JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Tuesday, February 17, 2009

Memang Allah Sengaja..




Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
dapat menjadi penilai yang baik


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
sedar bahawa kita hanyalah makhluk yang
sentiasa mengharapkan pertolongan Allah


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
mendapat kasih sayang yang terbaik
khas untuk diri kita


Memang sengaja Allah menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
sedar bahawa Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat
untuk kita dan kehidupan kita pada masa hadapan


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
dapat mengutip pengalaman yang tak semua
orang berpeluang untuk mengalaminya


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
jadi manusia yang hebat jiwanya


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
lebih faham bahawa cinta yang terbaik
hanya ada bersama Allah


Memang Allah sengaja menemukan kita
dengan orang yang salah supaya kita
LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YANG TAK

SELAMANYA KEKAL.....

Sunday, February 15, 2009

Tragedi ...


Seperti malam – malam kebiasaannya , aku akan mengarahkan semua penghuni asrama masuk ke kelas prep sebaik selesai saja solat Isya’. Pada malam itu , aku terpaksa berada di dalam pejabat kerana ada tugas yang perlu disiapkan. Muiz , pada waktu itu berada bersama – sama dengan aku berada di dalam pejabat , bersama – sama menyiapkan tugas yang perlu.Aku hanya meminta pelajar- pelajar yang lebih tua untuk mengawal suasana pada malam tersebut. Ketika aku sedang asyik menaip sesuatu ke dalam komputer , tiba – tiba ,
"Ya Allah ! Allahuakbar !!! " jeritan yang datang dari arah luar mengejutkan aku. Hati aku tiba – tiba merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Sangkaku mereka melakukan sesuatu di luar sana .

"Ya Allah ! Allahuakbar !!! " jeritan yang datang
dari arah luar mengejutkan aku. Hati aku tiba – tiba merasakan ada sesuatu yang
tidak kena. Sangkaku mereka melakukan sesuatu di luar sana .

Jeritan tersebut kedengaran makin dekat , dan dari jauh , terdengar seperti seseorang yang sedang memikul sesuatu yang berat dan sedang dalam keadaan tergesa – gesa berlari . Muiz yang berada paling hampir sekali dengan muka pintu cepat-cepat menjenguk keluar , ” Ya Allah , apa yang hampa buat ni ,” sebaik saja mendengar keluhan Muiz , aku bingkas bangun dan meluru ke muka pintu , dan sejenak sahaja aku ingin menjengah keluar , aku tergamam seketika apabila Faizul muncul di muka pintu dengan mendukung Azhari yang berlumuran darah di kepala. Darah yang mengalir laju bagai air paip yang bocor menyebabkan aku kaget , ” Ya Allah , apa dah jadi ni ,” dan tidak semena – mena , terbit rasa kekesalan dan bimbang di dalam hati.Sepanjang hidupku , tak pernah aku rasa tersangat menyesal dan takut seperti saat itu.

Azhari dibawa masuk segera ke dalam pejabat dan diletakkan di atas lantai. Muiz lantas mengarahkan beberapa orang pelajar lain mencari sesuatu bagi menghentikan pendarahan di kepala Azhari. Koyakan yang terbuka di bahagian kepala menyebabkan cecair merah pekat itu seolah – olah tidak mahu berhenti dari terus mengalir .Melihat saja keadaan Azhari yang semakin parah , aku teringat Mak Cik Idah yang berada di dewan makan ketika itu. Aku lantas mendapatkan Mak Cik Idah di dewan makan. Mujur sahaja Mak Cik Idah memang pandai dalam perubatan tradisional ini. Mak Cik Idah mengarahkan kami mengangkat Azhari di hadapan dewan makan. Mak Cik Idah seterusnya mengarahkan baju Azhari ditanggalkan , dan perkara pertama yang diarahkan adalah meminta Azhari mengeluarkan cecair yang terdapat di dalam hidung bagi mengelakkan simptom darah beku. Berbekalkan sedikit bacaan doa dan ayat Al-Quran , Azhari kemudiannya dibasahkan dengan air paip yang sejuk bagi mengecutkan sel – sel kulit kepala dan dapat mengecilkan sedikit bukaan di kepala Azhari.Aku kemudiannya diminta oleh Mak Cik untuk meletakkan gel Daun Lidah Buaya di tempat berlakunya pendarahan.Fungsi gel ini sebenarnya berperanan seperti gamat dimana ia akan memperbaharui sel-sel yang mati dan akan berfungsi sebagai penghubung sel –sel yang terpisah . Dengan berhati – hati aku menypu sedikit demi sedikit gel tersebut . Rasa menyesal dan sayu terbit di hati tatkala mendengar bunyi rintihan Azhari menahan kepedihan.

Pada malam itu , Azhari tidur di dalam bilik warden , ditemani dan diawasi aku sendiri. Sengaja aku tak menggalakkan Azhari tidur di biliknya, khuatir terjadi apa-apa. Pada mulanya , aku bercadang untuk menghubungi Ustaz Taufiq , tetapi memandangkan malam yang semakin larut , aku tidak berniat untuk mengganggu masa rehat beliau.Mungkin disebabkan pendarahan yang berlaku , Azhari kelihatan cukup letih dan dia tertidur dengan nyenyak sekali. Sepanjang malam , aku tak dapat melelapkan mata memikirkan kejadian pada malam tersebut. Aku mula memikirkan apa yang patut aku khabarkan kepada Ustaz dan Ustazah keesokannya. Semakin lama aku berfikir , kian lama , mataku kian berat dan akhirnya aku terlelap dibuai mimpi.

Monday, January 26, 2009

Sunday, January 18, 2009

Bermulanya tugas...

Bangunan sekolah tersergam indah




Apa nak buat ni ......?


Buku rancangan PnP dan buku subjek nak kena ajar..


Aku agak terkejut ketika Ustazah Asiah menyerahkan jadual kelas seorang bekas Ustaz yang sudah berpindah kepada aku sambil berkata , “ Anta mengajar boleh Firdaus” . Seingatku aku ke sini hanya sekadar sebagai seorang warden,itu pun aku hanya menggantikan sebentar sahabatku , Faiz yang masih belum datang kerana ada urusan keluarga , tak lebih dari itu. Pakaian untuk mengajar pun tidak dibawa.Gelabah jugak aku dibuatnya.
Malam itu agak sukar untuk aku melelapkan mata , memikirkan apa yang bakal aku lakukan esok. Bermacam-macam perasaan yang bermain di mindaku ; gelisah, seronok , sedih , semuanya bercampur baur di benak pemikiranku, namun aku cuba kawal dan tenangkan minda , dan mujur sahaja ada kata-kata semangat yang diberi oleh Ustaz Muhtad pada petang tadi melalui sistem pesanan ringkas.Aku membelek kembali pesanan tadi dan aku tersenyum sendirian pabila memikirkan , sememangnya tepat sekali pesanan tersebut dengan suasana yang aku hadapi ketika itu.

Pada paginya , aku lebih banyak mengadakan sesi suai kenal bersama-sama dengan pelajar-pelajar yang bakal aku didik.Sengaja aku tidak memulakan sesi pembelajaran pada hari itu kerana aku sendiri ingin menyesuaikan diri aku dengan suasana selaku seorang guru.Dimulakan dengan pelajar sekolah rendah hinggalah pelajar sekolah menengah , kesemuanya aku gunakan pendekatan yang berbeza.Kalau dengan pelajar sekolah rendah ,aku akan minta mereka untuk melukis selesai sahaja sesi suai kenal , saja , habis modal katakan. Kalau dengan pelajar sekolah menengah , aku berikan mereka sedikit briefing tentang matapelajaran yang akanku ajar.Pada hari pertama saja , bermacam-macam kerenah dan celoteh nakal yang aku jumpa, pening kepala dibuatnya,namun aku cuba sesuaikan suasana tersebut dengan diri aku.

Selesai saja hari pertama aku bertugas , aku sudah cukup keletihan , dan keletihan tersebutlah yang menyedarkan aku betapa tanggapan aku selama ini terhadap kerjaya mulia ini nyata meleset sama sekali. Sangkaku pekerjaan ini bukannya susah dan meletihkan, tetapi apabila aku sendiri yang menjalankan tanggungjawab ini, baru aku sedar tanggungjawab untuk mendidik hamba Allah bergelar manusia ini bukanlah sesuatu yang mudah dan sememangnya cukup meletihkan.Ini baru hari pertama, bagaimanalah dengan guru – guru yang mengajar sejak berpuluh-puluh tahun lamanya dari aku.Keletihan aku jualah yang mengingatkan aku kepada seorang warden yang cukup aku hormati ketika di bangku sekolah menengah dahulu, Ustaz Mahadzir .Aku tidak dapat membayangkan betapa tabahnya beliau dalam menguruskan asrama di samping menjadi tenaga pengajar di sekolah. Sedangkan aku yang menjaga sekelompok pelajar ini pun tidak terdaya, inikan beliau yang menjaga beratus-ratus orang pelajar. Ya Allah, hanya Engkau sahaja yang memahami betapa tabahnya beliau……

Monday, January 5, 2009

Tinta seorang warden...


Tahun 2008 sudah beberapa hari meninggalkan kita.Setiap insan pasti mempunyai seribu satu kenangan serta memori suka dan duka yang terpahat utuh dalam diri masing-masing .Namun apa yang pasti , setiap yang berlalu pasti akan tersimpan dalam lipatan sejarah yang tak mungkin akan berulang kembali.

Bagi diriku , tahun 2008 merupakan tahun yang paling bermakna buat aku. Tahun inilah yang mengajar aku erti dan cabaran sebenar dalam kehidupan selaku hamba Allah yang punya banyak kelemahan.Tahun ini jualah yang mematangkan lagi aku dalam melakukan pilihan serta membuat keputusan dalam sesuatu perkara.

Aku memulakan tahun 2008 aku dengan melakukan sesuatu yang tak pernah aku bayang dalam hidupku.Alhamdulillah, Allah telah memilih aku untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang warden di sebuah sekolah agama rakyat yang terletak di Changloon.Mungkin bagi insan lain ia adalah sesuatu yang biasa , tetapi bagiku , tanggungjawab inilah yang menyedarkan aku tentang dunia sebenar, tentang tanggungjawab seorang guru, serta erti sebenar kasih sayang dalam hidup ini.

Sepanjang aku berada di sana , begitu banyak pengalaman yang aku lalui dan timba.Dengan kerenah pelajarnya, ibubapanya serta bermacam-macam lagi perkara menjadikan ia pengalaman yang tak akan dilupakan sepanjang hayatku.Di sinilah segala pengalaman serta ilmu yang aku ada selama berada di lubuk tarbiyah teruji.Bagaimana praktikalnya aku dapat melaksanakan dakwah dan tarbiyah yang aku lalui dalam mendidik insan-insan yang datang dari latarbelakang yang berbeza,bukan seperti di MATRI, di mana suasana biah solehah yang terbina mungkin memudahkan lagi proses merawat jiwa-jiwa insan yang berada di dalamnya. Ada di antara mereka yang masih tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik, ada juga yang datang dari keluarga yang bermasalah, dan ada juga yang datang dari keluarga yang susah.Namun apa yang pasti, cabaran yang aku lalui ini telah menyedarkan aku betapa beruntungnya hidup yang aku miliki, walaupun datang dari keluarga yang sederhana namun aku tetap mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya..... (bersambung)

Tuesday, December 23, 2008

KOLEKSI TARBAWI


RENUNGKAN SEJENAK WAHAI SAHABATKU

« Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan , « Kami telah beriman , » sedangkan mereka tidak diuji ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang – orang yang sebelum mereka ,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang – orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang – orang yang dusta, » Surah Al-Ankabut , ayat 2 – 3

  • KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN ?

« Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,padahal ia amat buruk bagimu,Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui (surah Al-Baqarah ayat 216)

  • KENAPA SUSAH SANGAT UJIAN INI ?

« Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya, » ( Surah Al-Baqarah ayat 286 )

  • RASA FRUST ?TENSION ?LEMAH SEMANGAT ?

« Janganlah kamu bersikap lemah ,dan jangan pula kamu bersedih hati ,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya ,jika kamu orang-orang yang beriman, » ( Surah Ali Imran ayat 139 )

  • BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA ?

« Dan mintalah pertolongan ( kepada Allah ) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang ; dan sesungguhnya sembahyang itu amaatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk, » ( Surah Al-Baqarah ayat 45 )

  • APA YANG AKU DAPAT DARI SEMUA INI ?

« Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min ,diri,harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…………( Surah At-Taubah ayat 111 )

  • KEPADA SIAPA AKU BERHARAP ?

« Cukuplah ! Allah bagiku,tidak ada Tuhan selain dariNya .Hanya kepadaNya aku bertawakkal, »( Surah At – Taubah ayat 129 )

  • ARGHHHH , AKU TAK TAHAN !!! AKU DAH BOSAN !!!!

« ……dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah .Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir,” ( SurahYusuf ayat 12 )

« Kekuatan sebenar seorang mukmin ialah apabila ia bersandar sepenuhnya dan segalanya kepada Allah s.w.t ; menjadikanya manusia yang tak kenal erti putus asa dan kecewa,tak takutkan cabaran dan kegagalan.Disebalik semua inilah ketenangan ,kebahagiaan,kepasrahan,lapang dada ,kepuasan dan kemanisan Iman yang sebenarnya…… »

Pemuda 1



Assalamualaikum,

Pertama dan selamanya,marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah , Rabb sekelian Alam, Yang mencipta dan Menyusun atur kehidupan di dunia ini dengan penuh ketelitian serta bijaksana tanpa ada sebarang kesalahan pun yang mampu menyangkal kekuasaaan-Nya.

Selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W , di atas perjuangan baginda dan para sahabat dalam perjuangan memastikan tertegaknya agama Allah di atas muka bumi ini.

Saudaraku,

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepi , dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan , Allah masih lagi memberi kesempatan serta kekuatan kepada diri ini, untuk menyambung kembali risalah ringkas ini buat peringatan kita bersama.

Menurut Abdullah Nashih Ulwan di dalam bukunya , ‘5 Slogan Pemuda Muslim Impian’ , beliau menimbulkan persoalan yang berbunyi ‘ Kenapa Pemuda Diciptakan dan Apa Misinya ?’ dan beliau menjawab ,

“ Hai pemuda Islam, tahukah anda , kenapa anda diciptakan dan apa misi anda ?

1. Anda diciptakan untuk merealisasi tujuan penyembahan kepada Allah ,tunduk kepada –Nya dan berserah diri kepada-Nya dalam apa saja yang Dia anjurkan dan larang.Allah Ta’ala berfirman ,

”Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”

Adz-Dzariyyat : 56

2. Anda diciptakan untuk komitmen dengan manhaj (sistem) Rabbani , yang tidak mengandungi kebatilan di dalamnya, sebab manhaj tersebut diturunkan dari Dzat Yang Maha Bijaksana dan Maha Terpuji.Allah S.W.T berfirman ,

” Dan siapa yang mencari selain Islam sebagai deen ( cara hidup ),maka tidak akan diterima darinya dan dia di akhirat kelak akan termasuk orang-orang yang rugi.”

Ali Imran : 85

3. Anda diciptakan untuk menyerahkan kepentingan dan ketaatan kepada Allah , RasulNya dan oran-orang yang beriman.FirmanNya berbunyi ,

” Sesungguhnya wali ( penolong ) kalian hanyalah Allah dan RasulNya ,serta orang-orang beriman , yang mendirikan solat dan menunaikan zakat , dan mereka tunduk

( kepada Allah ).Dan barangsiapa mengambil Allah , RasulNya dan orang-orang beriman sebagai penolongnya ,maka sesungguhnya pengikut Allah itulah yang menang.”

Al-Maidah : 55 – 56

Sedang misi yang dibebankan kepada anda dan anda diciptakan kerananya ialah menerapkan hukum Allah di atas muka bumi , mengeluarkan manusia dari penyembahan kepada manusia menuju penyembahan kepada Allah,dari sempitnya dunia menuju dunia nan luas membentang , dan dari kedzaliman kekafiran menuju keadilan Islam.”

Dari apa yang dibentangkan oleh Abdullah Nashih Ulwan , ketahuilah kita bahawa tugas sebagai pemuda khususnya pemuda Islam yang menerima tarbiyah , bukanlah suatu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan.Kita sepatutnya rasa amat beruntung dan bersyukur kerana Allah memilih kita untuk memikul dan merasai tanggungjawab sebenar penciptaan kita.Kita harus sedar bahawa tanggungjawab yang diamanahkan ini akan disoal di kemudian hari kelak(akhirat) , jika kita melepaskan tanggungjawab ini , maka ia merupakan suatu kerugian yang amat besar , bukan kepada Allah ,bukan kepada Rasulullah dan juga bukan kerugian bagi insan – insan di sekeliling kita ,tetapi kerugian kepada diri kita sendiri.Sesungguhnya Allah akan menggantikan generasi kita dengan generasi yang lebih baik dari kita andaikata kita enggan memikul amanah ini.


Saudaraku,

Sedarlah , jalan yang kita lalui ini bukanlah jalan yang penuh dengan kesenangan serta kerehatan yang berpanjangan , tetapi ia bakal dipenuhi dengan ranjau dan cubaan yang bisa menggugurkan mereka-mereka yang tidak berpegang teguh dengan ajaranNya. Senantiasalah bersedia dengan ujian-ujian yang bakal mendatang kerana Allah akan menguji kita untuk melakukan penapisan terhadap hambaNya yang berada di atas jalan ini bagi memastikan hanya insan-insan yang benar-benar berkualiti Iman dan Taqwanya sahaja yang akan memikul tanggungjawab ini.

"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk(munafik) dengan yang baik (mu'min). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendakiNya di antara rasul-rasulNya. Kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar"

(Ali-'Imran:179)

Berdoalah agar kita semua terpilih untuk berada di dalam golongan ini dan semoga persahabatan ini kan kekal hingga ke syurga , Insya Allah.

Akhir kalam , marilah kita sama-sama renungi dan hayati sajak ringkas dari penyair Islam terkenal , Muhammad Iqbal ,



"Adzan kami ada di gereja –gereja Perancis sebelum

pasukan menaklukkan negeri-negeri,

Afrika dan padang saharanya tidak lupa sujud-sujud

kami,

Dan tanah memancarkan api,

Dulu kami menghadapkan dada kami untuk terkena

sabitan pedang ,

Kami tidak pernah takut sehari pun kepada

penyerang,

Naungan pedang seolah-olah seperti naungan

kebun,

Hijau dan bunga-bunga tumbuh di sekitarnya.”

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite