JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Wednesday, June 30, 2010

Seusai Kembara Reunion Generasi 13


By : Engineer Illahi

Alhamdulillah, akhirnya program yang dirancang bersama – sama berjaya dilakukan dengan lancarnya.

Program reunion ini bermula di garisan titik tolak pengenalan sesama kami, tempat di mana kami semua menerima semaian tarbiyah Islamiyah yang pertama , tempat di mana bermulanya seribu satu kisah suka dan duka. Secara officialnya kami bermula sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat. Alhamdulillah , Allah memberi kesempatan untuk saya bertemu dengan mudir yang kami hormati Ustaz Dahlan. Di raut wajahnya terpancar kejernihan dan harapan buat kami para pemuda. Penyampaian yang disampaikan oleh Ustaz Rahim kemudiannya umpama memberi satu sinar kebangkitan buat diriku.

Pada petangnya , kami mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Generasi ke 13 MATRI dan pasukan bola sepak MATRI. Walaupun kalah 4 – 1 , namun itu bukanlah matlamat kami mengadakan perlawanan tersebut , sebaliknya hanya bermatlamatkan untuk mengeratkan ukhwah antara kami semua semula. Program seterusnya dijalankan di rumah Hamizan di Behor Pulai, dan penyampaian disampaikan oleh tuan rumah Pak cik Abdul Hamid , ayah kepada Hamizan serta oleh Pak Cik Ghazali , ayah kepada sahabat kami yang tidak dapat hadir, Umar Muhajir.

Keesokan paginya , selesai sahaja bersarapan dan berkemas , Generasi ke 13 , seramai 38 orang yang hadir , memulakan pengembaraan dengan bertolak ke Kuala Perlis menaiki bas MATRI. Kami tiba di pulau Langkawi pada jam 11.30 pagi. Sebaik sahaja selesai urusan mengambil van dan kereta sewa , kami bertolak ke destinasi pertama kami , Asrama HALUAN Penyayang Langkawi.

Setibanya kami di sana, ramai yang mengambil peluang untuk merehatkan diri sebelum meneruskan program seterusnya. Sebaik sahaja selesai makan tengahari , kami bersiap untuk ke gelanggang futsal. Kami dibahagikan kepada 5 kumpulan dan bermain secara liga. Selesai sahaja perlawanan , walaupun penat , namun kami tetap merasai bahang kehangatan ukhwah di antara kami. Terasa bagaikan sedang berada di MATRI dan bersama – sama kembali ke zaman persekolahan dahulu.

Penat bermain , kami mengambil peluang menyejukkan badan di Air Terjun Rekreasi Lubuk Semilang. Terasa hilang segala keletihan dek penangan kedinginan air Lubuk Semilang yang tenang mengalir tanpa sebarang pencemaran diiringi pula dengan kehijauan flora dan fauna yang masih tidak diusik daranya. Masya Allah , indahnya ciptaan Mu.

Program pada malamnya diteruskan dengan sesi barbeque yang diadakan di Asrama HALUAN Penyayang Langkawi, di mana pada asal perancangan , akan bersama dengan sahabat – sahabat Langkawi , tetapi kerana ada urusan yang lebih penting maka program tersebut hanya dijalankan sesama kami. Hikmah tidak dapat bersama – sama dengan pak cik – pak cik , kami mempunyai kelapangan masa untuk berehat disamping bersama –sama menyediakan barbeque pada malam itu.

Kembara Generasi 13 diteruskan keesokannya dengan program menaiki Cable Car Langkawi. Alhamdulillah , berkat kedatangan awal kami ke sana , kami mendapat satu tiket percuma dan memang tidak ramai pengunjung yang berada di sana. Sepanjang gondola ( gelaran bagi cable car ) bergerak menuju puncak Gunung Mat Chincang , pelbagai reaksi dapat dilihat dari sahabat – sahabatku.Ada yang gayat , maka berderailah gelak tawa melihat reaksi beliau. Sepanjang berada di puncak Gunung Mat Chincang , terpana sebentar melihat keindahan alam ciptaan Allah . Terbentang luas lautan yang membiru , terpasak kukuh bukit bukau dan gunung – ganang yang menjadi pasak bumi ini menjadi bukti keagungan kekuasaanNya. Kami juga sempat mengambil beberapa keping gambar kenang – kenangan di atas jambatan gantung. Saat menuruni puncak gunung , salah seorang sahabatku berkata , ” Macam ni rupanya pandangan dari mata seekor burung ” . Terngiang – ngiang kata –kata Ustaz Muhtad ketika program rehlah tarbawiku yang pertama bersama –sama adik – adik halaqatku ,

" Iktibar dari menaiki kereta kabel ini adalah , kita sebenarnya tidak ada sesiapa atau apa – apa untuk bergantung selain hanya kepada Allah semata –mata.Dengan tergantung hanya dengan sebatang besi pada tali sawat ini , tidak ada sesiapa yang mampu memberi keselamatan atau pun kemudaratan kepada kita melainkan Allah. " .

Sebaik sahaja tamat penjelajahan di cable car , kami terus ke Pantai Cenang untuk check – in di Grand Beach Resort. Pada mulanya, hanya 3 bilik yang tersedia dari 6 bilik yang ditempah kerana 3 lagi sedang dibersihkan. Selesai sahaja kerja pembersihan , kami semua memasuki bilik masing – masing. Program kami pada waktu petang itu adalah permainan pantai. Kebetulan kami membawa bola futsal yang dibeli kelmarin , dapatlah kami bermain bola pantai pada petang tersebut. Yang selebihnya turun mandi manda di pantai. Aktiviti malamnya pula bebas dan ramai yang mengambil peluang untuk keluar ke pekan Kuah dan ada juga yang mengambil peluang untuk berehat setelah seharian penat mengembara.


" Iktibar dari menaiki kereta kabel ini adalah , kita sebenarnya tidak
ada sesiapa atau apa – apa untuk bergantung selain hanya kepada Allah semata –mata.Dengan tergantung hanya dengan sebatang besi pada tali sawat ini , tidak ada sesiapa yang mampu memberi keselamatan atau pun kemudaratan kepada kita melainkan Allah. " .


Itu aktiviti bagi sahabat –sahabatku, lain pula ceritanya bagi diriku. Pada malam tersebut , saya terpaksa mengendalikan satu slot motivasi kepada pelajar tahun 4 dan 5 dari Sekolah Kebangsaan Batu Kurau , Perak yang asalnya diisi oleh ayah saya. Oleh kerana beliau berkursus di Kedah pada malam tersebut , ayah saya menyerahkan tugas tersebut kepada saya. Dibantu 4 orang lagi sahabat saya, Izzat Ibrahim , Hamizan , Hilmi dan juga Ihsan , Alhamdulillah , program tersebut dapat dijalankan dengan lancar. Sememangnya ia merupakan satu pengalaman yang berguna buat diri kami masing –masing dalam mengendalikan program sebegini.

Keesokan paginya , saya terpaksa bangun awal dan bergegas pulang kerana terpaksa menghantar ibu dan dua orang adik saya ke sekolah kerana ayah saya masih di Kedah. Pulang dari menghantar mereka , saya terus ke pantai bersama –sama sahabat – sahabat bermain bola dan mandi pantai. Subhanallah , terasa keindahan ukhwah itu di saat kami bersama – sama bergurau senda di pantai. Sebelum balik ke bilik , saya terpilih sebagai model arca Spinx ( tugu manusia berbadan singa di Mesir ) , menggunakan pasir. Kebas dibuatnya badan saya dek kerana terlalu lama duduk di dalam ’kubur ’ pasir tersebut.

Selesai berkemas dan check – out , kami bertolak ke pekan Kuah untuk membeli – belah barangan kenang – kenangan di Langkawi. Kemudian kami terus bertolak ke jeti untuk solat Zohor dan menaiki feri.

Sememangnya lumrah kehidupan , setiap pertemuan itu pasti dicemburui oleh perpisahan. Saat saya menghantar sahabat – sahabat menuju ke feri , sebak mula bertakhta di cerok hati ini, dan di saat saya bersalam dan memeluk sahabat – sahabat , seorang demi seorang , air mata mula bertakung , namun saya cuba mengawal. Entah mengapa , terasa teramat sedih dan terkilan kerana masa kami bersama dirasakan terlalu singkat. Tidak sempat untuk meluahkan kasih sayang sebenar seorang sahabat kepada sahabatnya...dirasakan tidak puas bersama walaupun hakikatnya kami pernah bersama, berkongsi suka duka , pahit manis memori di mihrab tarbiyah kami di MATRI. Entah bila lagi kami akan bertemu dan berkumpul sebegini.Ya Allah , berilah kekuatan kepada kami..

"Sahabatku , walaupun masa kita bersama teramat singkat pada amatanku , namun segala kenangan , memori , senyuman , celoteh di saat kita bersama , tak akan aku lupakan buat selamanya dan akan terpahat utuh di minda ini....Ameen"

p/s : gambar akan diupload kemudian



No comments:

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite