JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Saturday, September 17, 2011

Rintihan Kalbu..



Ya Allah, betapa besarnya kemurahan dan Kasih Sayang-Mu

Dek kerana nafsu yang kuat itu, aku hanyut dalam arus kelalaian

Adakah aku layak bergelar hambaMU....



Friday, August 12, 2011

Sejenak Menghirup Udara Raudhatul Ramadan....



Seusai Fasa Pertama Ramadan...




Masihkah kita berada di atas trek ini ...?

makin perlahan rentaknya...

atau

sudah meninggalkannya..?


Tuesday, July 26, 2011

Siapa sebenarnya saya?




Alhamdulillah, baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri satu seminar berkaitan pendekatan genetik kepada masyarakat umum yang dianjurkan oleh Persatuan Genetik Malaysia. Walaupun saya bukanlah seorang yang berpengalaman dalam bidang ini, namun dengan sedikit pemahaman tentang Bahasa Inggeris dan Sains, dapat juga saya mengikuti setiap bait kata-kata pembentang kertas kerja yang sememangnya berbahasa Inggeris.

Dalam kebanyakan pembentangan, ada satu perbincangan yang cukup menarik perhatian saya. Tentang lembu. Ya, tentang lembu. Menurut si pembentang, pada masa kini terdapat pelbagai spesies lembu yang boleh didapati di Malaysia, seperti Brahman, Kedah Kelantan, dan juga kacukan komersial Australia. Semuanya ada sifat-sifat serta karakter masing-masing.

Apa yang menarik perhatian saya apabila si pembentang mengeluarkan kenyataan,

"Kita terlalu sibuk dengan menghasilkan kacukan-kacukan untuk menghasilkan spesies baru, tetapi kita tidak pernah meningkatkan pengeluaran dan kualiti spesies baka asal. Dan kita perlu sedar bahawa spesies ini semakin hari semakin berkurangan dalam populasi di negara kita. Kita takuti suatu hari nanti, spesies ini, spesies milik Malaysia ini sendiri, akan terus pupus dan hanya tinggal dalam sejarah sahaja".

Saya tersenyum sebentar dengan kenyataan professor tersebut. " Hai, masalah manusia pun jadi masalah lembu" gumam hati kecil saya,bahawa hakikat manusia yang hilang tentang identiti mereka pada ketika ini. Lihat sahaja sekeliling kita, pada golongan remaja khususnya. Kadang-kadang simpati melihat penampilan, sikap dan mentaliti yang dibawa, seperti layang-layang yang putus tali, tidak tahu ke mana arah hidupnya. Tidak merasai bangga dan berpegang teguh pada identiti asal mereka. Terbawa-bawa dengan identiti pihak lain, maka sedikit demi sedikit, identiti Islam itu hilang dikikis arus.


Apakah kesan kepada genetik asal, apabila dijajah genetik luar ...

Terlampau pekat kacukan dan campuran genetik jahiliyah dalam fitrah kehidupan hingga mengikis sedikit demi sedikit genetik Islam yang menjadi fitrah kehidupan, dan akhirnya genetik Islam itu hilang dari baka kehidupan. Apa yang sepatutnya haram, dilihat sebagai trend masa kini, apa yang halal, seolah-olah perkara ketinggalan zaman yang harus diperbaharui seiring dengan era modenisasi. Bagi mereka yang tidak punya asas yang benar tentang Islam, maka pegangannya akan goyah, lantas bermulalah episod kelahiran kehidupan yang baru. Tidak bangga lagi dengan identiti Islam.... Nauzubillahi min zalik.



Mereka ini seperti umang-umang, tidak punya kediaman asal dan tetap, hanya menumpang pada bekas-bekas atau pada cengkerang yang dijumpai. Melihat kekuatan mereka di atas kehebatan bekas yang mereka duduki, sedangkan realiti dalaman mereka, ternyata lembut serta lemah dan mudah sahaja dicederakan musuh. Seamatan mereka, 'rumah' mereka itu cantik, sedangkan ramai yang mencemuhnya.

Namun, siapa kita untuk mencemuh mereka, sedangkan Tuhan Maha Mengasihani dan Memberi Hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.Pandanglah mereka dengan pandangan yang penuh kasih sayang, kerana mereka itu juga saudara kita. Bersyukurlah pada Allah kerna nikmat yang diberikan kepada kita tidak diterima oleh mereka. Keluarga muslim, masyarakat beragama, sekolah yang dipenuhi dengan suasana tarbawi, itu nikmat yang cukup besar diberikan Allah. Layanilah kerenah mereka, kerana mereka merupakan mangsa keadaan yang cukup mendesak pada hari ini. Jika disoal selidik setiap individu, pasti jauh dalam lubuk hati mereka tidak mahukan kehidupan yang huru-hara, dan yang pasti kehidupan bahagia serta indah sahaja yang diimpikan.

Wednesday, June 8, 2011

Perlukah Pengorbanan ?


Perlukah pengorbanan ?

By : Engineer Illahi

Ada sesetengah pihak berkata , Jika kita inginkan sesuatu , maka kita perlu memberi sesuatu . Begitulah lumrah dan fitrah kehidupan di dunia ini , yang telah disusun dan dijalankan dengan begitu cantik dan sempurna sekali , tanpa ada sebarang kesilapan sedikit pun dalam perencanaanNya. Jika kita inginkan kejayaan , maka kita perlu membayarnya dengan kepayahan, jika kita inginkan ubat yang mampu menyembuhkan penyakit , maka kita perlu membayar dengan rasa pahitnya ubat itu.Jika kita mahukan keuntungan dalam perniagaan , maka kita perlu membayar dengan kerugian , dan jika kita mahukan makanan yang sedap dan mewah , maka kita akan membayarnya dengan penyakit – penyakit yang berisiko tinggi.

Hakikat pengorbanan merupakan satu tuntutan yang amat penting dalam Islam. Pengorbanan jiwa , harta , masa dan juga kehidupan menjadi tuntutan buat mereka yang mengimpikan keredhaanNya. Apabila seseorang muslim itu melafazkan kalimah tauhid, maka dengan automatiknya ,dia telah melakukan pengorbanan dalam memilih Islam sebagai jalan hidupnya. Allah S.W.T telah berfirman dalam kitab suciNya ,







Terjemahannya:-

" Maka Allah mengilhamkan kepad jiwa itu jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensuciakn jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya."

(Surah asy-Syams: ayat 8-10.)

Secara fitrahnya , Allah telah memberi dua pilihan dalam menentukan jalan kehidupan dan pengakhiran bagi seseorang yang bergelar manusia di dunia ini. Salah satu jalannya penuh dengan mehnah dan ujian, penuh dengan tanggungjawab dan pengorbanan dan bertentangan dengan kehendak nafsu syahwat. Manakala jalan yang lain pula penuh dengan keseronokan , kealpaan dan kerehatan. Pada jalan ini, segala – galanya menurut hawa nafsu, memenuhi naluri kehidupan.

Di atas dasar pengorbanan insan – insan yang memilih jalan kesusahan inilah , disediakan kesenangan Syurga di akhirat kelak , manakala atas keseronokan memilih jalan yang satu lagi , seksaan Neraka dan azab menanti sebagai ganjaran. Ramai manusia mengimpikan Syurga yang indah dan kekal abadi , namun hakikat kehidupan seharian mereka langsung tidak mempamerkan kesediaan dan kesanggupan untuk membayar harga mahalnya Syurga itu.




Terjemahannya:

" Adapun orang-orang yang beriaman dan mengerjakan amalan soleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang yang fasiq maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepoada mereka: "Rasakanlah siksaan neraka yang dahulu kamu dustakan ".

(Surah as-Sajadah: ayat 19-20.)

Allah memberi kelebihan kepada hambaNya yang bergelar manusia untuk memilih sendiri jalan masing – masing, tidak sama sekali memaksa atau mendesak untuk tunduk dan patuh kepadaNya. Tidak jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain , pokok, sungai , binatang , burung , mereka semuanya ditundukkan secara paksa dalam penyembahan kepada Allah S.W.T. dan kewujudannya hanyasanya pelengkap serta perhiasan dunia yang fana ini. Jika diperhatikan , maka amat beruntunglah makhluk Allah yang bergelar Manusia ini.

Tuntasnya, pemilihan antara jalan kefasikan dan juga ketaqwaan itu berbalik kepada hati makhluk bergelar manusia itu sendiri. Pemilihan yang datang dari hati itu juga lahir dari keinsafan dan kesedaran , didasari dengan kefahaman Islam yang hakiki , bukannya atas dasar warisan keluarga , hobi masa lapang , mahupun budaya masyarakat.









Terjemahannya:

" Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia "

(Surah ar-Ra'd: ayat 11.)

Pengorbanan kepada pilihan ini bukanlah pengorbanan yang sementara sahaja dan sebahagian sahaja , tetapi pengorbanan inilah adalah penyerahan seluruh jiwa dan raga. Apabila seseorang itu menyerahkan seluruh kehidupannya pada pilihan ini , Insya Allah , di sana dia akan dapat melihat adanya bimbingan dan panduan dalam melayari kehidupan fana ini , adanya penyelesaian kepada permasalahan kehidupan dan adanya suatu kesudahan yang baik dan hakiki menanti.

Friday, April 1, 2011

Buah itu yang bernama Dakwah


Wahai sahabat-sahabat yang dikasihi,

Setelah sekian lama kita meneladani jalan ini,

Marilah sama-sama kita hayati dan renungi,

Renungi semula permulaan kembara ini,

Di sebuah mihrab nun jauh terpencil lagi sunyi,

Hanya ditemani unggas dan dedaunan pokok getah yang menari – nari

Saujana indah sang Bukit Tunjung menjadi saksi,


Di sini,

Kita ibarat sebutir biji benih yang tidak mengerti,

Ditapak Biah Solehah itu ia disemai penuh murni,

Dipelihara rapi Murabbi Mithali,

Dengan siraman air Manhaj Rabbani,


Menghasilkan pokok yang subur dan teguh siasi,

Mengeluarkan ranting-ranting kasih sayang insani

Menaungi hamba-hamba Rabbani,

Dari panas dan bahang sang mentari


Hari demi hari,

Pokok itu kian teguh berdiri

Mengejar cahaya Ilmu sang mentari

Menggapai tinggi langit Cita-cita yang tak pasti


Namun,

Adakah selamanya si pokok itu harus menaungi

Tanpa menghasilkan sesuatu untuk dirasai

Tanpa memberi buah yang manis memikat hati


Yang mampu dilakukan hanyalah memerhati

Hanyutnya insan dalam arus duniawi

Terus berbangga dengan julang Ilmunya yang melangit tinggi,

Merasakan diri ini sudah Tarbawi

Tanggungjawab menyeru bukanlah Prioriti

Hingga manusia itu jauh dari Illahi


Marilah kita sama-sama muhasabah diri

Merasai gentingnya tugas ini

Kerna kelak akan diadili

Adakah tugas ini telah disudahi


Ayuh….

Sudah tiba masanya menggerakkan diri

Mantapkan lagi ilmu ukhrawi

Ketepikan rasa malu dan segan di hati

Praktikkan segala nutrient dan khasiat Tarbiyah yang diperolehi

Dengan mengeluarkan buah Dakwah yang manis dan berkualiti

Memikat dan memberkas di hati

Biar semuanya merasai

Indahnya hidup di bawah naungan Illahi


Engineer Illahi, 31 Mac 2011 , 3:47:17 PM

Agro Biotech Institute of Malaysia

Serdang, Selangor

Friday, March 18, 2011

Pernah ada masa-masa


Pernah ada masa -masa dalam cinta kita,
Kita lekat bagai api dan kayu
bersama menyala, saling menghangatkan rasanya,
hingga terlambat untuk menginsafi diri bahawa
tak tersisa dari diri -diri selain debu dan abu

pernah ada waktu - waktu dalam ukwah ini
kita terlalu akrab bagai awan dan hujan
merasa menghias langit, menyuburkan bumi
dan melukis pelangi
namun tak sedar, hakikatnya kita saling meniadai

di satu titik lalu sejenak kita berhenti, menyedari,
mungkin hati kita telah terkecualikan dari ikatan di atas Iman
bahkan saling nasihat pun tak lain bagai dua lilin
saling mencahayai , tapi masing-masing habis dimakan api

kini saatnya kembali pada Iman yang menerangi hati
pada amal shalih yang menjulang bercabang-cabang
pada akhlak yang manis , lembut dan wangi
hingga ukwhah kita menggabungkan huruf-huruf menjadi kata
yang dengannya kebenaran terbaca dan bercahaya

Dalam Dekapan Ukhuwah
Salim A. Fillah

Friday, March 4, 2011

Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw


Assalamualaikum, sekadar renungan bersama,

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:


"Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya." Para sahabat bertanya lagi, "wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah "ialah orang yang takbur."

Riwayat at-Tarmizi


Huraian:
1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan o
rang lain.


Friday, January 21, 2011

Mihrab yang bergerak



Di zaman globalisasi serba moden ini, ramai manusia yang semakin hanyut ditelan gelombang duniawi. Terkapai-kapai dan teraba – raba mencari sinar cahaya untuk pulang ke dunia yang lebih indah dan bahagia, kehidupan yang sentiasa mendapat berkat dan kemakmuran di bawah lembayung Rahmat –Nya. Hatta mereka yang dilahirkan dalam keluarga beragama Islam sekalipun, masih mencari erti dan penghayatan Islam yang sebenarnya dalam kehidupan. Hati-hati mereka dibutakan dengan kejelekan sistem jahiliyyah yang di alas dengan hiasan yang cantik berwarna-warni. Seorang tokoh Islam yang cukup terkenal, Yusuf Islam pernah menyebut

Sesungguhnya Barat itu umpama kapal yang sedang karam, namun masih ramai manusia yang berebut-rebut membeli tiket untuk menaikinya.”

Hakikatnya, apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, maka akan berlaku penyerahan seluruh kehidupannya kepada Rabbul A’lamin. Penyerahan yang tiada paksaan dan penuh dengan kerelaan hati. Mukmin yang sebenarnya menjelmakan Islam sebagai cara hidup mereka, membawa bersama syakhsiah Islam dalam kehidupan seharian, bermula dari saat bangun dan terjaganya dari tidur, hingga di saat beliau kembali ke kamar tidurnya. Kehidupan yang dipenuhi dengan keImanan, disulami dengan kecantikan akhlak, menjadikan mereka ibarat mihrab dakwah yang bergerak, mempengaruhi peribadi-peribadi di sekelilingnya

.

Jadilah ibarat cahaya dalam kegelapan,

Terang dan menerangi suasana sekelilingnya...


Jika ditelusuri sirah Junjungan besar, Rasulullah S.A.W, kita akan dapati betapa praktikalnya dakwah dalam kehidupan baginda. Dakwah baginda bukan sahaja melalui kata-kata kosong bak seorang pensyair dengan keindahan bait-bait syairnya sahaja, tetapi diterjemahkan dengan jelas dalam seluruh gerak kehidupan, lantas menambat jiwa-jiwa insan di sekelilingnya, baik sahabat mahupun musuh.

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah

( Al-Ahzab : 21)

Teringat pada suatu artikel majalah HALUAN yang dibaca, menceritakan tentang pengalaman seorang mualaf yang ditemu ramah tentang sejarah keIslaman beliau, dan ada satu kata-katanya yang menarik perhatian,

Saya memeluk Islam bukan atas paksaan sesiapa, dan juga bukan kerana melihat atau tertarik dengan sesiapa. Andaikata saya memeluk Islam atas dasar berkawan dan bergaul bersama kawan-kawan Islam saya pada ketika itu, nescaya saya sama sekali tidak akan memeluk Islam.

Mengapa saya berkata begitu, kerana saya tidak melihat sedikit pun Islam itu dalam kehidupan mereka, dan sememangnya tiada sesiapa pun dari mereka yang pernah menceritakan kepada saya tentang Islam itu sendiri ”

Lihatlah betapa besarnya kesan peribadi seseorang itu mempengaruhi insan sekelilingnya. Ada manusia yang masih terkapai-kapai mencari seseorang yang mampu membimbing, yang mampu menjadi contoh tauladan kepada mereka. Fitrah manusia itu sendiri mahukan kebenaran, namun dek kerana dikaburi rakusnya kegelapan jahiliyyah yang menguasai kehidupan masa kini, insan-insan ini dengan rela hatinya berjalan menuju ke tebing kehancuran. Kemudian, dari munculnya tangan-tangan yang dipenuhi dengan keImanan, kasih sayang, serta penuh rasa cinta, menggapai dan menarik mereka dari terus terjerumus ke dalam lubang kehancuran tersebut.


Hulurkanlah kasih sayangmu....


Justeru, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan disamping berdoa mengharapkan pertolongan pemilik Hidayah, melengkapkan diri selaku duta-duta Islam yang bergerak dalam rombongan kehidupan ini. Pertingkatkan ilmu duniawi dan ukhrawi, perbaiki akhlak, peliharailah pertuturan dan pergaulan, serta senantiasalah memohon kekuatan diri. Bukanlah niat ingin melabelkan diri ini yang terbaik, tetapi atas dasar sedikit kesedaran yang dikurniakan oleh Nya, juga sedikit bekalan sebagai persembahan buat bertemu denganNya. Jangan sesekali kita lupa bahawa bisa sahaja Allah menarik kembali apa yang menjadi milikNya, dan Allah akan menggantikannya dengan memberikan kepada sesiapa yang diiginkanNya. Semoga kita terus sahaja berlumba dalam trek kehidupan ini, demi cita-cita menaiki podium mardhotillah, meraih pingat hamba Rabbani dan menjadi juara Ukhrawi. Ameen..

Thursday, January 6, 2011

Kehidupan yang memenatkan....

Kehidupan ini memang memenatkan,

tetapi....

Inilah hakikat perjuangan yang panjang,

Tidak akan berhenti,

Hingga saat itu menjelma...




*Renungan bersama, khususnya kepada sahabat2 yang sudah melangkah ke alam praktikal atau pun yang sudah bekerja.
bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite