JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Saturday, October 11, 2008

Menilai manusia


Peritiwa ini berlaku ketika saya hendak pulang ke kampung sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Semua mahasiswa Unikl MICET pulang ke kampung masing-masing pada 26 September ,Jumaat.Namun ada segelintir penuntut yang terpaksa pulang lewat sedikit lantaran ada masalah –masalah tertentu berkaitan perjalanan pulang termasuklah saya.Saya terpaksa menunggu kakak saya yang menuntut di UKM Kuala Lumpur yang hanya dibenarkan keluar pada 28 haribulan.Jadi,saya terpaksa bermalam di Unikl terlebih dahulu sebelum saya ke Kuala Lumpur.

Saya bertolak ke Kuala Lumpur menaiki keretapi KTM , dari Tampin ke Kuala Lumpur Sentral pada 28 haribulan,Sabtu.Keretapi saya akan bertolak pada jam 6.15 petang,tetapi saya bercadang untuk keluar lebih awal dari Unikl kerana saya tidak ada kenderaan lain untuk ke Tampin.Seperti biasa ,saya akan menunggu bas jam 2.30 di pondok menunggu.Kemudian kelihatan seorang pengawal keselamatan yang berada di pondok mengawal menghampiri saya.Bermula dengan bertanyakan destinasi tujuan saya,perbualan saya dengan pak cik tersebut semakin berpanjangan.Kami leka berbual.

Sedang asyik berbual ,sebuah kereta Proton Saga berwarna merah berhenti bersebelahan pondok pengawal.Cermin kereta sebelah penumpang hadapan perlahan-lahan diturunkan.

” Nak pegi mane,!!? ” tanya pemandu tersebut separuh menjerit.Saya menoleh apabila merasakan soalan tersebut ditujukan kepada saya.

” Pegi Tampin” jawab saya ringkas.Apabila saya amati,memang saya kenal pemandu dan penumpang tersebut.

Fesyen rambut ala David Beckham, kulit tubuh yang bersawo matang , fizikalnya yang sederhana, pemandu tersebut merupakan antara senior peringkat degree dan merupakan salah seorang pemain ragbi di situ.Manakala penumpangnya pula ,adalah jiran seksyen saya ,seksyen F ,Asyraf namanya tetapi lebih suka digelar Black,juga satu pasukan dengan senior tersebut.

Senior tersebut berkata sesuatu kepada Black.Kemudian abang tersebut bertanya lagi,”Nak pegi naik ape ? ” ”Naik bas ,ni tengah tunggu bas la ni.” jawab saya ringkas.

Mereka sekali lagi saling berpandangan dan seperti berbincang sesuatu.”Emm, takpelah ,” balas abang tersebut sambil memberi isyarat memanggil saya menaiki kereta.Saya lantas menggalas beg menaiki kereta.

Saya tidak banyak bercakap sepanjang perjalanan ,hanya sekadar mendengar perbualan antara Asyraf dan senior tersebut.Perbualan antara Asyraf dengan senior tersebut lebih banyak berkisar tentang pembelajaran di MICET dan antara peluang pekerjaan yang ada apabila graduate kelak.

”Untung tau budak – budak yang ambik environment ni.Diorang boleh masuk semua bahagian,process boleh masuk,polymer pun boleh masuk ,bioprocess pun boleh masuk,sebab semua bidang ni ada mesin environment.Memang kalau kat MICET tu , dua course yang famous ni process dengan environmentlah.” ujar abang senior tersebut kepada Asyraf panjang lebar menerangkan tentang kursus –kursus yang ada di situ.

”Aku biasa dapat dua tawaran kerja,satu ngan bapak aku,diakan kerja kat Felda ,jadi dia punya syarikat ada buat tawaran kerja dekat aku ,satu lagi tu pak cik aku,dia bagi tawaran kerja kat Boston ,Amerika.” menggunakan aku sebagai kata ganti diri,abang tersebut menyambung lagi ,”Time tu, aku tengah praktikal ,tiba-tiba pak cik aku call,dia tanya ,nak kerje tak ,aku cakap bolehlah ,aku cakap nanti aku call lain sebab tengah ada practical.Jap lagi mak aku pulak telefon , dia cakap ,Ah ,takyah ngada – ngada ,sambung degree dulu ,tu yang aku tak jadi kerje tu.”

”Kau dapat tawaran tu masa diplomakan ? ”Asyraf bertanya setelah kian lama membisu.”Aah,kalau pikir-pikir tu,sayanglah kan ,kat Boston tu,bukan senang nak dapat ,ayah aku okey je,tapi mak aku yang tak setuju,yelah orang cakap,kalau mak bapak tak izin tu ,nanti tak berkat pulakkan,emm aku pun ikut jelah,”Asyraf mengangguk mengiyakan kenyataan senior tersebut.Saya yang sekian lama menjadi pendengar setia tersentak mendengar kenyataan tersebut .Tiba-tiba hati saya tersentuh,walaupun penampilannya tidaklah sekemas mana,hanya memakai seluar pendek dan kalau saya lihat bagaimana kehidupan hariannya di MICET ,dari apa yang saya perhatikan tentang dirinya,tidak pernah terbayang akan keluar kenyataan seperti tersebut.

Saya tidak tahu sama ada kenyataannya hanya sekadar bercakap kosong ,tetapi dari nada yang terlafaz,jelas sekali lafaz tersebut merupakan lafaz yang lahir dari hati seorang anak yang kasihkan kedua ibubapanya.Sememangnya saya mendapat satu pengajaran yang cukup berguna pada hari itu.Sesungguhnya,kita selaku manusia yang tak punya kuasa tidak mampu dan tidak layak sama sekali untuk menilai seterusnya menghukum seseorang manusia tersebut hanya sekadar melihat luarannya sahaja.Kita sebenarnya begitu mudah meletakkan nilai pada diri seseorang tanpa kita sedari kemungkinan mereka yang kita anggap teruk akan menjadi lebih baik dari kita dan mungkin juga mereka yang kita anggap baik akan bertukar sebaliknya.

Saya teringat kata-kata seorang ustaz yang merupakan bekas pelajar di sekolah saya dahulu,MATRI,katanya ” Jikalau kita tidak suka seseorang kerana sikapnya,maka cukuplah sekadar kita membenci sikapnya.Kesilapan kita sekarang adalah apabila kita benci dengan sikap seseorang,kita terus membenci dirinya keseluruhannya.”

Mungkin kita tidak suka melihat sikap seseorang yang kadang-kadang tidak senonoh dan hanya mengundang kemarahan sesetengah individu sahaja,tetapi kita perlu ingat,

”Sesungguhnya setiap bani Adam itu melakukan kesalahan,dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat.”

Pepatah Inggeris ada juga menyatakan,

”Don’t judge the the books by its cover”

Kita sendiri secara tidak sedar ada kelemahan yang tidak disenangi insan lain, jadi janganlah kita sewenangnya menghukum insan lain,sebaliknya kita sama-samalah saling bantu-membantu dan saling mendoakan agar kita dapat memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri kita serta insan lain.Ingatlah firman Allah S.W.T

”Aku tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”

Akhir kalam,marilah kita sama-sama renungi hadis yang berbunyi,

” Cintailah orang yang kamu cintai sewajarnya ,kerana dia mungkin menjadi orang yang kamu benci pada suatu hari nanti.Bencilah orang yang kamu benci sewajarnya sahaja,kerana dia mungkin menjadi orang yang kamu cintai pada suatu hari nanti.”

( Hadis riwayat Tirmidzi)

No comments:

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite