JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Friday, September 26, 2008

Gotong-royong di asrama anak yatim









Alhamdulillah ,setelah saya selesai menamatkan peperiksaan SPM saya di MATRI ,saya bertolak pulang ke rumah.Kebetulan pada masa yang sama ,empat orang sahabat saya ,Lutfi ,Radhi,Loqman dan Ibrahim menyatakan hajat mereka ingin ikut sekali ke Langkawi sebelum mereka berangkat pulang ke rumah mereka di samping menyaksikan LIMA 2007.

Secara kebetulan pula ,pada keesokan harinya,ayah saya serta sahabat-sahabatnya akan mengadakan gotong – royong di sebuah tempat yang bakal dijadikan asrama anak yatim.Menurut ayah,kepulangan saya bersama-sama sahabat-sahabat saya memang kena pada masanya,kerana kebetulan mereka memang perlukan tenaga tambahan.Apabila kami tiba di Langkawi,kami dimaklumkan tentang kehadiran dua orang bekas pelajar MATRI yang sememangnya kami kenali iaitu saudara Nazim dan Muzaffar yang sampai lebih awal berbanding kami.

Pada malam tersebut ,kami bermalam di bangunan yang akan dijadikan rumah anak yatim tersebut.Bangunan tersebut mempunyai dua blok yang mana terdiri dari tempat tidur dan surau,selain dari rumah untuk tenaga pengajar juga ada disediakan.Bangunan tersebut asalnya adalah sebuah tempat pengajian tahfiz yang telah ditutup disebabkan masalah kewangan.Rumah anak Yatim tersebut nantinya akan diberi nama Asrama Haluan Penyayang Langkawi.(AHPL).

Keesokan harinya ,kami bersarapan dengan sarapan yang dibawa dari rumah saya.Selepas makan,kami mulakan dengan mengalihkan ranting-ranting pokok yang telah ditebang.Selepas itu,kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan.Kumpulan saya ditugaskan untuk membersihkan kawasan stor.Kawasan stor tersebut tidaklah sebesar mana,dan isinya tidaklah sebanyak mana,cuma mungkin kerana ditinggalkan terlalu lama,kawasan tersebut kelihatan semak dan tidak terurus dengan sawang labah-labah serta najis –najis cicak di merata tempat.Sementara kumpulan pakcik-pakcik pula membersihkan kawasan dalam asrama.Kami turut dibantu penduduk setempat yang telah dimaklumkan lebih awal tentang gotong-royong tersebut.Terdetik rasa kagum di hati ini apabila melihat ada segolongan pemuda kampung yang kebiasaannya kita lihat seringkali membuang masa dengan aktiviti yang tak berfaedah turut serta membantu.Apa yang saya lihat ,menjadi motivasi untuk saya lebih bersemangat pada pagi itu.

Sedang kami sibuk berkemas,kedengaran bunyi deruan enjin pesawat yang mengadakan pertunjukan LIMA.Tumpuan kami terjejas sebentar dengan bunyi tersebut.Kami berehat sebentar sambil menyaksikan pertunjukan tersebut.Kedudukan asrama tersebut yang memang terletak betul-betul di belakang lapangan terbang sememangnya memberi kelebihan kepada kami untuk menyaksikan pertunjukan tersebut dengan lebih jelas.Pelbagai aksi dan pertunjukan yang kami dapat lihat ketika itu.Terubat sebentar keletihan kami apabila dapat menyaksikan pertunjukan itu.





Kami menyiapkan tugas kami apabila pertunjukan tersebut berhenti seketika.Alhamdulillah,kami dapat menghabiskan tugas sebelum waktu zohor.Kami menggunakan masa yang ada itu untuk berehat dan melepaskan penat.Ada yang berbaring,ada yang berbual-bual dan ada juga yang makan makanan yang masih berbaki dari sarapan tadi.Apabila masuk waktu Zohor,kami menunaikan solat Zohor secara berjemaah.









Pada petangnya pula,kami melepaskan penat kami di Lubuk Semilang,sebuah tempat rekreasi yang cantik dan mempunyai air sungai yang jernih.Suasana hutan yang nyaman dengan bunyi deruan air sungai begitu menggamit perhatian kami.Kedinginan air sungai yang mengalir menusuk ke tulang sulbi bagaikan menghilangkan segala penat lelah kami pada waktu pagi .Kami mengambil kesempatan untuk membersihkan badan kami setelah bermandi keringat pada waktu pagi.Sambil bermandi-manda ,kami juga sempat mengambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.









Acara kami tidak tamat di situ sahaja,pada malamnya pula,kami mengadakan barbeque di rumah saya ,menunya simple, sekadar ikan kembong bakar sahaja.Walaupun bukanlah secara besar-besaran,tetapi sekadar untuk menjamu selera sahaja,namun program kami pada malam itu tetap meriah dan menimbulkan semangat ukhuwah yang amat mendalam pada hati masing-masing.Bermula dengan kami bersama-sama bertungkus-lumus menyalakan api ,sehinggalah selesai membakar, semuanya mematrikan seribu satu kenangan yang cukup indah.Kami menikmati hidangan pada malam itu secara beramai-ramai.Kepuasan cukup terasa apabila memakan ikan yang dibakar dengan titik peluh sendiri.

Setelah beberapa hari di Langkawi,tibalah masa untuk sahabat-sahabat saya pulang ke rumah masing-masing.Pelbagai perasaan yang bermain di dalam hati tatkala menghantar sahabat-sahabat ke jeti.Mengenangkan yang kami tidak mungkin lagi bertemu di alam persekolahan,membuat hati serba salah untuk berpisah,tetapi,sudah lumrah kehidupan , setiap pertemuan pasti ada perpisahan.Harapannya agar kami bisa lagi bersama dalam program-program sebegini yang sememangnya cukup memupuk rasa kasih dan sayang sesama sahabat.

2 comments:

Syed Ahmad Fathi said...

x ajak..isk2

Hilal Asyraf said...

aiya... gambar radhi buat spoil la.... ha ha ha

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite