JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Monday, January 4, 2010

Kehidupan yang Berlalu ....



Di saat itu, saya sibuk menaip dan menyiapkan laporan harian Kursus Jatidiri dan Kerelawanan 2009/2010. Tiba-tiba , handphone Nokia saya berkelip – kelip dan bergetar bersebelahan dengan saya. Sengaja saya meletakkan mod senyap, senang apabila solat nanti tak perlu susah-susah nak matikan sebelum solat.

Saya mengambil dan menatap pada skrin, terpampang perkataan “ 2 message received” pada papan pemuka handphone.Ucapan selamat tahun baru daripada dua insan yang berbeza latar sejarahnya dalam hidup saya. Satunya daripada classmate saya di MICET, manakala satu mesej lagi dari bekas anak didik saya di Sekolah Menengah Agama Attoyyibah dahulu

“ Dah tahun baru rupanya” gumam hati kecil saya.

Sambil melihat pada jam di handphone , saya menggelengkan kepala. Mungkin sibuk dengan urusan sebagai urusetia, langsung tidak sedar, kini sudah setahun berlalu. Maknanya, semakin bertambah lagi usia saya.Semakin dekat lagi dengan hari pertemuan dengan Pencipta Yang Maha Esa dan Kuasa.

Masa bagai pantas berlalu. Segala memori kenangan 2009 pastinya menggamit hati. Yang pasti, kenangan – kenangan pahit dan manis yang berlalu, pasti terlipat kukuh dalam lipatan sejarah tanpa mampu dirungkai dan diulang kembali. Setiap saat dan masa yang berlalu , pasti akan terpahat utuh dan tercatat sebagai sebuah lagi memori dalam ingatan minda setiap insan di alam ini.

Jika diimbas kembali , tahun 2009 ini boleh dikatakan bermulanya anjakan paradigma bagi diri saya dalam mengharungi kancah kehidupan ini. Berbagai – bagai pengalaman yang saya tempuhi dan saya cedok selama melayari tahun 2009. Antaranya :

1. Program Seminar Kecemerlangan Mahasiswa ( SKEMA ) UniKL MICET.
Buat kali pertama dalam hidup, saya diberi kepercayaan untuk
mengendalikan program berskala besar dalam kampus.
Program yang mengajar realiti dan cabaran sebenar dalam memimpin
dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Bekerja dalam satu kumpulan
yang mempunyai bermacam – macam ragam nyata bukanlah satu
pekerjaan yang mudah.

2. Kem Pembelajaran Intensif Nur Sungai Merab

Kali pertama saya serta sahabat – sahabat saya – Faiz , Radhi , Ali ,Nu’,man dan Siddiqi memikul dua tanggungjawab dalam satu masa.
Pertama sebagai fasilitator dan kedua sebagai urusetia program
dan sememangnya program paling letih yang pernah saya terlibat..
Mungkin kerana kekurangan tenaga, maka begitulah jadinya. Apapun
Alhmadulillah , semuanya berjalan lancar sehingga program tamat.
Walaupun hanya dua hari , tetapi kenangan yang ditempuh bersama
adik –adik dari dua buah sekolah ini,tidak akan dilupakan sepanjang hayat.


3.Kem Minda Kreatif 14 , PULAKoPP

Selama saya mengikuti kem Minda Kreatif ini, kali pertama saya
diberi peluang untuk menjadi fasilitator ( sebelum ini hanya jadi
Urusetia sahaja ). Ditakdirkan bersama –sama dengan kumpulan 1,
saya melihat mereka sebagai mad’u – mad’u saya yang baru.
Dan sepanjang pemerhatian saya, mereka semuanya mempunyai
potensi yang besar sebagai pemimpin. Tambah manis lagi, kumpulan
yang saya pimpin ini berjaya mendapat tempat pertama keseluruhan
kem tersebut. Alhamdulillah semuanya rezeki dari Allah. Semoga
ukhuwwah kita kan terus mekar selamanya. Ameen .


Bersama - sama Kumpulan 1


4. Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009/2010
Kursus selama tujuh minggu ala – ala PLKN ini yang julung kalinya diadakan kepada mereka yang baru sahaja tamat SPM sememangnya satu cabaran bagi semua mereka yang terlibat sebagai urusetia dan juga fasilitator. Bagi saya yang terlibat sebagai Urusetia di bahagian operasi, nyata ia bukanlah tugas yang mudah.Tambahan pula Bahagian Operasi inilah yang menjadi nadi kepada perjalanan seluruh program. Pengalaman bekerja dengan dua orang
sahabat yang lebih senior umurnya dari saya , Abang Saif dan Abang Umair, di dalam bilik operasi tersebut memberi pengajaran yang cukup berguna kepada saya. Menulis laporan harian , menyiapkan jadual waktu bagi urusetia lain yang bertugas , menyusun kumpulan peserta , menyediakan borang – borang berkaitan program , semuanya pengalaman yang baru bagi saya.

Di samping Urusetia , saya juga memikul tanggungjawab selaku ahli
jawatankuasa penyelaras bagi Modul 1 iaitu Modul Anjakan Paradigma. Bekerja selama seminggu bersama dengan pak cik – pak cik yang jauh lebih berpengalaman menyebabkan saya jadi agak kekok dalam berurusan dengan mereka. Namun ia mengajar saya ilmu yang baru dalam selok – belok dunia pengurusan ini.Bermacam – macam pengalaman yang dikongsikan oleh pak cik – pak cik menjadikan suasana bekerja cukup seronok

Namun , pengalaman yang paling berharga buat saya adalah apabila saya diberi kepercayaan untuk menyiapkan gimik pelancaran bagi program perasmian kursus yang julung kali diadakan ini.Saya bersama – sama sahabat – sahabat seperjuangan ( Zakiran , Akhyar , Naqiuddin , Amin UM , Abang Saif , Mustaqim , Rusydan , Najib , Zubir , Syafiq Syukur dan juga Wan Iqbal ) bertungkus lumus siang dan malam menghasilkan video gimik tersebut. Alhamdulillah, lega rasanya apabila tayangan tersebut mendapat sambutan dari penonton di dewan termasuklah Pengerusi dan Setiausaha Agung HALUAN , Ketua Eksekutif KTD dan juga wakil Pengerusi
JAKIM.

Itulah sedikit diantara cebisan kenangan yang dapat saya coretkan di ruangan ini. Yang selebihnya , biarlah tersimpan sebagai kenangan dalam minda yang akan kekal subur selamanya.... Sayonara 2009

No comments:

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite