JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Friday, January 21, 2011

Mihrab yang bergerak



Di zaman globalisasi serba moden ini, ramai manusia yang semakin hanyut ditelan gelombang duniawi. Terkapai-kapai dan teraba – raba mencari sinar cahaya untuk pulang ke dunia yang lebih indah dan bahagia, kehidupan yang sentiasa mendapat berkat dan kemakmuran di bawah lembayung Rahmat –Nya. Hatta mereka yang dilahirkan dalam keluarga beragama Islam sekalipun, masih mencari erti dan penghayatan Islam yang sebenarnya dalam kehidupan. Hati-hati mereka dibutakan dengan kejelekan sistem jahiliyyah yang di alas dengan hiasan yang cantik berwarna-warni. Seorang tokoh Islam yang cukup terkenal, Yusuf Islam pernah menyebut

Sesungguhnya Barat itu umpama kapal yang sedang karam, namun masih ramai manusia yang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya.”

Hakikatnya, apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, maka akan berlaku penyerahan seluruh kehidupannya kepada Rabbul A’lamin. Penyerahan yang tiada paksaan dan penuh dengan kerelaan hati. Mukmin yang sebenarnya menjelmakan Islam sebagai cara hidup mereka, membawa bersama syakhsiah Islam dalam kehidupan seharian, bermula dari saat bangun dan terjaganya dari tidur, hingga di saat beliau kembali ke kamar tidurnya. Kehidupan yang dipenuhi dengan keImanan, disulami dengan kecantikan akhlak, menjadikan mereka ibarat mihrab dakwah yang bergerak, mempengaruhi peribadi-peribadi di sekelilingnya

.

Jadilah ibarat cahaya dalam kegelapan,

Terang dan menerangi suasana sekelilingnya...


Jika ditelusuri sirah Junjungan besar, Rasulullah S.A.W, kita akan dapati betapa praktikalnya dakwah dalam kehidupan baginda. Dakwah baginda bukan sahaja melalui kata-kata kosong bak seorang pensyair dengan keindahan bait-bait syairnya sahaja, tetapi diterjemahkan dengan jelas dalam seluruh gerak kehidupan, lantas menambat jiwa-jiwa insan di sekelilingnya, baik sahabat mahupun musuh.

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah

( Al-Ahzab : 21)

Teringat pada suatu artikel majalah HALUAN yang dibaca, menceritakan tentang pengalaman seorang mualaf yang ditemu ramah tentang sejarah keIslaman beliau, dan ada satu kata-katanya yang menarik perhatian,

Saya memeluk Islam bukan atas paksaan sesiapa, dan juga bukan kerana melihat atau tertarik dengan sesiapa. Andaikata saya memeluk Islam atas dasar berkawan dan bergaul bersama kawan-kawan Islam saya pada ketika itu, nescaya saya sama sekali tidak akan memeluk Islam.

Mengapa saya berkata begitu, kerana saya tidak melihat sedikit pun Islam itu dalam kehidupan mereka, dan sememangnya tiada sesiapa pun dari mereka yang pernah menceritakan kepada saya tentang Islam itu sendiri ”

Lihatlah betapa besarnya kesan peribadi seseorang itu mempengaruhi insan sekelilingnya. Ada manusia yang masih terkapai-kapai mencari seseorang yang mampu membimbing, yang mampu menjadi contoh tauladan kepada mereka. Fitrah manusia itu sendiri mahukan kebenaran, namun dek kerana dikaburi rakusnya kegelapan jahiliyyah yang menguasai kehidupan masa kini, insan-insan ini dengan rela hatinya berjalan menuju ke tebing kehancuran. Kemudian, dari munculnya tangan-tangan yang dipenuhi dengan keImanan, kasih sayang, serta penuh rasa cinta, menggapai dan menarik mereka dari terus terjerumus ke dalam lubang kehancuran tersebut.


Hulurkanlah kasih sayangmu....


Justeru, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan disamping berdoa mengharapkan pertolongan pemilik Hidayah, melengkapkan diri selaku duta-duta Islam yang bergerak dalam rombongan kehidupan ini. Pertingkatkan ilmu duniawi dan ukhrawi, perbaiki akhlak, peliharailah pertuturan dan pergaulan, serta senantiasalah memohon kekuatan diri. Bukanlah niat ingin melabelkan diri ini yang terbaik, tetapi atas dasar sedikit kesedaran yang dikurniakan oleh Nya, juga sedikit bekalan sebagai persembahan buat bertemu denganNya. Jangan sesekali kita lupa bahawa bisa sahaja Allah menarik kembali apa yang menjadi milikNya, dan Allah akan menggantikannya dengan memberikan kepada sesiapa yang diiginkanNya. Semoga kita terus sahaja berlumba dalam trek kehidupan ini, demi cita-cita menaiki podium mardhotillah, meraih pingat hamba Rabbani dan menjadi juara Ukhrawi. Ameen..

Thursday, January 6, 2011

Kehidupan yang memenatkan....

Kehidupan ini memang memenatkan,

tetapi....

Inilah hakikat perjuangan yang panjang,

Tidak akan berhenti,

Hingga saat itu menjelma...




*Renungan bersama, khususnya kepada sahabat2 yang sudah melangkah ke alam praktikal atau pun yang sudah bekerja.
bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite