JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Friday, September 26, 2008

Gotong-royong di asrama anak yatim









Alhamdulillah ,setelah saya selesai menamatkan peperiksaan SPM saya di MATRI ,saya bertolak pulang ke rumah.Kebetulan pada masa yang sama ,empat orang sahabat saya ,Lutfi ,Radhi,Loqman dan Ibrahim menyatakan hajat mereka ingin ikut sekali ke Langkawi sebelum mereka berangkat pulang ke rumah mereka di samping menyaksikan LIMA 2007.

Secara kebetulan pula ,pada keesokan harinya,ayah saya serta sahabat-sahabatnya akan mengadakan gotong – royong di sebuah tempat yang bakal dijadikan asrama anak yatim.Menurut ayah,kepulangan saya bersama-sama sahabat-sahabat saya memang kena pada masanya,kerana kebetulan mereka memang perlukan tenaga tambahan.Apabila kami tiba di Langkawi,kami dimaklumkan tentang kehadiran dua orang bekas pelajar MATRI yang sememangnya kami kenali iaitu saudara Nazim dan Muzaffar yang sampai lebih awal berbanding kami.

Pada malam tersebut ,kami bermalam di bangunan yang akan dijadikan rumah anak yatim tersebut.Bangunan tersebut mempunyai dua blok yang mana terdiri dari tempat tidur dan surau,selain dari rumah untuk tenaga pengajar juga ada disediakan.Bangunan tersebut asalnya adalah sebuah tempat pengajian tahfiz yang telah ditutup disebabkan masalah kewangan.Rumah anak Yatim tersebut nantinya akan diberi nama Asrama Haluan Penyayang Langkawi.(AHPL).

Keesokan harinya ,kami bersarapan dengan sarapan yang dibawa dari rumah saya.Selepas makan,kami mulakan dengan mengalihkan ranting-ranting pokok yang telah ditebang.Selepas itu,kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan.Kumpulan saya ditugaskan untuk membersihkan kawasan stor.Kawasan stor tersebut tidaklah sebesar mana,dan isinya tidaklah sebanyak mana,cuma mungkin kerana ditinggalkan terlalu lama,kawasan tersebut kelihatan semak dan tidak terurus dengan sawang labah-labah serta najis –najis cicak di merata tempat.Sementara kumpulan pakcik-pakcik pula membersihkan kawasan dalam asrama.Kami turut dibantu penduduk setempat yang telah dimaklumkan lebih awal tentang gotong-royong tersebut.Terdetik rasa kagum di hati ini apabila melihat ada segolongan pemuda kampung yang kebiasaannya kita lihat seringkali membuang masa dengan aktiviti yang tak berfaedah turut serta membantu.Apa yang saya lihat ,menjadi motivasi untuk saya lebih bersemangat pada pagi itu.

Sedang kami sibuk berkemas,kedengaran bunyi deruan enjin pesawat yang mengadakan pertunjukan LIMA.Tumpuan kami terjejas sebentar dengan bunyi tersebut.Kami berehat sebentar sambil menyaksikan pertunjukan tersebut.Kedudukan asrama tersebut yang memang terletak betul-betul di belakang lapangan terbang sememangnya memberi kelebihan kepada kami untuk menyaksikan pertunjukan tersebut dengan lebih jelas.Pelbagai aksi dan pertunjukan yang kami dapat lihat ketika itu.Terubat sebentar keletihan kami apabila dapat menyaksikan pertunjukan itu.





Kami menyiapkan tugas kami apabila pertunjukan tersebut berhenti seketika.Alhamdulillah,kami dapat menghabiskan tugas sebelum waktu zohor.Kami menggunakan masa yang ada itu untuk berehat dan melepaskan penat.Ada yang berbaring,ada yang berbual-bual dan ada juga yang makan makanan yang masih berbaki dari sarapan tadi.Apabila masuk waktu Zohor,kami menunaikan solat Zohor secara berjemaah.









Pada petangnya pula,kami melepaskan penat kami di Lubuk Semilang,sebuah tempat rekreasi yang cantik dan mempunyai air sungai yang jernih.Suasana hutan yang nyaman dengan bunyi deruan air sungai begitu menggamit perhatian kami.Kedinginan air sungai yang mengalir menusuk ke tulang sulbi bagaikan menghilangkan segala penat lelah kami pada waktu pagi .Kami mengambil kesempatan untuk membersihkan badan kami setelah bermandi keringat pada waktu pagi.Sambil bermandi-manda ,kami juga sempat mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.









Acara kami tidak tamat di situ sahaja,pada malamnya pula,kami mengadakan barbeque di rumah saya ,menunya simple, sekadar ikan kembong bakar sahaja.Walaupun bukanlah secara besar-besaran,tetapi sekadar untuk menjamu selera sahaja,namun program kami pada malam itu tetap meriah dan menimbulkan semangat ukhuwah yang amat mendalam pada hati masing-masing.Bermula dengan kami bersama-sama bertungkus-lumus menyalakan api ,sehinggalah selesai membakar, semuanya mematrikan seribu satu kenangan yang cukup indah.Kami menikmati hidangan pada malam itu secara beramai-ramai.Kepuasan cukup terasa apabila memakan ikan yang dibakar dengan titik peluh sendiri.

Setelah beberapa hari di Langkawi,tibalah masa untuk sahabat-sahabat saya pulang ke rumah masing-masing.Pelbagai perasaan yang bermain di dalam hati tatkala menghantar sahabat-sahabat ke jeti.Mengenangkan yang kami tidak mungkin lagi bertemu di alam persekolahan,membuat hati serba salah untuk berpisah,tetapi,sudah lumrah kehidupan , setiap pertemuan pasti ada perpisahan.Harapannya agar kami bisa lagi bersama dalam program-program sebegini yang sememangnya cukup memupuk rasa kasih dan sayang sesama sahabat.

Punca - punca perpecahan


Menurut Dr Aidh Abdullah Al-Qarni :
Antara punca - punca perpecahan dalam umat manusia ialah :

Pertama : Perasaan benci
Wahai orang-orang yang mulia,sesungguhnya rasa benci merupakan salah satu penyebab perpecahan di tengah – tengah keluarga ,kabilah mahupun bangsa .Ia adalah ‘pemangkas’ yang memangkas agama ,bukannya memangkas rambut di kepala.

Kebencian inilah yang akan merosakkan hubungan dengan kerabat.Kebencian akan membakar hati dan memutus jalinan persaudaraan.Firman Allah S.W.T ,

“Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan ? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka.”

( Muhammad : 22 – 23 )

Kedua : Sifat hasad dan dengki
Hasad dan dengki merupakan antara penyakit yang sememangnya wujud sejak zaman permulaan sejarah manusia di muka bumi ini lagi.Jika kita telusuri kisah bagaimana pembunuhan pertama di muka bumi antara Habil dan Qabil,maka kita akan temui,perasaan hasadlah menjadi puncanya.Allah S.W.T berfirman:

”Atau mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya,”
( An-Nisa’ :54 )

Seorang penyair mengatakan :

Katakan kepada orang yang dengki kepadaku,
Apakah engkau tahu kepada siapa engkau berbuat jahat,
Sebenarnya engkau berbuat jahat kepada Allah

Kerana engkau tidak rela atas apa yang Allah berikan kepadaku
Maka ku ucapkan terima kasih kepadamu kerana pahalaku akan bertambah
Aku tidak perlu sibuk-sibuk meminta kepadamu,

Ketiga : Cinta Dunia
Cinta dunia adalah akar daripada setiap bentuk kesalahan.Kerana dunialah manusia begitu alpa dijerat lantas dihanyutkan arus jahiliyah yang tak kenal erti kasih dan sayang,yang tak kenal erti keletihan,yang tak kenal erti ketundukan kepada Rabb Yang Esa,yang tidak kenal sama ada yang tua atau muda dan kerana cinta dunialah manusia kian jauh serta lupa akan pertemuan dengan Rabb Pencipta Alam ini.


Firman Allah ,
” Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan ,perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak , seperti hujan yang tanaman –tanamannya mengagumkan para petani,kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.Dan di akhirat(nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keredhaanNya.Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu,”

(Al-Haj : 20)

Dalam satu riwayat menyatakan bahawa Nabi Nuh yang hidup selama lebih dari seribu tahun, ”Bagaimana kamu memandang hidup ini ?” Nabi Nuh lantas menjawab,”Aku melihatnya seperti sebuah rumah yang memiliki dua pintu,aku masuk dari pintu ini dan aku keluar dari pintu yang satunya lagi.”

Kadang-kadang kita hairan melihat insan-insan yang berlagak seolah-olah mereka akan kekal selamanya di muka bumi ini.Tanpa segan silu mereka melakukan maksiat,
melanggar segala larangan Allah S.W.T.Adakah mereka tidak sedar akan maut itu senantiasa mengekori mereka walau ke mana sahaja mereka pergi ,walau apapun mereka lakukan ,bisa sahaja maut itu menjemput tidak kira mereka bersedia atau tidak.Tidakkah mereka mengambil iktibar dari sekeliling mereka,maut menjemput tanpa mengenal usia ,yang sihat atau sakit ,yang kaya atau miskin ,pegawai kerajaan atau sekadar tukang sapu sampah.Sedarlah wahai insan,bangkitlah dari lenamu yang panjang,tunaikanlah kembali kewajipanmu sebagai hamba kepada Yang Maha Esa.

Keempat : Fanatisme kesukuan ( taksub )
Sikap fanatisme atau ketaksuban ini merupakan penyakit yang wujud sejak zaman era Arab Jahiliyyah lagi,ketika mana manusia diselubungi selimut jahiliyyah,mereka hidup berpuak-puak dengan rasa ketaksuban yang menebal kepada puak masing-masing.Penyakit ini bagaikan virus yang merebak dengan pantas sekali dalam diri individu-individu seterusnya berkembang kepada institusi keluarga dan akhirnya menjangkiti kehidupan masyarakat.

Penyakit yang hampir sahaja menghancurkan ketamadunan manusia pada suatu ketika dahulu, kini merebak kembali dan menjadi semakin parah.Kita lihat sahaja dari skop yang kecil,iaitu di negara kita sendiri.Sikap ketaksuban inilah yang menjadi barah dalam perpaduan umat Islam di negara kita ini.Kita lihat sahaja dari segi politik negara kita,bagaimana sikap ketaksuban terhadap sesuatu parti begitu menebal hinggakan boleh membawa kepada pergaduhan yang besar.Jikalau kita ingat pernah terpampang di akhbar bagaimana rumah tangga yang baru sahaja hendak didirikan hancur begitu sahaja gara-gara berbeza fahaman politik.Bagaimana perkara begini bisa terjadi ? Hanya kerana berbeza fahaman politik,kita sanggup bermasam muka sesama kita ,kita sanggup mengenepikan soal ukhuwah Islamiyah kerana Allah.

Wahai orang-orang yang berIman,yang menyembah Tuhan Yang Satu,yang berpegang kepada kalimah tauhid yang satu,ayuh,kembalilah kita bersatu,bersama-sama kita tegakkan kebenaran di muka bumi ini yang kian lama kian pupus dimamah arus jahiliyyah.

Thursday, September 11, 2008

Kisah Si Ayah dan Anak-anaknya

Alkisah pada suatu masa dahulu,tinggal seorang tua bersama-sama tiga orang anaknya.Beliau bekerja sebagai seorang peniaga.Anaknya yang sulung bernama Harben,manakala anak yang kedua bernama Anis.Anak bongsunya bernama Amsal.Beliau begitu menyayangi anak sulungnya,Harben dan anak keduanya Anis,tetapi beliau seringkali mengabaikan kasih sayangnya kepada anak bongsunya,Amsal.

Pada suatu hari,beliau berhajat untuk meluaskan perniagaan beliau ke tempat yang lebih jauh dan beliau berhajat untuk belayar ke tempat tersebut.Si Ayah lantas mengumpulkan anak-anaknya,kata Si Ayah " Ayah kumpulkan kamu semua ni,sebab ayah ada benda nak cakap sikit.Ayah berhajat nak kembangkan perniagaan ayah ke oversea,jadi ayah ingat nak ajak salah sorang dari kamu ni untuk teman ayah.Siapa yang nak temankan ayah ? " mendengar pertanyaan Si Ayah,lantas Si Anak sulung,Harben pun menjawab " Saya bukan tak mau teman ayah,tapi saya memang tak boleh nak ikut ayah,susahlah." kemudian Anis menyambung," Saya pun bukan tak mahu temankan ayah,tapi kalau setakat hantar sampai jeti tu,bolehlah,"
Ternyata Si Ayah begitu kecewa dengan sikap anak-anaknya yang amat beliau kasihi dan sayangi itu.Melihat akan sikap abang dan kakanya,Amsal lantas bangun dan berkata," Tak mengapalah ayah,biar saya sahaja yang menemani ayah ke sana,"Si Ayah begitu terharu mendengar pengakuan Amsal,walaupun beliau seringkali mengabaikan Amsal,namun Amsal masih menyayangi beliau.

Dipendekkan cerita,tibalah waktu yang dinantikan.Seperti yang dikatakan sebelum ini.Harben hanya sekadar menghantar ayahnya sampai ke muka pintu
Anis pula mengiringi ayahnya sehinggalah ke jeti.Apabila tiba waktu bertolak,Si Ayah sempat berpesan kepada Anis .Maka bermulalah pelayaran Si Ayah dan Amsal,dengan kehendak Allah ,sewaktu dalam pelayaran,berlaku ribut di tengah lautan dan dengan takdir Allah jualah,Si Ayah dan Amsal menemui ajal mereka di tengah lautan yang terbentang luas itu.


Mungkin ada di antara kita yang sudah biasa membaca kisah ini.Apabila kita hayati kisah ini,kita akan melihat kisah ini sebagai satu biasan atau gambaran tentang kehidupan seorng manusia itu sendiri.Si Ayah memainkan peranan sebagai manusia itu sendiri,sedangkan anak-anaknya merupakan perkara yang asasi bagi kehidupan kita iaitu Harben merujuk kepada HARTA BENDA,manakala Anis pula merujuk kepada ANAK ISTERI.Anak yang bongsu,Amsal pula membawa maksud AMAL SOLEH.Kita seringkali lupa dan terpedaya dengan nikmatnya kehidupan duniawi ini tanpa kita sedari pertemuan di antara dengan Rabb Yang Maha Pencipta makin hari semakin hampir.Kita sibuk mengejar kelazatan duniawi tanpa menyediakan ruang masa untuk merenung diri serta menghayati akan tujuan sebenar kehidupan kita di dunia.Kita seringkali mengabaikan hak kita kepada amalan-amalan yang memudahkan kita untuk mendapat keampunan dan ganjaran dari Allah.Sesungguhnya,saat kematian itu pasti akan menjemput setiap makhluk yang bernyawa.Adakah kita sedar,harta benda yang kita sayangi itu bukanlah mampu dibawa bertemu Allah,paling jauh pun harta dapat menemani kita hanya sampai di muka pintu rumah kita sahaja,begitu jualah anak dan isteri kita,mereka tidak dapat menemani kita ketika disoal di alam kubur nanti,paling jauh pun hanya setakat di tepian kuburan sahaja.Hanya amal soleh kita sahajlah yang akan bersam-sama kita dalam menanti saat kebangkitan kali kedua nanti.Amal soleh sahajalah yang akan membantu kita untuk menjawab pertanyaan Mungkar dan Nakir di alam kubur nanti.

Lantas,apakah bekalan yang kita bawa untuk bertemu Allah S.W.T,apakah kita merasakan amalan yang kita lakukan dari kecil hingga dewasanya kita ini diterima semuanya di sisi Allah,atau tanpa kita sedar,amalan-amalan tersebutlah yang akan dilemparkan kembali ke wajah kita umpama melontar kain buruk yang tak berguna.Saya teringat akan kata-kata seorang sahabat saya,katanya " Syurga dan neraka adalah dua tempat yang berbeza dan perbezaaannya umpama langit dan bumi,jadi manusia yang akan memasuki syurga mestilah mempunyai perbezaan yang cukup besar dengan manusia yang menuju ke neraka."Jadi sama-samalah kita renungi dan muhasabah semula diri kita,tepuk dada tanya Iman.
bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite