JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Tuesday, January 19, 2010

Matlamat Kehidupan ( sambungan )



Justeru bagi mendapatkan jawapan yang benar lagi jelas , maka marilah kita kembali kepada sumber rujukan utama dalam kehidupan kita , Al – Quran.

1.Persoalan yang pertama , Dari mana kita di datangkan ?
Untuk itu mari kita perhatikan firman Allah dalam kitab sucinya ,


Terjemahannya:

“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui “
(Surah Al Hajj ayat 5)



2.Bagi persoalan yang kedua , kita hayati pula firman Allah dalam Surah Ad – Dzariyyat , ayat 56


Terjemahannya:

“ Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “

(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)


Daripada ayat diatas , kita dapat simpulkan bahawa tiada tujuan lain penciptaan kita di dunia selain mengabdikan diri kita hanya kepada Allah. Para Ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan beribadah kepada Allah itu bukanlah tertakluk kepada lima rukun Islam yang kita pelajari dari tadika - tadika atau sekolah rendah lagi , tetapi ia merangkumi segala kehidupan kita di dunia ini.

”Sesungguhnya beribadah kepada Allah s.w.t tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman sesetengah golongan Islam (yang mendakwa Islam). Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah s.w.t terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap Allah s.w.t. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset dari hakikatnya yang sebenar "
Profesor Dr Yusuf Al - Qardhawi

Jika kita fahami akan maksud kata – kata di atas , maka kita akan dapati bahawa yang dimaksudkan dengan berIbadah kepada Allah itu meliputi seluruh kehidupan kita di dunia ini.Bermula dari bangunnya kita dari tidur , makan , mandi , bekerja , menghadiri kuliah , beriadah , berseronok bersama keluarga , dan sehingga kita kembali tidur, semuanya harus menjadi Ibadah kepadaNya. Setiap pekerjaan , pelajar,mahasiswa ,guru,pensyarah,doktor perubatan, doktor pakar,jurutera,tukang sapu sampah,pekerja kilang,hatta nelayan dan petani sekalipun, menjadi kewajipan untuk menjadikan pekerjaan masing – masing sebagai Ibadah kepada Allah.

Namun hakikat sebenar penciptaan ini semakin dilupakan dek kerana alpanya seseorang itu dengan arus jahiliyyah yang menyelimuti dunia hari ini. Bagi mereka , cukuplah sekadar agama di dalam masjid – masjid atau surau – surau. Cukuplah agama itu di tempat – tempat tertentu dan majlis – majlis tertentu sahaja. Cukuplah agama itu hanya kepada golongan yang memakai serban dan ketayap sahaja. Maka muncullah ideologi Islam Liberalisme dan pelbagai lagi ideologi yang menyesatkan mereka yang leka.

3.Persoalan yang terakhir , Kemanakah kita akhirnya ?

Terjemahannya :

” Sesungguhnya kepada Tuhan ( Allah ) kesudahan kamu ( tempat kembali ).Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dialah yang membuat kamu menangis.Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali”
( Surah An –Najm ayat 42 – 44 )

Al Ustaz Syed Fathi Yakan telah menyatakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Islam , manusia itu digolongkan dalam tiga golongan ,

1 ) Golongan yang hidup untuk dunia
2) Golongan yang sesat antara kehidupan dunia dan akhirat
3) Golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat

Pada hakikatnya , setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui kematian. Hanya yang membezakan , adalah destinasi terakhir yang akan dijejakinya nanti. Dan yang pasti akan hanya ada dua pengakhiran sahaja di akhirat kelak ; syurga atau neraka. Semua yang hidup di dunia ini pastinya mahukan pengakhiran yang baik dan ketahuilah bahawa syurga Allah itu amat mahal harganya. Tak ada sesiapa pun yang mampu membelinya walaupun dengan kekayaan seluruh dunia dan amalan setinggi langit pun. Hanya dengan Rahmat Allah sahaja yang dapat menyelamatkan kita daripada azab seksanya di akhirat nanti.Lantas apakah persiapan kita dalam menghadapinya ?


Marilah kita bersama – sama kembali membetulkan tujuan dan matlamat penghidupan kita di dunia yang fana ini. Semoga dengan menyedari akan matlamat sebenar penghidupan ini , maka setiap saat dan detik dalam kehidupan , kita abadikan hanya kepada Allah dalam rangka untuk mencari keredhaanNya. Ameen.

No comments:

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite