JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Friday, December 31, 2010

The new chapter..


Perginya sebuah lagi kehidupan,

Namun masih ada kehidupan baru yang bakal mendatang,

Bakal dicorakkan dengan sebaiknya



Lupakan kisah catatan yang lama,

Mulakan pengembaraan yang baru,



Semoga menjadi seorang hambaNya yang sebenar,

Jua bermanfaat kepada hamba-hambaNya di muka bumi ini,



Tanamkan benih keazaman yang baru,

Mengiringi janji perjuangan Hijrah yang baru

Dalam kembara mencari Redha Penciptamu....

Ameen..



SELAMAT TAHUN BARU 2011......








Tuesday, November 30, 2010

Wahai Pemuda Islam




"Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah…"


"Sesungguhnya, sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang di jalannya, semakin bersemangat dalam merealisasikannya, dan kesiapan untuk beramal dan berkorban dalam mewujudkannya. Sepertinya keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karektor yang melekat pada diri pemuda, kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertaqwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah kemahuan yang kuat. Itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda.”



Imam As-Syahid Hassan Al Banna






Tuesday, November 16, 2010

Buat renungan...... ( sambungan)

Allah menjadikan semua ciptaanNya dengan seribu satu rahsia dan kelebihan yang tidak akan terungkai melainkan hanya dengan izinNya sahaja. Fathi Yakan di dalam bukunya bertajuk " Apa Ertinya Saya Menganut Islam" menyatakan,

" Saya mestilah mengimani dan meyakini bahawa Allah tidak mencipta alam ini tanpa tujuan atau untuk bermain-main sahaja, kerana perbuatan sia-sia dan main-main yang tidak mempunyai tujuan itu tidak layak bagi Allah yang bersifat dengan sifat -sifat kesempurnaan..."

Di dalam setiap kejadian makhluk dan setiap penciptaanNya itu pasti mengandungi seribu satu hikmah dan pengajarannya jika dihayati secara mendalam.

Berbalik kepada kulit telur pada post sebelum ini...

Kulit telur adalah selaput luar bagi semua jenis telur haiwan yang memberi bentuk dan melindungi isi kandungannya dari terdedah kepada sebarang bakteria atau habuk untuk masuk ke dalam telur, tetapi membenarkan udara dan kelembapan melaluinya. Setiap spesies haiwan mempunyai struktur telur mereka yang berbeza - beza dan hampir 94 - 97 peratus diperbuat daripada kalsium karbonat.

Kalsium karbonat adalah sejenis mineral di antara mineral - mineral yang wujud di muka bumi ini dan kandunganya atau sumbernya adalah melebihi dari kecukupan kegunaan manusia. Tidak hairanlah jika mineral ini telah digunakan sejak zaman purba lagi, sebagai contoh; monumen lambang cinta sejati, Taj Mahal dan juga monumen mempamerkan keagungan, Piramid Giza di Mesir. Tanpa kita ketahui, sebenarnya kalsium karbonat terdapat dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, yang paling dekat dengan kita, menjadi medan untuk kita menulis, kertas. Oleh kerana sifatnya yang putih, ia digunakan dalam proses penghasilan kertas jenis tidak telap.
(tidak dapat ditembusi oleh cahaya).

Tidak hairanlah jika mineral ini telah digunakan sejak zaman purba lagi, sebagai contoh; monumen lambang cinta sejati, Taj Mahal dan juga monumen mempamerkan keagungan, Piramid Giza di Mesir.

Selain kegunaannya dalam industri penghasilan kertas, mineral ini juga digunakan jua dalam kehidupan kita, sebagai bahan dalam pembinaan tempat untuk kita berteduh (rumah). Kalsium karbonat menjadi elemen penting dalam pembuatan konkrit, batu bata dan juga sebagai jubin.
Mungkin kita juga tidak sedari, kalsium karbonat juga digunakan dalam perubatan melalui penghasilan tablet supplemen, digunakan untuk pesakit osteoporosis ( sejenis penyakit tulang ), melegakan pedih ulu hati dan juga sebagai rawatan homeopati. Mineral ini juga digunakan dalam penghasilan ubat gigi.

Apa kaitannya dengan kulit telur pula? sedangkan kulit telur bukanlah sejenis mineral?

Ya, persoalannya telah terjawab pada petikan sebelum ini, di mana kandungan telur itu mengandungi 94-97 peratus kalsium karbonat, menjadikannya sebagai salah satu sumber yang murah dan tidak ternilai bagi mereka yang mengetahuinya. Jika dibandingkan dengan mineral yang ada, pasti tidak akan timbul masalah jika di suatu masa nanti mineral ini telah habis dan memerlukan jutaan tahun untuk mendapatkan kembali mineral yang sama. Jadi di sinilah penyelesaiannya, dan sememangnya para saintis sendiri pun sedang menggunakan bahan ini dalam kajian mereka.

Jika hendak dihuraikan satu persatu kegunaan dan kepentingan mineral atau kulit telur ini, mungkin tidak dapat tercapai sepenuhnya, tetapi apa yang ingin dihighlightkan disini, apa yang ingin dikongsikan dalam perkongsian yang sedikit ini, adalah kebesaran Allah dan kebijaksanaan Rabbul A'lamin. Allah tidak akan mensia-siakan setiap apa yang diciptakanNya dari sebesar-besar ciptaan sehinggalah sekecil - kecilnya, melainkan sentiasa dengan kebesaran dan rahsia yang perlu kita sama - sama kaji dan teliti, hayati dan fikirkan, serta sentiasa merasai akan kekuasaanNya dalam setiap ciptaanNya.

Tuesday, November 2, 2010

Buat renungan....

Alhamdulillah, setelah hampir dua bulan tidak dapat meng'update' blog, Allah masih lagi memberi kekuatan dan kesempatan buat saya menyambung kembali perjuangan ini. Laptop rosak, kesibukan menyiapkan thesis final year, assignment dan juga bermacam2 ujian datang menguji. Alhamdulillah, hanya Allah yang mampu beri kekuatan kepada diri yang lemah ini.

Untuk membuka kembali lembaran ini, saya ingin berkongsikan sesuatu yang mungkin memberi pengajaran bersama - sama untuk difikirkan, cuba hayati gambar - gambar ini,


Sebiji telur, kita ambil dan basuh





Kemudian kita akan pecahkannya






kita akan gorengnya sehingga masak



Isi telur yang dimasak akan dimakan, kulitnya pula ?

dimakan ?

dibuat perhiasan ?

atau

DIBUANG SAHAJA.....


Saya akan biarkan dahulu jawapannya, Insya Allah akan update kemudian....



Sunday, August 15, 2010

Fasa pertama itu Rahmat...

Alhamdulillah , Ya Tuhanku...aku bersyukur

By: Engineer Illahi

Alhamdulillah , pertama dan selamanya, marilah kita memanjatkan setinggi - tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana diberi kesempatan dan keizinan untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan barakah ini.

Kini, kita berjaya untuk berada di dalam fasa pertama iaitu fasa rahmat Allah S.W.T. Ya, Rahmat Allah itu sentiasa berada bersama - sama makhluk Nya bukan di dalam bulan ini sahaja, bahkan seluruh tahun itu Allah memberikan rahmatNya. Tetapi di dalam bulan Ramadhan mulia ini, Allah memberikan lebih lagi RahmatNya pada hamba - hambaNya yang berhajat kepadanya.

Rahmat Allah itu dapat kita perhatikan dalam kehidupan seharian kita sepanjang menjalani ibadah puasa ini. Bermulanya dari sahur , jika dilihat dan dihayati , berapa ramai umat Islam yang bangun untuk bersahur sedangkan pada hari kebiasaan , betapa susahnya mereka untuk bangun berIbadah pada Allah di tengah malam dan kadang - kadang terlepas untuk bersolat Subuh.

Di waktu senggang atau lapang, jika dilihat, ramai yang mengambil kesempatan untuk bertilawah Al -Quran , berzikir, solat sunat dan pelbagai lagi ibadah bagi mengambil peluang yang terhidang di bulan barakah ini.

Pada waktu petangnya pula , padang - padang permainan, tidak kiralah padang bola, court badminton, bola tampar, atau bola jaring, pasti akan di "kosongkan" sebelum Maghrib lagi, sedangkan di hari kebiasaan, selagi mentari tidak hilang di ufuk langit, selagi tidak kedengaran laungan azan, maka selagi itulah akan ada insan - insan yang meneruskan permainan mereka.
Masya Allah, bukankah itu juga merupakan Rahmat Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Bermacam - macam lagi Rahmat yang disediakan oleh Allah S.W.T bagi hambaNya sama ada yang tersirat mahupun yang tersurat. Semuanya disediakan untuk sama - sama difikir dan dihayati serta menjadi "trek" perlumbaan Ibadah bagi hambaNya yang dikasihi.Di sini ingin saya kongsikan sedikit amalan yang boleh dilakukan dalam memenangi "medal" Rahmat Allah ;

1) Tilawah Al - Quran

Bacalah Al-Quran walau dalam keadaan mana sekalipun, jika tidak mampu untuk menghabiskan satu juzu ' dalam sekali bacaan pun, jadikanlah tema " satu hari, satu juzu' " sebagai wasilah menyelesaikan 30 juzu' Al - Quran dalam menempuh bulan ini.

"Semuanya disediakan untuk sama - sama difikir dan dihayati serta menjadi "trek" perlumbaan Ibadah bagi hambaNya yang dikasihi....."

2) Solat sunat

Disamping menunaikan solat Fardhu secara berjemaah, lazimilah solat-solat sunat kerana ganjaran yang diterima dalam bulan ini menyamai dengan satu amalan Fardhu. Selain itu, solat - solat sunat ini juga berfungsi sebagai "penampal" bagi solat Fardhu kita yang tempang.Itulah pilihan kasih sayang yang diberi oleh Rabbul A'lamin kepada hamba - hambaNya dalam melengkapkan ketempangan yang ada.

3) Berzikir

Basahilah lidah dengan berzikir kepada Allah S.W.T. Puja dan pujilah ke atas Tuhan sekelian Alam ini. Jadikanlah zikir sebagai " the way of life " ( sentiasa berzikir dalam setiap saat ) agar "connection" dalam konteks hamba dan Tuannya tidak akan sesekali terputus. Berzikir itu bukan sahaja dalam erti kata lafaz seperti kalimah Subhanallah atau Alhamdulillah , tetapi dengan terdetiknya di hati kepada Allah itu jua menjadi zikir, berpadanan dengan makna zikir itu, iaitu mengingati.

Semoga dengan sedikit perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama , Insya Allah.

Sunday, August 8, 2010

Renungan buat Para Mujahid Islam .....


by : Engineer Illahi

Assalamualaikum,

Duduk berIman sebentar,

Ikhlaskan hatimu wahai insani ,
Dikala senyum ,
Dikala pilu ,

Ikhlas ?

Menghendaki keredhaan Allah dengan sesuatu amal , membersihkannya dari segala noda individual mahupun duniawi ,

Kenapa ?

Allah tidak akan menerima satu amal pun tanpa disertai dengan keikhlasan. Tanpa keikhlasan ini pula , suatu amal tidak akan diredhai di sisi Allah. Allah meredhai suatu amal salih secara langsung jika disertai dengan keikhlasan, terlepas dari syirik yang kecil mahupun besar, yang kelihatan mahupun yang tersembunyi. Dengan kata lain, mereka harus melepaskan kata hatinya yang beerti harus bergantung kepada Tuhannya. Dengan begitu Allah akan memberi kekuatan sebagai ganti kelemahan, memberinya keamanan sebagai ganti ketakutan, dan memberinya kecukupan sebagai ganti dari kemiskinan.

Senang ke ?

Wahai Insani, janganlah kamu menyangka bahawa mewujudkan ikhlas itu pekerjaan yang mudah, bahawa ikhlas itu boleh diperolehi setiap hati yang menghendakinya, dan bahawa ikhlas itu boleh diperolehi dengan usaha yang sederhana tanpa harus bersusah payah.

Bagaimana ?

Ketahuilah ,

" Ikhlas itu adalah suatu rahsia antara Allah dan hambaNya , yang tidak diketahui malaikat sehingga Dia mencatatnya, tidak diketahui ayatnya sehingga Dia merosakkannya dan tidak pula diketahui hawa nafsu sehingga Dia memesongkannya "

( Syeikh Al - Junaid )




Disebut Al - Qusyairi dengan sanadnya dari Rabb yang Maha Mulia , Dia berfirman ,

" Ikhlas adalah satu rahsiaKu, Aku memasukkannya ke dalam hati orang yang Aku cintai dari hamba - hambaKu"

Bolehkah aku mengadu Ikhlas ?

" Mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah merasa lemah"
( Muslim )

" Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepadaMu untuk tidak menyekutukan sesuatu yang kami ketahui daripadaMu dan kami memohon kepadaMu sesuatu yang kami tidak ketahui "

Monday, July 26, 2010

Suatu Kedatangan


Sesuatu sedang menghampiri kita...



Ramadhan Al - Karim ......


Insya Allah , dalam masa beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke dalam suatu bulan yang penuh dengan barakahnya , penuh dengan hikmahnya , penuh dengan keberkatannya. Di waktu inilah , pintu Syurga dibuka dengan seluas - luasnya , pintu neraka ditutup serapat - rapatnya , dan para Iblis serta Syaitan laknatullah akan dilucutkan jawatan , ' digari ' dari mengganggu insan kecuali nafsu mereka sendiri.



Ramadhan Al – Karim ,

ibarat madrasah bagi mereka yang berIman, ibarat taman – taman bunga buat mereka yang mengabdikan dirinya hanya kepada Rabbul A’lamin. Di dalamnya terkandung pelbagai tawaran hebat yang disediakan oleh Allah S.W.T kepada para hambaNya. Pelbagai bekalan yang dapat 'dicedok' dalam bulan Ramadhan itu sendiri. Dikatakan di dalam sebuah hadis , andai kata sekelian umat manusia mengetahui betapa besarnya hikmah di dalamnya , nescaya mereka akan berdoa agar setiap tahun itu dijadikan bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan , di datangkan oleh Allah S.W.T dengan satu pakej yang lengkap. Pada siangnya kita diajar untuk berpuasa dan menahan diri dari lapar dan tuntutan hawa nafsu kita sendiri. Puasa ibarat perisai bagi diri orang mukmin dalam menangkis diri mereka dari fitnah dan kejahatan. Berbandingkan dengan amalan lain , puasa mempunyai kelebihannya tersendiri. Dari Abu Hurairah mengatakan , Rasulullah S.A.W bersabda ,

“ Allah telah berfirman : Tiap –tiap amal anak Adam itu adalah untuknya, kecuali puasa. Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang akan memberi balasan dengannya. Puasa itu adalah perisai , maka apabila seseorang dari kamu berpuasa janganlah dia menyentuh isterinya , janganlah dia mencaci maki , janganlah dia berkata tidak menentu dan janganlah kamu membuat hiruk pikuk . Maka sekiranya dimaki oleh seseorang ataupun diserangi dengan kata – kata kesat , maka hendaklah dia berkata “Aku ini berpuasa ” . Demi Allah yang diri Muhammad di dalam genggamanNya , sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa di sisi Allah itu lebih harum dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa , dua kegembiraan akan dicapainya , yang pertama ketika dia berbuka puasa , dan yang kedua ialah waktu ia bertemu dengan Tuhannya . ”

Pada malamnya pula , kita dihidangkan dengan solat sunat Tarawih , mengajar kita agar sentiasa bersabar dan istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah.

Di samping itu , jika sama – sama dihayati iktibar dalam bulan ini , pasti kita akan menemui sirah dan peristiwa besar yang berlaku di bulan mulia ini. Ramadhan menjadi saksi keutuhan umat Islam berperang dalam peperangan Badar Al – Kubra , menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini di saat mereka berpuasa ,bertempur dengan penuh keImanan dan mencapai kemenangan. Di bulan barakah ini juga , peristiwa Nuzul Quran berlaku , iaitu penurunan Al –Quran sebagai panduan lengkap kepada umat manusia. Lailatul Qadar , suatu malam yang fadhilatnya lebih baik dari seribu bulan. Dijadikannya untuk umat Islam mengejar dan mencarinya sepanjang malam bulan Ramadhan. Masya Allah , betapa Pemurahnya Tuhan Sekelian Alam.

Perbanyakkanlah amalan kita sepanjang mengharungi madrasah Ramadhan ini, kerana ganjaran di bulan ini tidak ada lagi di bulan - bulan lain. Satu amalan sunat ibarat melakukan satu ibadat wajib , manakala satu amalan wajib dinaikkan kepada tujuh puluh amalan wajib. Sulamilah dengan bacaan Al –Quran , solat sunat , qiamullail , dan juga berzikir . Berdoalah agar kita mampu menggapai matlamat ketiga – tiga fasa di bulan ini , fasa pertama - rahmat , fasa kedua – keampunan dan yang terakhir adalah pelepasan dari azab neraka, dan tidak ada kejayaan yang lebih besar dalam kehidupan ini selain dari meraih Mardhotillah ( Redha Allah ).

Sama – samalah kita berdoa semoga Allah memberi kesempatan untuk kita bertemu semula dengan Ramadhan kali ini. Anggaplah bahawa inilah peluang terakhir kita untuk meraih semua ganjaran dari Allah dan sebagai mihrab penghapus dosa hamba yang lemah ini..Ameen


Sunday, July 25, 2010

Aku tak mampu....



“ Wei , poyolah, nak jadi baik pula”

“ Mana boleh kawan dengan dia dah la ni, kita ni jahat , dia alim”

“ Rilekslah, benda jahat ni hang bukan buat selalu , sekali sekala ja”

Begitulah di antara perkataan yang biasa kita dengar dari suasana sekeliling kita jika ada sesiapa pun yang ingin melakukan perubahan. Perubahan kepada yang lebih baik.Perubahan yang akan menetukan kejayaan seseorang di kemudian hari . Perubahan yang datang dari keazaman dan tekad yang tinggi , namun diranapkan hanya dengan perkataan remeh – temeh sebegitu.

Pernahkah kita bertanya, milik siapakah sebenarnya diri ini? Adakah milik tuan empunya itu sendiri atau milik sesiapa sahaja yang ingin memilikinya? Dipergunakan ibarat seperti sebuah robot yang menurut sahaja perintah tuan punya robot.

Tubuh dan akal yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T itu sebenarnya adalah amanah bagi setiap hamba-Nya dan tidak ada sesiapa pun selain Allah yang menjadi pemilik kepada tubuh tersebut dan dipinjamkan kepada ’tuan’ pemilik tubuh di dunia ini. Allah S.W.T berfirman dalam kitab suciNya

Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu merubah nasib mereka sendiri


Jika diperhatikan lebih teliti ayat ini , Allah telah memberi satu motivasi kepada hambaNya bahawa nasib atau masa depan seseorang itu sebenarnya terletak 100% di bawah pilihan insan itu sendiri. Sememangnya Allah telah menentukan jalan kehidupan kita , tetapi ingatlah firman Allah ,

Allah mengilhamkan jalan kefasikan dan ketaqwaan. Beruntung bagi yang mensucikannya , merugi bagi yang mengotorinya

Terpulang kepada kita untuk memilih jalan kita, kepada pengakhiran yang bahagia atau pengakhiran yang diseksa dengan azabNya. Jika kita mahu menjadi sesuatu , maka tidak akan sesiapa yang mampu menghalang. Jadilah seperti apa yang ingin kita jadi . Perubahan itu terletak kepada diri sendiri dan tidak akan ada sesiapa yang mampu merubahnya melainkan diri kita sendiri.

Disamping itu , berdoalah kepada Allah kerana tanpa bantuan dan keizinan dari Allah S.W.T maka sesuatu perkara itu pasti akan mustahil untuk berlaku. Jangan diendahkan apa yang hendak dikatakan oleh insan – insan yang lain kerana bukannya mereka berkuasa ke atas kita dan mereka tidak mampu menghalang kita jika kita sudah bertekad untuk melakukan sesuatu.Jangan putus asa andai di pertengahan jalan kita tersungkur , sebaliknya bangkitlah dengan penuh keyakinan dan jadikanlah kegagalan itu sebagai pemangkin kepada kejayaan kita pada masa akan datang.

Jangan sesekali membandingkan diri kita dengan insan lain, biarkan mereka dengan kelebihan mereka , kerana kita punya kelebihan kita sendiri. Sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan membebani seseorang itu melainkan hanya dengan kemampuan mereka sahaja.Hanya Dia sahaja yang lebih memahami rahsia kejadian hambaNya. Justeru , jadilah apa yang kita mahu , mimpilah seluas lautan yang terbentang membiru , setinggi awan di langit mega, dan teruskan perjuangan kita tanpa perlu lagi menoleh ke belakang..

Di sini ingin saya kongsikan sedikit kata – kata yang saya dapat dari sebuah video motivasi berbahasa English , sama – samalah kita renungkan.

“ Each one of us on this Earth has it ....

the ability to lead .... and inspire

Sometimes our work feels small and insignificant

But remember, a small ripple can gain momentum....

and build a current that is insurmountable

Begin with one small step ,

Don't let others stand in your way

Walk your own path

Some may laugh ... So what .... Many will follow

Don't ever give up…….

Be positive

What you think , is who you become

Dream…..dream big,

Feel it...

Believe it...

Achieve it...

Whatever your dreams are ....

GO FOR IT !”


Wednesday, June 30, 2010

Seusai Kembara Reunion Generasi 13


By : Engineer Illahi

Alhamdulillah, akhirnya program yang dirancang bersama – sama berjaya dilakukan dengan lancarnya.

Program reunion ini bermula di garisan titik tolak pengenalan sesama kami, tempat di mana kami semua menerima semaian tarbiyah Islamiyah yang pertama , tempat di mana bermulanya seribu satu kisah suka dan duka. Secara officialnya kami bermula sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat. Alhamdulillah , Allah memberi kesempatan untuk saya bertemu dengan mudir yang kami hormati Ustaz Dahlan. Di raut wajahnya terpancar kejernihan dan harapan buat kami para pemuda. Penyampaian yang disampaikan oleh Ustaz Rahim kemudiannya umpama memberi satu sinar kebangkitan buat diriku.

Pada petangnya , kami mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Generasi ke 13 MATRI dan pasukan bola sepak MATRI. Walaupun kalah 4 – 1 , namun itu bukanlah matlamat kami mengadakan perlawanan tersebut , sebaliknya hanya bermatlamatkan untuk mengeratkan ukhwah antara kami semua semula. Program seterusnya dijalankan di rumah Hamizan di Behor Pulai, dan penyampaian disampaikan oleh tuan rumah Pak cik Abdul Hamid , ayah kepada Hamizan serta oleh Pak Cik Ghazali , ayah kepada sahabat kami yang tidak dapat hadir, Umar Muhajir.

Keesokan paginya , selesai sahaja bersarapan dan berkemas , Generasi ke 13 , seramai 38 orang yang hadir , memulakan pengembaraan dengan bertolak ke Kuala Perlis menaiki bas MATRI. Kami tiba di pulau Langkawi pada jam 11.30 pagi. Sebaik sahaja selesai urusan mengambil van dan kereta sewa , kami bertolak ke destinasi pertama kami , Asrama HALUAN Penyayang Langkawi.

Setibanya kami di sana, ramai yang mengambil peluang untuk merehatkan diri sebelum meneruskan program seterusnya. Sebaik sahaja selesai makan tengahari , kami bersiap untuk ke gelanggang futsal. Kami dibahagikan kepada 5 kumpulan dan bermain secara liga. Selesai sahaja perlawanan , walaupun penat , namun kami tetap merasai bahang kehangatan ukhwah di antara kami. Terasa bagaikan sedang berada di MATRI dan bersama – sama kembali ke zaman persekolahan dahulu.

Penat bermain , kami mengambil peluang menyejukkan badan di Air Terjun Rekreasi Lubuk Semilang. Terasa hilang segala keletihan dek penangan kedinginan air Lubuk Semilang yang tenang mengalir tanpa sebarang pencemaran diiringi pula dengan kehijauan flora dan fauna yang masih tidak diusik daranya. Masya Allah , indahnya ciptaan Mu.

Program pada malamnya diteruskan dengan sesi barbeque yang diadakan di Asrama HALUAN Penyayang Langkawi, di mana pada asal perancangan , akan bersama dengan sahabat – sahabat Langkawi , tetapi kerana ada urusan yang lebih penting maka program tersebut hanya dijalankan sesama kami. Hikmah tidak dapat bersama – sama dengan pak cik – pak cik , kami mempunyai kelapangan masa untuk berehat disamping bersama –sama menyediakan barbeque pada malam itu.

Kembara Generasi 13 diteruskan keesokannya dengan program menaiki Cable Car Langkawi. Alhamdulillah , berkat kedatangan awal kami ke sana , kami mendapat satu tiket percuma dan memang tidak ramai pengunjung yang berada di sana. Sepanjang gondola ( gelaran bagi cable car ) bergerak menuju puncak Gunung Mat Chincang , pelbagai reaksi dapat dilihat dari sahabat – sahabatku.Ada yang gayat , maka berderailah gelak tawa melihat reaksi beliau. Sepanjang berada di puncak Gunung Mat Chincang , terpana sebentar melihat keindahan alam ciptaan Allah . Terbentang luas lautan yang membiru , terpasak kukuh bukit bukau dan gunung – ganang yang menjadi pasak bumi ini menjadi bukti keagungan kekuasaanNya. Kami juga sempat mengambil beberapa keping gambar kenang – kenangan di atas jambatan gantung. Saat menuruni puncak gunung , salah seorang sahabatku berkata , ” Macam ni rupanya pandangan dari mata seekor burung ” . Terngiang – ngiang kata –kata Ustaz Muhtad ketika program rehlah tarbawiku yang pertama bersama –sama adik – adik halaqatku ,

" Iktibar dari menaiki kereta kabel ini adalah , kita sebenarnya tidak ada sesiapa atau apa – apa untuk bergantung selain hanya kepada Allah semata –mata.Dengan tergantung hanya dengan sebatang besi pada tali sawat ini , tidak ada sesiapa yang mampu memberi keselamatan atau pun kemudaratan kepada kita melainkan Allah. " .

Sebaik sahaja tamat penjelajahan di cable car , kami terus ke Pantai Cenang untuk check – in di Grand Beach Resort. Pada mulanya, hanya 3 bilik yang tersedia dari 6 bilik yang ditempah kerana 3 lagi sedang dibersihkan. Selesai sahaja kerja pembersihan , kami semua memasuki bilik masing – masing. Program kami pada waktu petang itu adalah permainan pantai. Kebetulan kami membawa bola futsal yang dibeli kelmarin , dapatlah kami bermain bola pantai pada petang tersebut. Yang selebihnya turun mandi manda di pantai. Aktiviti malamnya pula bebas dan ramai yang mengambil peluang untuk keluar ke pekan Kuah dan ada juga yang mengambil peluang untuk berehat setelah seharian penat mengembara.


" Iktibar dari menaiki kereta kabel ini adalah , kita sebenarnya tidak
ada sesiapa atau apa – apa untuk bergantung selain hanya kepada Allah semata –mata.Dengan tergantung hanya dengan sebatang besi pada tali sawat ini , tidak ada sesiapa yang mampu memberi keselamatan atau pun kemudaratan kepada kita melainkan Allah. " .


Itu aktiviti bagi sahabat –sahabatku, lain pula ceritanya bagi diriku. Pada malam tersebut , saya terpaksa mengendalikan satu slot motivasi kepada pelajar tahun 4 dan 5 dari Sekolah Kebangsaan Batu Kurau , Perak yang asalnya diisi oleh ayah saya. Oleh kerana beliau berkursus di Kedah pada malam tersebut , ayah saya menyerahkan tugas tersebut kepada saya. Dibantu 4 orang lagi sahabat saya, Izzat Ibrahim , Hamizan , Hilmi dan juga Ihsan , Alhamdulillah , program tersebut dapat dijalankan dengan lancar. Sememangnya ia merupakan satu pengalaman yang berguna buat diri kami masing –masing dalam mengendalikan program sebegini.

Keesokan paginya , saya terpaksa bangun awal dan bergegas pulang kerana terpaksa menghantar ibu dan dua orang adik saya ke sekolah kerana ayah saya masih di Kedah. Pulang dari menghantar mereka , saya terus ke pantai bersama –sama sahabat – sahabat bermain bola dan mandi pantai. Subhanallah , terasa keindahan ukhwah itu di saat kami bersama – sama bergurau senda di pantai. Sebelum balik ke bilik , saya terpilih sebagai model arca Spinx ( tugu manusia berbadan singa di Mesir ) , menggunakan pasir. Kebas dibuatnya badan saya dek kerana terlalu lama duduk di dalam ’kubur ’ pasir tersebut.

Selesai berkemas dan check – out , kami bertolak ke pekan Kuah untuk membeli – belah barangan kenang – kenangan di Langkawi. Kemudian kami terus bertolak ke jeti untuk solat Zohor dan menaiki feri.

Sememangnya lumrah kehidupan , setiap pertemuan itu pasti dicemburui oleh perpisahan. Saat saya menghantar sahabat – sahabat menuju ke feri , sebak mula bertakhta di cerok hati ini, dan di saat saya bersalam dan memeluk sahabat – sahabat , seorang demi seorang , air mata mula bertakung , namun saya cuba mengawal. Entah mengapa , terasa teramat sedih dan terkilan kerana masa kami bersama dirasakan terlalu singkat. Tidak sempat untuk meluahkan kasih sayang sebenar seorang sahabat kepada sahabatnya...dirasakan tidak puas bersama walaupun hakikatnya kami pernah bersama, berkongsi suka duka , pahit manis memori di mihrab tarbiyah kami di MATRI. Entah bila lagi kami akan bertemu dan berkumpul sebegini.Ya Allah , berilah kekuatan kepada kami..

"Sahabatku , walaupun masa kita bersama teramat singkat pada amatanku , namun segala kenangan , memori , senyuman , celoteh di saat kita bersama , tak akan aku lupakan buat selamanya dan akan terpahat utuh di minda ini....Ameen"

p/s : gambar akan diupload kemudian



Siapakah Si Pemurah itu ?


By : Engineer Illahi

Kejadian 1

Pada malam itu , seperti kebiasaannya setelah selesai tempoh dua minggu aku menerima rawatan kemoterapi di Hospital Pediatrik Kuala Lumpur, aku serta ayahku menunggu bas untuk pulang ke Kuala Perlis sebelum menaiki feri ke Pulau Langkawi. Kebetulan pada malam itu , bas Transnasional yang kami naiki akan tiba pada pukul 11 malam , menjadikan setiap saat menunggu cukup boring bagiku. Bukannya tiada perkara nak dibuat , cuma tak tahu apa lagi hendak dibuat. Membaca buku , makan , membelek kedai – kedai , semuanya dah dibuat.

Aku duduk disamping ayahku setelah penat berdiri. Aku memerhatikan sahaja orang yang lalu lalang di sekitar Stesen Bas Puduraya kesana dan kemari. Masing – masing dengan hala tuju dan hal sendiri. Setelah penat memerhatikan orang sekeliling, aku sengaja merebahkan kepalaku ke pangkuan ayahku, sambil aku cuba memejamkan mata walaupun aku sebenarnya tidak mengantuk. Di saat aku cuba memejamkan mata, dari jauh aku dapat melihat seseorang sedang menghampiri kami. Aku cuba membuka mataku seluas – luasnya , tetapi seolah – olah ada sesuatu yang menghalang aku dari membuka mataku,dan aku juga tak dapat mendengar walau sepatah pun perkataan yang diperkatakan oleh ayahku dan insan tersebut walaupun kedudukannya hanya di depan ku sahaja. Aku hanya dapat melihat bahagian kaki insan tersebut dari sedikit bukaan mataku.
Setelah agak lama berbual , insan tersebut mula pergi dari situ , mungkin meminta diri untuk melakukan urusan lain.

Sebelum insan tersebut berundur , aku dapat merasakan dia meletakkan sesuatu yang digulung ke dalam genggaman tanganku. Setelah beberapa saat kemudian , aku berjaya juga untuk membuka mataku,dan apabila aku melihat di dalam genggaman tanganku , aku terkejut melihat sejumlah not 5 ringgit yang cukup banyak berada dalam genggamanku. Aku lantas bertanya kepada ayahku gerangan siapakah insan yang berbicara dengannya sebentar tadi , tetapi ayahku hanya membalas dengan senyuman tanpa sebarang jawapan.


Kejadian 2

Setelah selesai Solat Subuh di surau di kampungku, ayahku mengajak aku dan 2 orang adikku yang turut serta untuk bersarapan di di kedai roti canai terletak bersebelahan surau tersebut. Suasana pada pagi itu cukup hening dan sunyi. Jalan raya masih lengang tanpa sebarang kenderaan. , Begitulah suasana kampung aku tatkala awal pagi, tatkala musim cuti sekolah menjelma.

Kedudukan kedai tersebut yang terletak di tepi jalan besar menyebabkan ia menjadi tumpuan penduduk kampung untuk singgah sarapan. Sememangnya pasti ada topik yang akan diperbincangkan acapkali mereka bersua di kedai tersebut. Sama ada berkaitan sawah yang diusahakan , lembu – lembu peliharaan, kerja harian dan kadang – kadang berkaitan dengan isu semasa.

Mungkin disebabkan keadaan suhu diluar yang agak dingin, kami mengambil keputusan untuk sekadar duduk di dalam kedai sahaja. Selesai sahaja mengambil tempahan makanan dari meja kami, terus sahaja disiapkan makanan tersebut.

Sambil menjamah makanan , sempat juga ayahku menegur penduduk kampung yang turut makan di kedai tersebut. Sememangnya majoriti penduduk di situ kenal benar dengan ayahku , maka tidak hairanlah jika ada sahaja sapaan dari penduduk kampung yang singgah di situ.Selesai sahaja menjamah makanan , ayahku menjelaskan bayaran bagi makanan yang telah dimakan.

Sambil berjalan ke arah kereta , aku memerhatikan ayahku yang sentiasa sahaja senyum dari meja bayaran tadi. Sebaik sahaja memasuki kereta , ayahku berkata

” Inilah rezeki. Bukannya susah Allah nak bagi rezeki pada hambaNya, macam – macam keadaan dan cara ”

Persoalan aku dari tadi akhirnya terjawab dengan mendengar kenyataan ayahku tersebut. Rupa – rupanya sewaktu kami menjamah makanan , seorang hamba Allah yang pemurah telah membayarkan harga makanan untuk kami.

Saya yakin, kejadian – kejadian seperti bukannya hanya berlaku pada diri saya sahaja , malah kepada sesiapa pun di muka bumi ini. Kuncinya hanya satu, untuk sama – sama kita fikirkan , bahawa betapa Allah itu Maha Kaya dan Maha Pemurah, pada bila – bila masa sahaja , di mana –mana sahaja , di setiap saat , Allah mampu memberi sesuatu dan juga mengambil sesuatu dari hambaNya. Bayaran dari sifat Pemurah Nya , hanya satu dan mudah sahaja, BERIBADAH kepadaNya. Sekian.

Tuesday, April 20, 2010

Mutiara Kata 3

Sekalung penghargaan buat mereka yang sentiasa memberi peringatan kepada diri ini ,

"Hidup tidak ubah umpama merenangi seluas lautan ,
Semakin jauh kita berenang ,
Semakin dalam lautan itu ,
Tanpa ada erti kesabaran dalam hati ,
Akhirnya kita akan karam jua ditengah - tengah lautan yang dalam

Kesabaran itu adalah ilmu kekebalan buat diri kita dalam menghadapi setiap cabaran
dalam kehidupan ,
Semakin bertambah usia kita semakin kuatlah dugaan yang perlu kita tempuhi ,
Jangan takut dan gentar dengan semuanya itu ,
Kerana Allah akan sentiasa bersama kita ,
Seandainya kita tidak melupakannya dalam susah mahupun senang "

Kakak , 4 April 2009 , 8.21 PM


" Yang paling jauh bukannya bintang , mentari jua rembulan ,
tetapi masa yang berlalu yang tidak akan kembali ,

Kelmarin yang telah luput mungkin sesalan ,

Yang ada hanya hari ini dan akan datang ,
Gunakanlah hari ini sebaiknya kerana hari esok belum tentu milik kita ,

Sedangkan semalam telah pergi buat
SELAMANYA.....

Ibrahim Izzat, 29 Dec 2008


"Ya Allah , Kau hadiahkanlah cinta dan kasih sayangMu kepada Insan ini ,
Demi beriltizam dan istiqamah dalam perjuangan menegakkan agamaMu ,
kerana ku tahu ,
hanya Engkau yang mampu menjaga dirinya lebih baik daripada diriku... , "

Sahel , Abu Zar


Hadis riwayat Ibn Majjah , " Andai kamu berbuat dosa sehingga dosamu mencapai langit kemudian kamu bertaubat ,
nescaya Allah memberi keampunan kepadamu ,
tetapi tidak termasuk dosa berkaitan sesama manusia. "

Syahmi IKM


1.DUNIA ITU RACUN - ZUHUD IALAH UBATNYA
2.HARTA ITU RACUN-ZAKAT PENAWARNYA
3.PERKATAAN LAGHA ITU RACUN -ZIKRULLAH UBATNYA
4.SELURUH UMUR ITU RACUN-TAUBAT PENAWARNYA
5.SELURUH TAHUN ITU RACUN - RAMADAN PENAWARNYA

7 Sifat diberi pinjam kepada makhluk bernama manusia , bertujuan menilai aset akhirat , agar mendapat gelaran Insan Illahi .

Aidil UniKL


" We hate to eat panadol , because of its bad taste , but sooner or later , it will give life to you ,

however

We love to eat candy , because of its sweet taste , but sooner or later , it will give death to you ,"

Mr Shahidi Fazlan ,
( Occupational Safety and Health , Thermodynamics and
Separation Technology Lecturer )



Saturday, April 3, 2010

Hakikat Pengorbanan


Perlukah pengorbanan ?

By : Engineer Illahi

Ada sesetengah pihak berkata , Jika kita inginkan sesuatu , maka kita perlu memberi sesuatu . Begitulah lumrah dan fitrah kehidupan di dunia ini , yang telah disusun dan dijalankan dengan begitu cantik dan sempurna sekali , tanpa ada sebarang kesilapan sedikit pun dalam perencanaanNya. Jika kita inginkan kejayaan , maka kita perlu membayarnya dengan kepayahan, jika kita inginkan ubat yang mampu menyembuhkan penyakit , maka kita perlu membayar dengan rasa pahitnya ubat itu.Jika kita mahukan persahabatan , maka kita perlukan perkenalan, dan jika kita mahukan makanan yang sedap dan mewah , maka kita akan membayarnya dengan penyakit – penyakit yang berisiko tinggi.

Hakikat pengorbanan merupakan satu tuntutan yang amat penting dalam Islam. Pengorbanan jiwa , harta , masa dan juga kehidupan menjadi tuntutan buat mereka yang mengimpikan keredhaanNya. Apabila seseorang muslim itu melafazkan kalimah tauhid, maka dengan automatiknya ,dia telah melakukan pengorbanan dalam memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Allah S.W.T telah berfirman dalam kitab suciNya ,

Terjemahannya:-

" Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensuciakn jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."

(Surah asy-Syams: ayat 8-10.)

Secara fitrahnya , Allah telah memberi dua pilihan dalam menentukan jalan kehidupan dan pengakhiran bagi seseorang yang bergelar manusia di dunia ini. Salah satu jalannya penuh dengan mehnah dan ujian, penuh dengan tanggungjawab dan pengorbanan dan bertentangan dengan kehendak nafsu syahwat. Manakala jalan yang lain pula penuh dengan keseronokan , kealpaan dan kerehatan. Pada jalan ini, segala – galanya menurut hawa nafsu, memenuhi naluri kehidupan.

Di atas dasar pengorbanan insan – insan yang memilih jalan kesusahan inilah , disediakan kesenangan Syurga di akhirat kelak , manakala atas keseronokan memilih jalan yang satu lagi , seksaan Neraka dan azab menanti sebagai ganjaran. Ramai manusia mengimpikan Syurga yang indah dan kekal abadi , namun hakikat kehidupan seharian mereka langsung tidak mempamerkan kesediaan dan kesanggupan untuk membayar harga mahalnya Syurga itu.

Terjemahannya:

" Adapun orang-orang yang beriaman dan mengerjakan amalan soleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang yang fasiq maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: "Rasakanlah siksaan neraka yang dahulu kamu dustakan ".

(Surah as-Sajadah: ayat 19-20.)


Allah memberi kelebihan kepada hambaNya yang bergelar manusia untuk memilih sendiri jalan masing – masing, tidak sama sekali memaksa atau mendesak untuk tunduk dan patuh kepadaNya. Tidak jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain , pokok, sungai , binatang , burung , mereka semuanya ditundukkan secara paksa dalam penyembahan kepada Allah S.W.T. dan kewujudannya hanyasanya pelengkap serta perhiasan dunia yang fana ini. Jika diperhatikan , maka amat beruntunglah makhluk Allah yang bergelar Manusia ini.

Tuntasnya, pemilihan antara jalan kefasikan dan juga ketaqwaan itu berbalik kepada hati makhluk bergelar manusia itu sendiri. Pemilihan yang datang dari hati itu juga lahir dari keinsafan dan kesedaran , didasari dengan kefahaman Islam yang hakiki , bukannya atas dasar warisan keluarga , hobi masa lapang , mahupun budaya masyarakat.


Terjemahannya:

" Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia "

(Surah ar-Ra'd: ayat 11.)


Pengorbanan kepada pilihan ini bukanlah pengorbanan yang sementara sahaja dan sebahagian sahaja , tetapi pengorbanan inilah adalah penyerahan seluruh jiwa dan raga. Apabila seseorang itu menyerahkan seluruh kehidupannya pada pilihan ini , Insya Allah , di sana dia akan dapat melihat adanya bimbingan dan panduan dalam melayari kehidupan fana ini , adanya penyelesaian kepada permasalahan kehidupan dan adanya suatu kesudahan yang baik dan hakiki menanti.

Thursday, February 11, 2010

Apakah yang paling ......


by : Engineer Illahi

Suatu hari Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya,

Apakah perkara yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?

Murid – muridnya menjawab : Orang tua ,guru,teman ,kaum kerabat

Imam Al – Ghazali menjawab ,”Semua jawapan itu benar , tetapi paling dekat dengan kita ialah MATI.Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.”( Ali – Imran : 185 )


Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?”

Murid – muridnya menjawab ,”Negeri China , bulan ,matahari, bintang-bintang.”

Imam Al- Ghazali menjawab ,” Semua jawapan itu benar , tetapi yang paling jauh dari kita di dunia ini ialah MASA LALU.Bagaimanapun kita ,apapun kenderaan kita,tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu.Oleh sebab itu ,kita harus menjaga hari ini,hari esok ,dan hari-hari yang akan datang agar melakukan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama."



Apa yang paling besar di dunia ini ?

Murid-muridnya menjawab ,”Gunung,matahari ,bumi”

Imam Al- Ghazali menjawab ,”Semua jawapan itu benar ,tetapi yang besar sekali di dunia ini adalah HAWA NAFSU.Maka kita perlulah berhati-hati agar nafsu itu tidak membawa kita ke neraka.( Al –A’raf : 179 )



Apa yang paling berat di dunia ini ? “

Murid –muridnya menjawab ,”Baja , besi ,gajah,”

Imam Al – Ghazali menjawab,”Semua itu benar tetapi yang paling berat di dunia ini ialah AMANAH ( Al – Ahzab: 72)


Apa yang paling ringan di dunia ini ? “

Murid-muridnya menjawab,”kapas ,angin,debu,daun-daun.”

Imam Al-Ghazali menjawab,”Semua jawapan itu benar tetapi yang paling ringan di dunia ini ,adalah MENINGGALKAN SOLAT .Disebabkan pekerjaan atau urusan dunia kita tinggalkan solat.


Apa yang paling tajam sekali di dunia ini ,”

Murid-muridnya menjawab,”Pedang ,pisau,gunting,”

Imam Al- Ghazali lantas menjawab,”Itu benar , tapi yang paling tajam sekali di dunia ini ialah LIDAH.Disebabkannya,manusia dengan mudah menyakiti dan melukai hati saudaranya sendiri.”






Tuesday, February 9, 2010

Muhasabah Diri


by : Engineer Illahi

Setiap insan yang ada di muka bumi ini pasti akan melakukan kesalahan. Tidak ada sesiapa pun yang bergelar insan mahupun manusia , tidak akan melakukan kesalahan. Bezanya adakah kita menyedari kesalahan itu dan memperbaiki serta memohon taubat ataupun langsung tidak menyedari dan membiarkan kesalahan itu menjadi darah daging yang sebati dalam kehidupan mereka.

Dalam tangga – tangga untuk meningkatkan keImanan sebagai seorang hamba kepada Rabbul ’Alamin, Muhasabah menjadi salah satu dari anak – anak tangga tersebut. Firman Allah S.W.T dalam kitabNya, maksudnya :



“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
[Al-Hasyr: 18]


Pernahkah kita bertanya pada diri kita , sebelum kita tidur dibuai mimpi yang panjang , adakah kita melihat dan mengkaji semula , apa yang telah kita lakukan sepanjang seharian kita dihidupkan di atas muka bumi ini. Adakah kehidupan kita pada hari itu merupakan kehidupan yang bermakna , dipenuhi dengan ketaatan kepada Allah, dipenuhi dengan bekalan – bekalan kehidupan sebagai persediaan bertemu denganNya. Ataupun kehidupan pada hari itu dipenuhi dengan kelalaian serta hanyut akan arus duniawi. Adakah kehidupan hari itu lebih teruk dari kehidupan sebelumnya.

Kadang kala , kita merasakan bahawa diri kita adalah yang terbaik , dari segi amalannya , dari segi pergaulan kita , dari segi kefahaman tentang Islam dan dari segi pelbagai aspek lagi. Namun jika kita renungi , rupa – rupanya kita hanyalah bermegah – megah dan mendabik dada sahaja. Kita sebenarnya melalui kehidupan yang lebih teruk dari mereka yang tidak memahami Islam itu sendiri. Kadangkala apabila telah lama berada di dalam kehidupan beragama ini, kita mula merasa bosan. Solat dilewat – lewatkan, amalan – amalan sunat ditinggalkan, nafsu tidur dilayan sehingga masa terbuang begitu sahaja. Bagi kita berada di dalam situasi tersebut menyebabkan kita terkongkong dari menikmati nikmatnya kehidupan duniawi ini.

Manusia yang berada di dalam lombongan emas tidak merasakan akan betapa berharganya emas itu , sedangkan mereka yang berada di luar lombongan itulah, mereka berebut – rebut untuk mendapatkan emas yang berkualiti dan berlumba – lumba untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan. Kenapa hal begini bisa terjadi. Hal ini kerana , mereka yang berada di lombongan itu sudah lali dengan emas yang banyak di sekeliling mereka, hari – hari mata mereka menatap emas yang sama, tidak ada perkara lain, sehinggakan emas itu ibarat barang permainan yang tiada nilainya. Sedangkan mereka tidak pernah memikirkan akan bisa sahaja majikan mereka memecat mereka dari pekerjaan mereka, digantikan dengan pekerja yang baru dan lebih bersemangat lagi.



“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk pertunjukkan yang agung (hari Kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian barang satu pun.”

Bagi mereka yang bergelar daie ataupun pendakwah , sungguh , Muhasabah inilah yang menjadi titik peningkatan kepada amalan dan usaha dalam menyemarakkan lagi deen Allah di muka bumi ini. Mintalah kepada Allah agar dikekalkan hati kita di atas dasar Iman ini, dan dengan kesedaran ini, marilah kita sama – sama menyebarkan ajaran yang mulia ini pada sesiapa sahaja yang kita kenali.Dengan bermuhasabah , kita akan dapat meneliti dan mengkaji semula kehidupan yang telah kita lalui sepanjang kehidupan kita di dunia .



“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk pertunjukkan yang agung (hari Kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian barang satu pun.”
Umar Al - Farouq





Bermuhasabah selalu nescaya kita akan merasakan akan mahalnya anugerah Iman dan Islam ini. Bermuhasabahlah selalu dan kita akan merasakan bahawa amalan – amalan yang kita lakukan itu hanyalah cebisan – cebisan amalan yang tidak mampu untuk ’membeli ’ syurga Allah di akhirat kelak. Bermuhasabahlah walau dari sebesar – besar perbuatan hinggalah sekecil – kecilnya.Maka berusahalah untuk meningkatkan lagi amalan – amalan sebagai bekalan kita dalam mencapai Redha Nya.


Sungguh kita tidak layak untuk memasuki syurga Allah dan juga kita tidak sanggup menanggung azab seksaNya , yang kita mampu lakukan , carilah sebanyak – banyaknya bekalan dari perkara – perkara wajib hinggalah yang sunat dan lakukanlah amalan walaupun sekecil – kecil amalan , moga – moga di sisi Allah , ia akan menjadi sesuatu yang cukup besar dan berharga. Cubalah sedaya upaya untuk meminimakan perbuatan dosa dalam kehidupan kita, dan janganlah dengan beralasan kepada ” tidak ada manusia yang sempurna ” maka kita meninggalkan segala laranganNya.Teruskanlah menangguk dari sungai – sungai kehidupan ini.Moga di sana, kita akan beroleh bijih – bijih keredhaan Allah sebagai bekalan mencapai SyurgaNya kelak. Amin.

Tuesday, January 19, 2010

Matlamat Kehidupan ( sambungan )



Justeru bagi mendapatkan jawapan yang benar lagi jelas , maka marilah kita kembali kepada sumber rujukan utama dalam kehidupan kita , Al – Quran.

1.Persoalan yang pertama , Dari mana kita di datangkan ?
Untuk itu mari kita perhatikan firman Allah dalam kitab sucinya ,


Terjemahannya:

“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui “
(Surah Al Hajj ayat 5)



2.Bagi persoalan yang kedua , kita hayati pula firman Allah dalam Surah Ad – Dzariyyat , ayat 56


Terjemahannya:

“ Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “

(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)


Daripada ayat diatas , kita dapat simpulkan bahawa tiada tujuan lain penciptaan kita di dunia selain mengabdikan diri kita hanya kepada Allah. Para Ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan beribadah kepada Allah itu bukanlah tertakluk kepada lima rukun Islam yang kita pelajari dari tadika - tadika atau sekolah rendah lagi , tetapi ia merangkumi segala kehidupan kita di dunia ini.

”Sesungguhnya beribadah kepada Allah s.w.t tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman sesetengah golongan Islam (yang mendakwa Islam). Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah s.w.t terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap Allah s.w.t. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset dari hakikatnya yang sebenar "
Profesor Dr Yusuf Al - Qardhawi

Jika kita fahami akan maksud kata – kata di atas , maka kita akan dapati bahawa yang dimaksudkan dengan berIbadah kepada Allah itu meliputi seluruh kehidupan kita di dunia ini.Bermula dari bangunnya kita dari tidur , makan , mandi , bekerja , menghadiri kuliah , beriadah , berseronok bersama keluarga , dan sehingga kita kembali tidur, semuanya harus menjadi Ibadah kepadaNya. Setiap pekerjaan , pelajar,mahasiswa ,guru,pensyarah,doktor perubatan, doktor pakar,jurutera,tukang sapu sampah,pekerja kilang,hatta nelayan dan petani sekalipun, menjadi kewajipan untuk menjadikan pekerjaan masing – masing sebagai Ibadah kepada Allah.

Namun hakikat sebenar penciptaan ini semakin dilupakan dek kerana alpanya seseorang itu dengan arus jahiliyyah yang menyelimuti dunia hari ini. Bagi mereka , cukuplah sekadar agama di dalam masjid – masjid atau surau – surau. Cukuplah agama itu di tempat – tempat tertentu dan majlis – majlis tertentu sahaja. Cukuplah agama itu hanya kepada golongan yang memakai serban dan ketayap sahaja. Maka muncullah ideologi Islam Liberalisme dan pelbagai lagi ideologi yang menyesatkan mereka yang leka.

3.Persoalan yang terakhir , Kemanakah kita akhirnya ?

Terjemahannya :

” Sesungguhnya kepada Tuhan ( Allah ) kesudahan kamu ( tempat kembali ).Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dialah yang membuat kamu menangis.Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali”
( Surah An –Najm ayat 42 – 44 )

Al Ustaz Syed Fathi Yakan telah menyatakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Islam , manusia itu digolongkan dalam tiga golongan ,

1 ) Golongan yang hidup untuk dunia
2) Golongan yang sesat antara kehidupan dunia dan akhirat
3) Golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat

Pada hakikatnya , setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui kematian. Hanya yang membezakan , adalah destinasi terakhir yang akan dijejakinya nanti. Dan yang pasti akan hanya ada dua pengakhiran sahaja di akhirat kelak ; syurga atau neraka. Semua yang hidup di dunia ini pastinya mahukan pengakhiran yang baik dan ketahuilah bahawa syurga Allah itu amat mahal harganya. Tak ada sesiapa pun yang mampu membelinya walaupun dengan kekayaan seluruh dunia dan amalan setinggi langit pun. Hanya dengan Rahmat Allah sahaja yang dapat menyelamatkan kita daripada azab seksanya di akhirat nanti.Lantas apakah persiapan kita dalam menghadapinya ?


Marilah kita bersama – sama kembali membetulkan tujuan dan matlamat penghidupan kita di dunia yang fana ini. Semoga dengan menyedari akan matlamat sebenar penghidupan ini , maka setiap saat dan detik dalam kehidupan , kita abadikan hanya kepada Allah dalam rangka untuk mencari keredhaanNya. Ameen.

Tuesday, January 12, 2010

Matlamat Kehidupan


Matlamat Kehidupan
By : Engineer Illahi

Alhamdulillah, pertama dan selamanya, setinggi – tinggi kesyukuran di panjatkan ke Hadrat Illahi , Rabbul A’lamin , Yang Mentadbir dan Menguruskan Alam ini dengan sempurna tanpa sebarang pertolongan dan hanya dengan EsaNya.

Selawat serta salam kerinduan , buat Junjungan besar, Rasulullah S.A.W , yang mengorbankan seluruh kehidupannya bersama – sama para sahabat dalam mendaulatkan deen Allah di muka bumi ini.

Kehidupan merupakan suatu fasa yang dilalui oleh semua makhluk-Nya yang bernyawa sama ada di lautan , daratan dan juga nun di langit tinggi sana. Bezanya, hanya terletak pada proses serta perjalanan sepanjang menempuh kehidupan di alam fana ini. Ada yang diciptakan Allah sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini,ada juga yang menjadi penghias alam fana ini,dan tidak kurang juga ada yang menjadi sumber kelangsungan hidup kepada yang lain.

Kenderaan dicipta untuk memudahkan perjalanan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain,mesin – mesin pula dicipta untuk memudahkan sesuatu penghasilan produk atau pekerjaan yang dilakukan manusia demi kepentingan bersama.

Begitu jualah penciptaan makhluk Allah amnya dan manusia khusunya di muka bumi ini. Pasti ada suatu perencanaan ,misi atau tugas yang tersirat di sebalik penciptaan manusia itu sendiri.Perencanaan serta misi ini jua bukanlah suatu misi serta tugas yang perlu diambil mudah serta dipandang enteng oleh sesiapapun kerana misi ini diamanahkan daripada Rabbul A’lamin, Yang Maha Esa, Yang Mengatur siang dan malam,Yang Menggerakkan kapal – kapal di lautan,dan Yang Mengatur rezeki hamba – hambaNya.

Dalam menyingkap rahsia di sebalik amanah ini, kita berbalik kepada tiga persoalan asas kehidupan :

1) Dari mana kita di datangkan ?
2) Apakah tujuan kita didatangkan ?
3) Kemanakah kita akhirnya ?

Ku titipkan untukmu wahai sahabat......


Pertemuan kita kali ini…..
Bukan sekedar kawan lama tak jumpa
Tapi kita bertemu ada satu makna
Kita punya satu perjuangan

*Andai ada kasih antara kita
Kita kembalikan kepada Yang Esa
Agar Ia suci, tulus dan ikhlas
Semoga Allah memberkati

Sambutlah tangan sahabat saudaramu
Pimpinlah ia melangkah bersama
Satukan hati kita teguhkan ia
Berdiri bersama untuk kebenaran

Perjuangan itu ertinya berkorban
Berkorban itu ertinya terkorban
Janganlah gentar untuk berjuang
Demi agama dan bangsa

Inilah jalan kita
Inilah jalan kita

* Chorus
Artis : Tazakka
Lagu : Sahabat Perjuangan

Monday, January 4, 2010

Kehidupan yang Berlalu ....



Di saat itu, saya sibuk menaip dan menyiapkan laporan harian Kursus Jatidiri dan Kerelawanan 2009/2010. Tiba-tiba , handphone Nokia saya berkelip – kelip dan bergetar bersebelahan dengan saya. Sengaja saya meletakkan mod senyap, senang apabila solat nanti tak perlu susah-susah nak matikan sebelum solat.

Saya mengambil dan menatap pada skrin, terpampang perkataan “ 2 message received” pada papan pemuka handphone.Ucapan selamat tahun baru daripada dua insan yang berbeza latar sejarahnya dalam hidup saya. Satunya daripada classmate saya di MICET, manakala satu mesej lagi dari bekas anak didik saya di Sekolah Menengah Agama Attoyyibah dahulu

“ Dah tahun baru rupanya” gumam hati kecil saya.

Sambil melihat pada jam di handphone , saya menggelengkan kepala. Mungkin sibuk dengan urusan sebagai urusetia, langsung tidak sedar, kini sudah setahun berlalu. Maknanya, semakin bertambah lagi usia saya.Semakin dekat lagi dengan hari pertemuan dengan Pencipta Yang Maha Esa dan Kuasa.

Masa bagai pantas berlalu. Segala memori kenangan 2009 pastinya menggamit hati. Yang pasti, kenangan – kenangan pahit dan manis yang berlalu, pasti terlipat kukuh dalam lipatan sejarah tanpa mampu dirungkai dan diulang kembali. Setiap saat dan masa yang berlalu , pasti akan terpahat utuh dan tercatat sebagai sebuah lagi memori dalam ingatan minda setiap insan di alam ini.

Jika diimbas kembali , tahun 2009 ini boleh dikatakan bermulanya anjakan paradigma bagi diri saya dalam mengharungi kancah kehidupan ini. Berbagai – bagai pengalaman yang saya tempuhi dan saya cedok selama melayari tahun 2009. Antaranya :

1. Program Seminar Kecemerlangan Mahasiswa ( SKEMA ) UniKL MICET.
Buat kali pertama dalam hidup, saya diberi kepercayaan untuk
mengendalikan program berskala besar dalam kampus.
Program yang mengajar realiti dan cabaran sebenar dalam memimpin
dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Bekerja dalam satu kumpulan
yang mempunyai bermacam – macam ragam nyata bukanlah satu
pekerjaan yang mudah.

2. Kem Pembelajaran Intensif Nur Sungai Merab

Kali pertama saya serta sahabat – sahabat saya – Faiz , Radhi , Ali ,Nu’,man dan Siddiqi memikul dua tanggungjawab dalam satu masa.
Pertama sebagai fasilitator dan kedua sebagai urusetia program
dan sememangnya program paling letih yang pernah saya terlibat..
Mungkin kerana kekurangan tenaga, maka begitulah jadinya. Apapun
Alhmadulillah , semuanya berjalan lancar sehingga program tamat.
Walaupun hanya dua hari , tetapi kenangan yang ditempuh bersama
adik –adik dari dua buah sekolah ini,tidak akan dilupakan sepanjang hayat.


3.Kem Minda Kreatif 14 , PULAKoPP

Selama saya mengikuti kem Minda Kreatif ini, kali pertama saya
diberi peluang untuk menjadi fasilitator ( sebelum ini hanya jadi
Urusetia sahaja ). Ditakdirkan bersama –sama dengan kumpulan 1,
saya melihat mereka sebagai mad’u – mad’u saya yang baru.
Dan sepanjang pemerhatian saya, mereka semuanya mempunyai
potensi yang besar sebagai pemimpin. Tambah manis lagi, kumpulan
yang saya pimpin ini berjaya mendapat tempat pertama keseluruhan
kem tersebut. Alhamdulillah semuanya rezeki dari Allah. Semoga
ukhuwwah kita kan terus mekar selamanya. Ameen .


Bersama - sama Kumpulan 1


4. Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009/2010
Kursus selama tujuh minggu ala – ala PLKN ini yang julung kalinya diadakan kepada mereka yang baru sahaja tamat SPM sememangnya satu cabaran bagi semua mereka yang terlibat sebagai urusetia dan juga fasilitator. Bagi saya yang terlibat sebagai Urusetia di bahagian operasi, nyata ia bukanlah tugas yang mudah.Tambahan pula Bahagian Operasi inilah yang menjadi nadi kepada perjalanan seluruh program. Pengalaman bekerja dengan dua orang
sahabat yang lebih senior umurnya dari saya , Abang Saif dan Abang Umair, di dalam bilik operasi tersebut memberi pengajaran yang cukup berguna kepada saya. Menulis laporan harian , menyiapkan jadual waktu bagi urusetia lain yang bertugas , menyusun kumpulan peserta , menyediakan borang – borang berkaitan program , semuanya pengalaman yang baru bagi saya.

Di samping Urusetia , saya juga memikul tanggungjawab selaku ahli
jawatankuasa penyelaras bagi Modul 1 iaitu Modul Anjakan Paradigma. Bekerja selama seminggu bersama dengan pak cik – pak cik yang jauh lebih berpengalaman menyebabkan saya jadi agak kekok dalam berurusan dengan mereka. Namun ia mengajar saya ilmu yang baru dalam selok – belok dunia pengurusan ini.Bermacam – macam pengalaman yang dikongsikan oleh pak cik – pak cik menjadikan suasana bekerja cukup seronok

Namun , pengalaman yang paling berharga buat saya adalah apabila saya diberi kepercayaan untuk menyiapkan gimik pelancaran bagi program perasmian kursus yang julung kali diadakan ini.Saya bersama – sama sahabat – sahabat seperjuangan ( Zakiran , Akhyar , Naqiuddin , Amin UM , Abang Saif , Mustaqim , Rusydan , Najib , Zubir , Syafiq Syukur dan juga Wan Iqbal ) bertungkus lumus siang dan malam menghasilkan video gimik tersebut. Alhamdulillah, lega rasanya apabila tayangan tersebut mendapat sambutan dari penonton di dewan termasuklah Pengerusi dan Setiausaha Agung HALUAN , Ketua Eksekutif KTD dan juga wakil Pengerusi
JAKIM.

Itulah sedikit diantara cebisan kenangan yang dapat saya coretkan di ruangan ini. Yang selebihnya , biarlah tersimpan sebagai kenangan dalam minda yang akan kekal subur selamanya.... Sayonara 2009

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite