JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Thursday, February 11, 2010

Apakah yang paling ......


by : Engineer Illahi

Suatu hari Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya,

“Apakah perkara yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?

Murid – muridnya menjawab : Orang tua ,guru,teman ,kaum kerabat

Imam Al – Ghazali menjawab ,”Semua jawapan itu benar , tetapi paling dekat dengan kita ialah MATI.Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.”( Ali – Imran : 185 )


“Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?”

Murid – muridnya menjawab ,”Negeri China , bulan ,matahari, bintang-bintang.”

Imam Al- Ghazali menjawab ,” Semua jawapan itu benar , tetapi yang paling jauh dari kita di dunia ini ialah MASA LALU.Bagaimanapun kita ,apapun kenderaan kita,tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu.Oleh sebab itu ,kita harus menjaga hari ini,hari esok ,dan hari-hari yang akan datang agar melakukan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama."



“Apa yang paling besar di dunia ini ? “

Murid-muridnya menjawab ,”Gunung,matahari ,bumi”

Imam Al- Ghazali menjawab ,”Semua jawapan itu benar ,tetapi yang besar sekali di dunia ini adalah HAWA NAFSU.Maka kita perlulah berhati-hati agar nafsu itu tidak membawa kita ke neraka.( Al –A’raf : 179 )



“ Apa yang paling berat di dunia ini ? “

Murid –muridnya menjawab ,”Baja , besi ,gajah,”

Imam Al – Ghazali menjawab,”Semua itu benar tetapi yang paling berat di dunia ini ialah AMANAH ( Al – Ahzab: 72)


“Apa yang paling ringan di dunia ini ? “

Murid-muridnya menjawab,”kapas ,angin,debu,daun-daun.”

Imam Al-Ghazali menjawab,”Semua jawapan itu benar tetapi yang paling ringan di dunia ini ,adalah MENINGGALKAN SOLAT .Disebabkan pekerjaan atau urusan dunia kita tinggalkan solat.


“Apa yang paling tajam sekali di dunia ini ,”

Murid-muridnya menjawab,”Pedang ,pisau,gunting,”

Imam Al- Ghazali lantas menjawab,”Itu benar , tapi yang paling tajam sekali di dunia ini ialah LIDAH.Disebabkannya,manusia dengan mudah menyakiti dan melukai hati saudaranya sendiri.”






Tuesday, February 9, 2010

Muhasabah Diri


by : Engineer Illahi

Setiap insan yang ada di muka bumi ini pasti akan melakukan kesalahan. Tidak ada sesiapa pun yang bergelar insan mahupun manusia , tidak akan melakukan kesalahan. Bezanya adakah kita menyedari kesalahan itu dan memperbaiki serta memohon taubat ataupun langsung tidak menyedari dan membiarkan kesalahan itu menjadi darah daging yang sebati dalam kehidupan mereka.

Dalam tangga – tangga untuk meningkatkan keImanan sebagai seorang hamba kepada Rabbul ’Alamin, Muhasabah menjadi salah satu dari anak – anak tangga tersebut. Firman Allah S.W.T dalam kitabNya, maksudnya :



“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
[Al-Hasyr: 18]


Pernahkah kita bertanya pada diri kita , sebelum kita tidur dibuai mimpi yang panjang , adakah kita melihat dan mengkaji semula , apa yang telah kita lakukan sepanjang seharian kita dihidupkan di atas muka bumi ini. Adakah kehidupan kita pada hari itu merupakan kehidupan yang bermakna , dipenuhi dengan ketaatan kepada Allah, dipenuhi dengan bekalan – bekalan kehidupan sebagai persediaan bertemu denganNya. Ataupun kehidupan pada hari itu dipenuhi dengan kelalaian serta hanyut akan arus duniawi. Adakah kehidupan hari itu lebih teruk dari kehidupan sebelumnya.

Kadang kala , kita merasakan bahawa diri kita adalah yang terbaik , dari segi amalannya , dari segi pergaulan kita , dari segi kefahaman tentang Islam dan dari segi pelbagai aspek lagi. Namun jika kita renungi , rupa – rupanya kita hanyalah bermegah – megah dan mendabik dada sahaja. Kita sebenarnya melalui kehidupan yang lebih teruk dari mereka yang tidak memahami Islam itu sendiri. Kadangkala apabila telah lama berada di dalam kehidupan beragama ini, kita mula merasa bosan. Solat dilewat – lewatkan, amalan – amalan sunat ditinggalkan, nafsu tidur dilayan sehingga masa terbuang begitu sahaja. Bagi kita berada di dalam situasi tersebut menyebabkan kita terkongkong dari menikmati nikmatnya kehidupan duniawi ini.

Manusia yang berada di dalam lombongan emas tidak merasakan akan betapa berharganya emas itu , sedangkan mereka yang berada di luar lombongan itulah, mereka berebut – rebut untuk mendapatkan emas yang berkualiti dan berlumba – lumba untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan. Kenapa hal begini bisa terjadi. Hal ini kerana , mereka yang berada di lombongan itu sudah lali dengan emas yang banyak di sekeliling mereka, hari – hari mata mereka menatap emas yang sama, tidak ada perkara lain, sehinggakan emas itu ibarat barang permainan yang tiada nilainya. Sedangkan mereka tidak pernah memikirkan akan bisa sahaja majikan mereka memecat mereka dari pekerjaan mereka, digantikan dengan pekerja yang baru dan lebih bersemangat lagi.



“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk pertunjukkan yang agung (hari Kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian barang satu pun.”

Bagi mereka yang bergelar daie ataupun pendakwah , sungguh , Muhasabah inilah yang menjadi titik peningkatan kepada amalan dan usaha dalam menyemarakkan lagi deen Allah di muka bumi ini. Mintalah kepada Allah agar dikekalkan hati kita di atas dasar Iman ini, dan dengan kesedaran ini, marilah kita sama – sama menyebarkan ajaran yang mulia ini pada sesiapa sahaja yang kita kenali.Dengan bermuhasabah , kita akan dapat meneliti dan mengkaji semula kehidupan yang telah kita lalui sepanjang kehidupan kita di dunia .



“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk pertunjukkan yang agung (hari Kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan kepada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian barang satu pun.”
Umar Al - Farouq





Bermuhasabah selalu nescaya kita akan merasakan akan mahalnya anugerah Iman dan Islam ini. Bermuhasabahlah selalu dan kita akan merasakan bahawa amalan – amalan yang kita lakukan itu hanyalah cebisan – cebisan amalan yang tidak mampu untuk ’membeli ’ syurga Allah di akhirat kelak. Bermuhasabahlah walau dari sebesar – besar perbuatan hinggalah sekecil – kecilnya.Maka berusahalah untuk meningkatkan lagi amalan – amalan sebagai bekalan kita dalam mencapai Redha Nya.


Sungguh kita tidak layak untuk memasuki syurga Allah dan juga kita tidak sanggup menanggung azab seksaNya , yang kita mampu lakukan , carilah sebanyak – banyaknya bekalan dari perkara – perkara wajib hinggalah yang sunat dan lakukanlah amalan walaupun sekecil – kecil amalan , moga – moga di sisi Allah , ia akan menjadi sesuatu yang cukup besar dan berharga. Cubalah sedaya upaya untuk meminimakan perbuatan dosa dalam kehidupan kita, dan janganlah dengan beralasan kepada ” tidak ada manusia yang sempurna ” maka kita meninggalkan segala laranganNya.Teruskanlah menangguk dari sungai – sungai kehidupan ini.Moga di sana, kita akan beroleh bijih – bijih keredhaan Allah sebagai bekalan mencapai SyurgaNya kelak. Amin.

Tuesday, January 19, 2010

Matlamat Kehidupan ( sambungan )



Justeru bagi mendapatkan jawapan yang benar lagi jelas , maka marilah kita kembali kepada sumber rujukan utama dalam kehidupan kita , Al – Quran.

1.Persoalan yang pertama , Dari mana kita di datangkan ?
Untuk itu mari kita perhatikan firman Allah dalam kitab sucinya ,


Terjemahannya:

“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui “
(Surah Al Hajj ayat 5)



2.Bagi persoalan yang kedua , kita hayati pula firman Allah dalam Surah Ad – Dzariyyat , ayat 56


Terjemahannya:

“ Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “

(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)


Daripada ayat diatas , kita dapat simpulkan bahawa tiada tujuan lain penciptaan kita di dunia selain mengabdikan diri kita hanya kepada Allah. Para Ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan beribadah kepada Allah itu bukanlah tertakluk kepada lima rukun Islam yang kita pelajari dari tadika - tadika atau sekolah rendah lagi , tetapi ia merangkumi segala kehidupan kita di dunia ini.

”Sesungguhnya beribadah kepada Allah s.w.t tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti tilawah al Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman sesetengah golongan Islam (yang mendakwa Islam). Ramai yang telah menyangka bahawa apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah s.w.t terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap Allah s.w.t. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset dari hakikatnya yang sebenar "
Profesor Dr Yusuf Al - Qardhawi

Jika kita fahami akan maksud kata – kata di atas , maka kita akan dapati bahawa yang dimaksudkan dengan berIbadah kepada Allah itu meliputi seluruh kehidupan kita di dunia ini.Bermula dari bangunnya kita dari tidur , makan , mandi , bekerja , menghadiri kuliah , beriadah , berseronok bersama keluarga , dan sehingga kita kembali tidur, semuanya harus menjadi Ibadah kepadaNya. Setiap pekerjaan , pelajar,mahasiswa ,guru,pensyarah,doktor perubatan, doktor pakar,jurutera,tukang sapu sampah,pekerja kilang,hatta nelayan dan petani sekalipun, menjadi kewajipan untuk menjadikan pekerjaan masing – masing sebagai Ibadah kepada Allah.

Namun hakikat sebenar penciptaan ini semakin dilupakan dek kerana alpanya seseorang itu dengan arus jahiliyyah yang menyelimuti dunia hari ini. Bagi mereka , cukuplah sekadar agama di dalam masjid – masjid atau surau – surau. Cukuplah agama itu di tempat – tempat tertentu dan majlis – majlis tertentu sahaja. Cukuplah agama itu hanya kepada golongan yang memakai serban dan ketayap sahaja. Maka muncullah ideologi Islam Liberalisme dan pelbagai lagi ideologi yang menyesatkan mereka yang leka.

3.Persoalan yang terakhir , Kemanakah kita akhirnya ?

Terjemahannya :

” Sesungguhnya kepada Tuhan ( Allah ) kesudahan kamu ( tempat kembali ).Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dialah yang membuat kamu menangis.Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali”
( Surah An –Najm ayat 42 – 44 )

Al Ustaz Syed Fathi Yakan telah menyatakan dalam bukunya Apa Ertinya Saya Menganut Islam , manusia itu digolongkan dalam tiga golongan ,

1 ) Golongan yang hidup untuk dunia
2) Golongan yang sesat antara kehidupan dunia dan akhirat
3) Golongan yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat

Pada hakikatnya , setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui kematian. Hanya yang membezakan , adalah destinasi terakhir yang akan dijejakinya nanti. Dan yang pasti akan hanya ada dua pengakhiran sahaja di akhirat kelak ; syurga atau neraka. Semua yang hidup di dunia ini pastinya mahukan pengakhiran yang baik dan ketahuilah bahawa syurga Allah itu amat mahal harganya. Tak ada sesiapa pun yang mampu membelinya walaupun dengan kekayaan seluruh dunia dan amalan setinggi langit pun. Hanya dengan Rahmat Allah sahaja yang dapat menyelamatkan kita daripada azab seksanya di akhirat nanti.Lantas apakah persiapan kita dalam menghadapinya ?


Marilah kita bersama – sama kembali membetulkan tujuan dan matlamat penghidupan kita di dunia yang fana ini. Semoga dengan menyedari akan matlamat sebenar penghidupan ini , maka setiap saat dan detik dalam kehidupan , kita abadikan hanya kepada Allah dalam rangka untuk mencari keredhaanNya. Ameen.

Tuesday, January 12, 2010

Matlamat Kehidupan


Matlamat Kehidupan
By : Engineer Illahi

Alhamdulillah, pertama dan selamanya, setinggi – tinggi kesyukuran di panjatkan ke Hadrat Illahi , Rabbul A’lamin , Yang Mentadbir dan Menguruskan Alam ini dengan sempurna tanpa sebarang pertolongan dan hanya dengan EsaNya.

Selawat serta salam kerinduan , buat Junjungan besar, Rasulullah S.A.W , yang mengorbankan seluruh kehidupannya bersama – sama para sahabat dalam mendaulatkan deen Allah di muka bumi ini.

Kehidupan merupakan suatu fasa yang dilalui oleh semua makhluk-Nya yang bernyawa sama ada di lautan , daratan dan juga nun di langit tinggi sana. Bezanya, hanya terletak pada proses serta perjalanan sepanjang menempuh kehidupan di alam fana ini. Ada yang diciptakan Allah sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini,ada juga yang menjadi penghias alam fana ini,dan tidak kurang juga ada yang menjadi sumber kelangsungan hidup kepada yang lain.

Kenderaan dicipta untuk memudahkan perjalanan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain,mesin – mesin pula dicipta untuk memudahkan sesuatu penghasilan produk atau pekerjaan yang dilakukan manusia demi kepentingan bersama.

Begitu jualah penciptaan makhluk Allah amnya dan manusia khusunya di muka bumi ini. Pasti ada suatu perencanaan ,misi atau tugas yang tersirat di sebalik penciptaan manusia itu sendiri.Perencanaan serta misi ini jua bukanlah suatu misi serta tugas yang perlu diambil mudah serta dipandang enteng oleh sesiapapun kerana misi ini diamanahkan daripada Rabbul A’lamin, Yang Maha Esa, Yang Mengatur siang dan malam,Yang Menggerakkan kapal – kapal di lautan,dan Yang Mengatur rezeki hamba – hambaNya.

Dalam menyingkap rahsia di sebalik amanah ini, kita berbalik kepada tiga persoalan asas kehidupan :

1) Dari mana kita di datangkan ?
2) Apakah tujuan kita didatangkan ?
3) Kemanakah kita akhirnya ?

Ku titipkan untukmu wahai sahabat......


Pertemuan kita kali ini…..
Bukan sekedar kawan lama tak jumpa
Tapi kita bertemu ada satu makna
Kita punya satu perjuangan

*Andai ada kasih antara kita
Kita kembalikan kepada Yang Esa
Agar Ia suci, tulus dan ikhlas
Semoga Allah memberkati

Sambutlah tangan sahabat saudaramu
Pimpinlah ia melangkah bersama
Satukan hati kita teguhkan ia
Berdiri bersama untuk kebenaran

Perjuangan itu ertinya berkorban
Berkorban itu ertinya terkorban
Janganlah gentar untuk berjuang
Demi agama dan bangsa

Inilah jalan kita
Inilah jalan kita

* Chorus
Artis : Tazakka
Lagu : Sahabat Perjuangan

Monday, January 4, 2010

Kehidupan yang Berlalu ....



Di saat itu, saya sibuk menaip dan menyiapkan laporan harian Kursus Jatidiri dan Kerelawanan 2009/2010. Tiba-tiba , handphone Nokia saya berkelip – kelip dan bergetar bersebelahan dengan saya. Sengaja saya meletakkan mod senyap, senang apabila solat nanti tak perlu susah-susah nak matikan sebelum solat.

Saya mengambil dan menatap pada skrin, terpampang perkataan “ 2 message received” pada papan pemuka handphone.Ucapan selamat tahun baru daripada dua insan yang berbeza latar sejarahnya dalam hidup saya. Satunya daripada classmate saya di MICET, manakala satu mesej lagi dari bekas anak didik saya di Sekolah Menengah Agama Attoyyibah dahulu

“ Dah tahun baru rupanya” gumam hati kecil saya.

Sambil melihat pada jam di handphone , saya menggelengkan kepala. Mungkin sibuk dengan urusan sebagai urusetia, langsung tidak sedar, kini sudah setahun berlalu. Maknanya, semakin bertambah lagi usia saya.Semakin dekat lagi dengan hari pertemuan dengan Pencipta Yang Maha Esa dan Kuasa.

Masa bagai pantas berlalu. Segala memori kenangan 2009 pastinya menggamit hati. Yang pasti, kenangan – kenangan pahit dan manis yang berlalu, pasti terlipat kukuh dalam lipatan sejarah tanpa mampu dirungkai dan diulang kembali. Setiap saat dan masa yang berlalu , pasti akan terpahat utuh dan tercatat sebagai sebuah lagi memori dalam ingatan minda setiap insan di alam ini.

Jika diimbas kembali , tahun 2009 ini boleh dikatakan bermulanya anjakan paradigma bagi diri saya dalam mengharungi kancah kehidupan ini. Berbagai – bagai pengalaman yang saya tempuhi dan saya cedok selama melayari tahun 2009. Antaranya :

1. Program Seminar Kecemerlangan Mahasiswa ( SKEMA ) UniKL MICET.
Buat kali pertama dalam hidup, saya diberi kepercayaan untuk
mengendalikan program berskala besar dalam kampus.
Program yang mengajar realiti dan cabaran sebenar dalam memimpin
dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Bekerja dalam satu kumpulan
yang mempunyai bermacam – macam ragam nyata bukanlah satu
pekerjaan yang mudah.

2. Kem Pembelajaran Intensif Nur Sungai Merab

Kali pertama saya serta sahabat – sahabat saya – Faiz , Radhi , Ali ,Nu’,man dan Siddiqi memikul dua tanggungjawab dalam satu masa.
Pertama sebagai fasilitator dan kedua sebagai urusetia program
dan sememangnya program paling letih yang pernah saya terlibat..
Mungkin kerana kekurangan tenaga, maka begitulah jadinya. Apapun
Alhmadulillah , semuanya berjalan lancar sehingga program tamat.
Walaupun hanya dua hari , tetapi kenangan yang ditempuh bersama
adik –adik dari dua buah sekolah ini,tidak akan dilupakan sepanjang hayat.


3.Kem Minda Kreatif 14 , PULAKoPP

Selama saya mengikuti kem Minda Kreatif ini, kali pertama saya
diberi peluang untuk menjadi fasilitator ( sebelum ini hanya jadi
Urusetia sahaja ). Ditakdirkan bersama –sama dengan kumpulan 1,
saya melihat mereka sebagai mad’u – mad’u saya yang baru.
Dan sepanjang pemerhatian saya, mereka semuanya mempunyai
potensi yang besar sebagai pemimpin. Tambah manis lagi, kumpulan
yang saya pimpin ini berjaya mendapat tempat pertama keseluruhan
kem tersebut. Alhamdulillah semuanya rezeki dari Allah. Semoga
ukhuwwah kita kan terus mekar selamanya. Ameen .


Bersama - sama Kumpulan 1


4. Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009/2010
Kursus selama tujuh minggu ala – ala PLKN ini yang julung kalinya diadakan kepada mereka yang baru sahaja tamat SPM sememangnya satu cabaran bagi semua mereka yang terlibat sebagai urusetia dan juga fasilitator. Bagi saya yang terlibat sebagai Urusetia di bahagian operasi, nyata ia bukanlah tugas yang mudah.Tambahan pula Bahagian Operasi inilah yang menjadi nadi kepada perjalanan seluruh program. Pengalaman bekerja dengan dua orang
sahabat yang lebih senior umurnya dari saya , Abang Saif dan Abang Umair, di dalam bilik operasi tersebut memberi pengajaran yang cukup berguna kepada saya. Menulis laporan harian , menyiapkan jadual waktu bagi urusetia lain yang bertugas , menyusun kumpulan peserta , menyediakan borang – borang berkaitan program , semuanya pengalaman yang baru bagi saya.

Di samping Urusetia , saya juga memikul tanggungjawab selaku ahli
jawatankuasa penyelaras bagi Modul 1 iaitu Modul Anjakan Paradigma. Bekerja selama seminggu bersama dengan pak cik – pak cik yang jauh lebih berpengalaman menyebabkan saya jadi agak kekok dalam berurusan dengan mereka. Namun ia mengajar saya ilmu yang baru dalam selok – belok dunia pengurusan ini.Bermacam – macam pengalaman yang dikongsikan oleh pak cik – pak cik menjadikan suasana bekerja cukup seronok

Namun , pengalaman yang paling berharga buat saya adalah apabila saya diberi kepercayaan untuk menyiapkan gimik pelancaran bagi program perasmian kursus yang julung kali diadakan ini.Saya bersama – sama sahabat – sahabat seperjuangan ( Zakiran , Akhyar , Naqiuddin , Amin UM , Abang Saif , Mustaqim , Rusydan , Najib , Zubir , Syafiq Syukur dan juga Wan Iqbal ) bertungkus lumus siang dan malam menghasilkan video gimik tersebut. Alhamdulillah, lega rasanya apabila tayangan tersebut mendapat sambutan dari penonton di dewan termasuklah Pengerusi dan Setiausaha Agung HALUAN , Ketua Eksekutif KTD dan juga wakil Pengerusi
JAKIM.

Itulah sedikit diantara cebisan kenangan yang dapat saya coretkan di ruangan ini. Yang selebihnya , biarlah tersimpan sebagai kenangan dalam minda yang akan kekal subur selamanya.... Sayonara 2009

Sunday, November 1, 2009

Sekadar Perkongsian.....

Siapakah yang dikatakan sahabat?

Adakah perlu dia kaya dan segak,Apakah perlu dia pandai mengambil hati,Mestikah dia tidak mementingkan diri-sendiri,

Atau,

Sahabat ialah orang yang sekepala dengan sahabatnya,Satu halatuju dan matlamat yang selari,Mestikah dia mengetahui kegemaran sahabatnya,

Atau,

Adakah orang yang dapat gembira dan duka bersama,Membantu bila sahabatnya kesusahan,

Atau,

Seorang sahabat ialah orang yang Menjaga sahabatnya dari kemurkaan Allah.Dia menegur apabila sahabatnya lupa,Pastinya dia orang yang menyayangi sahabatnya seperti menyayangi dirinya. Kenapa kita mesti ada sahabat?

1. Sebagai seorang manusia kita tidak dapat hidup bersendirian, kerana manusia dengan sifat kurniaan Allah itu saling perlu memerlukan. Ibarat nya tidak diciptakan manusia itu daripada golongan Adam sahaja tetapi diciptakan juga dari golongan Hawa. Kerana sudah menjadi fitrah manusia memerlukan teman.Cumanya, bergantung kepada individu berkenaan bagaimana ciri sahabat yang diperlukan. Disini kita sebagai muslim kenalah bijak memilih sahabat.

2. Sahabat adalah cermin diri kita,Jika kita bersahabat dengan orang yang jahat,Maka kita pasti dicerminkan demikian,Jika kita bersahabat dengan orang yang soleh,Maka kita juga pasti dicerminkan demikian,Oleh yang demikan, pilihlah siapa sahabatmu.

3. Islam menganjurkan umatnya supaya memilih sahabat yang baik (ana tak pasti samada ianya hadis atau kata-kata ulama'..renunglah; Pilih sahabat yang baik seumpama,Jika kita berkawan dengan pelebur besi,Maka kita pasti mendapat percikan api,Jika kita berkawan dengan penjual haruman,Maka kita pasti sedikit wangian. Dan pohonlah kepada Allah, supaya Allah mengurniakan kita sahabat yang boleh membawa kita untuk mendapat keredaan-Nya.

p/s: sebahagian dari koleksi risalah peribadi
bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite