya bukanlah seorang yang berpengalaman dalam bidang ini, namun dengan sedikit pemahaman tentang Bahasa Inggeris dan Sains, dapat juga saya mengikuti setiap bait kata-kata pembentang kertas kerja yang sememangnya berbahasa Inggeris.

Dalam kebanyakan pembentangan, ada satu perbincangan yang cukup menarik perhatian saya. Tentang lembu. Ya, tentang lembu. Menurut si pembentang, pada masa kini terdapat pelbagai spesies lembu yang boleh didapati di Malaysia, seperti Brahman, Kedah Kelantan, dan juga kacukan komersial Australia. Semuanya ada sifat-sifat serta karakter masing-masing.

Apa yang menarik perhatian saya apabila si pembentang mengeluarkan kenyataan,

"Kita terlalu sibuk dengan menghasilkan kacukan-kacukan untuk menghasilkan spesies baru, tetapi kita tidak pernah meningkatkan pengeluaran dan kualiti spesies baka asal. Dan kita perlu sedar bahawa spesies ini semakin hari semakin berkurangan dalam populasi di negara kita. Kita takuti suatu hari nanti, spesies ini, spesies milik Malaysia ini sendiri, akan terus pupus dan hanya tinggal dalam sejarah sahaja".

Saya tersenyum sebentar dengan kenyataan professor tersebut. " Hai, masalah manusia pun jadi masalah lembu" gumam hati kecil saya,bahawa hakikat manusia yang hilang tentang identiti mereka pada ketika ini. Lihat sahaja sekeliling kita, pada golongan remaja khususnya. Kadang-kadang simpati melihat penampilan, sikap dan mentaliti yang dibawa, seperti layang-layang yang putus tali, tidak tahu ke mana arah hidupnya. Tidak merasai bangga dan berpegang teguh pada identiti asal mereka. Terbawa-bawa dengan identiti pihak lain, maka sedikit demi sedikit, identiti Islam itu hilang dikikis arus.


Apakah kesan kepada genetik asal, apabila dijajah genetik luar ...

Terlampau pekat kacukan dan campuran genetik jahiliyah dalam fitrah kehidupan hingga mengikis sedikit demi sedikit genetik Islam yang menjadi fitrah kehidupan, dan akhirnya genetik Islam itu hilang dari baka kehidupan. Apa yang sepatutnya haram, dilihat sebagai trend masa kini, apa yang halal, seolah-olah perkara ketinggalan zaman yang harus diperbaharui seiring dengan era modenisasi. Bagi mereka yang tidak punya asas yang benar tentang Islam, maka pegangannya akan goyah, lantas bermulalah episod kelahiran kehidupan yang baru. Tidak bangga lagi dengan identiti Islam.... Nauzubillahi min zalik.



Mereka ini seperti umang-umang, tidak punya kediaman asal dan tetap, hanya menumpang pada bekas-bekas atau pada cengkerang yang dijumpai. Melihat kekuatan mereka di atas kehebatan bekas yang mereka duduki, sedangkan realiti dalaman mereka, ternyata lembut serta lemah dan mudah sahaja dicederakan musuh. Seamatan mereka, 'rumah' mereka itu cantik, sedangkan ramai yang mencemuhnya.

Namun, siapa kita untuk mencemuh mereka, sedangkan Tuhan Maha Mengasihani dan Memberi Hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.Pandanglah mereka dengan pandangan yang penuh kasih sayang, kerana mereka itu juga saudara kita. Bersyukurlah pada Allah kerna nikmat yang diberikan kepada kita tidak diterima oleh mereka. Keluarga muslim, masyarakat beragama, sekolah yang dipenuhi dengan suasana tarbawi, itu nikmat yang cukup besar diberikan Allah. Layanilah kerenah mereka, kerana mereka merupakan mangsa keadaan yang cukup mendesak pada hari ini. Jika disoal selidik setiap individu, pasti jauh dalam lubuk hati mereka tidak mahukan kehidupan yang huru-hara, dan yang pasti kehidupan bahagia serta indah sahaja yang diimpikan.
bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite