JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Friday, September 26, 2008

Punca - punca perpecahan


Menurut Dr Aidh Abdullah Al-Qarni :
Antara punca - punca perpecahan dalam umat manusia ialah :

Pertama : Perasaan benci
Wahai orang-orang yang mulia,sesungguhnya rasa benci merupakan salah satu penyebab perpecahan di tengah – tengah keluarga ,kabilah mahupun bangsa .Ia adalah ‘pemangkas’ yang memangkas agama ,bukannya memangkas rambut di kepala.

Kebencian inilah yang akan merosakkan hubungan dengan kerabat.Kebencian akan membakar hati dan memutus jalinan persaudaraan.Firman Allah S.W.T ,

“Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan ? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka.”

( Muhammad : 22 – 23 )

Kedua : Sifat hasad dan dengki
Hasad dan dengki merupakan antara penyakit yang sememangnya wujud sejak zaman permulaan sejarah manusia di muka bumi ini lagi.Jika kita telusuri kisah bagaimana pembunuhan pertama di muka bumi antara Habil dan Qabil,maka kita akan temui,perasaan hasadlah menjadi puncanya.Allah S.W.T berfirman:

”Atau mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang Allah telah berikan kepadanya,”
( An-Nisa’ :54 )

Seorang penyair mengatakan :

Katakan kepada orang yang dengki kepadaku,
Apakah engkau tahu kepada siapa engkau berbuat jahat,
Sebenarnya engkau berbuat jahat kepada Allah

Kerana engkau tidak rela atas apa yang Allah berikan kepadaku
Maka ku ucapkan terima kasih kepadamu kerana pahalaku akan bertambah
Aku tidak perlu sibuk-sibuk meminta kepadamu,

Ketiga : Cinta Dunia
Cinta dunia adalah akar daripada setiap bentuk kesalahan.Kerana dunialah manusia begitu alpa dijerat lantas dihanyutkan arus jahiliyah yang tak kenal erti kasih dan sayang,yang tak kenal erti keletihan,yang tak kenal erti ketundukan kepada Rabb Yang Esa,yang tidak kenal sama ada yang tua atau muda dan kerana cinta dunialah manusia kian jauh serta lupa akan pertemuan dengan Rabb Pencipta Alam ini.


Firman Allah ,
” Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan ,perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak , seperti hujan yang tanaman –tanamannya mengagumkan para petani,kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.Dan di akhirat(nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keredhaanNya.Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu,”

(Al-Haj : 20)

Dalam satu riwayat menyatakan bahawa Nabi Nuh yang hidup selama lebih dari seribu tahun, ”Bagaimana kamu memandang hidup ini ?” Nabi Nuh lantas menjawab,”Aku melihatnya seperti sebuah rumah yang memiliki dua pintu,aku masuk dari pintu ini dan aku keluar dari pintu yang satunya lagi.”

Kadang-kadang kita hairan melihat insan-insan yang berlagak seolah-olah mereka akan kekal selamanya di muka bumi ini.Tanpa segan silu mereka melakukan maksiat,
melanggar segala larangan Allah S.W.T.Adakah mereka tidak sedar akan maut itu senantiasa mengekori mereka walau ke mana sahaja mereka pergi ,walau apapun mereka lakukan ,bisa sahaja maut itu menjemput tidak kira mereka bersedia atau tidak.Tidakkah mereka mengambil iktibar dari sekeliling mereka,maut menjemput tanpa mengenal usia ,yang sihat atau sakit ,yang kaya atau miskin ,pegawai kerajaan atau sekadar tukang sapu sampah.Sedarlah wahai insan,bangkitlah dari lenamu yang panjang,tunaikanlah kembali kewajipanmu sebagai hamba kepada Yang Maha Esa.

Keempat : Fanatisme kesukuan ( taksub )
Sikap fanatisme atau ketaksuban ini merupakan penyakit yang wujud sejak zaman era Arab Jahiliyyah lagi,ketika mana manusia diselubungi selimut jahiliyyah,mereka hidup berpuak-puak dengan rasa ketaksuban yang menebal kepada puak masing-masing.Penyakit ini bagaikan virus yang merebak dengan pantas sekali dalam diri individu-individu seterusnya berkembang kepada institusi keluarga dan akhirnya menjangkiti kehidupan masyarakat.

Penyakit yang hampir sahaja menghancurkan ketamadunan manusia pada suatu ketika dahulu, kini merebak kembali dan menjadi semakin parah.Kita lihat sahaja dari skop yang kecil,iaitu di negara kita sendiri.Sikap ketaksuban inilah yang menjadi barah dalam perpaduan umat Islam di negara kita ini.Kita lihat sahaja dari segi politik negara kita,bagaimana sikap ketaksuban terhadap sesuatu parti begitu menebal hinggakan boleh membawa kepada pergaduhan yang besar.Jikalau kita ingat pernah terpampang di akhbar bagaimana rumah tangga yang baru sahaja hendak didirikan hancur begitu sahaja gara-gara berbeza fahaman politik.Bagaimana perkara begini bisa terjadi ? Hanya kerana berbeza fahaman politik,kita sanggup bermasam muka sesama kita ,kita sanggup mengenepikan soal ukhuwah Islamiyah kerana Allah.

Wahai orang-orang yang berIman,yang menyembah Tuhan Yang Satu,yang berpegang kepada kalimah tauhid yang satu,ayuh,kembalilah kita bersatu,bersama-sama kita tegakkan kebenaran di muka bumi ini yang kian lama kian pupus dimamah arus jahiliyyah.

No comments:

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite