JADILAH HAMBA ALLAH YANG SEJATI

Dalam menyusuri hidup yang fana ini,ramai manusia yang lupa akan janji mereka kepada Rabb Pencipta mereka.......

Monday, July 26, 2010

Suatu Kedatangan


Sesuatu sedang menghampiri kita...



Ramadhan Al - Karim ......


Insya Allah , dalam masa beberapa hari sahaja lagi kita akan melangkah ke dalam suatu bulan yang penuh dengan barakahnya , penuh dengan hikmahnya , penuh dengan keberkatannya. Di waktu inilah , pintu Syurga dibuka dengan seluas - luasnya , pintu neraka ditutup serapat - rapatnya , dan para Iblis serta Syaitan laknatullah akan dilucutkan jawatan , ' digari ' dari mengganggu insan kecuali nafsu mereka sendiri.



Ramadhan Al – Karim ,

ibarat madrasah bagi mereka yang berIman, ibarat taman – taman bunga buat mereka yang mengabdikan dirinya hanya kepada Rabbul A’lamin. Di dalamnya terkandung pelbagai tawaran hebat yang disediakan oleh Allah S.W.T kepada para hambaNya. Pelbagai bekalan yang dapat 'dicedok' dalam bulan Ramadhan itu sendiri. Dikatakan di dalam sebuah hadis , andai kata sekelian umat manusia mengetahui betapa besarnya hikmah di dalamnya , nescaya mereka akan berdoa agar setiap tahun itu dijadikan bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan , di datangkan oleh Allah S.W.T dengan satu pakej yang lengkap. Pada siangnya kita diajar untuk berpuasa dan menahan diri dari lapar dan tuntutan hawa nafsu kita sendiri. Puasa ibarat perisai bagi diri orang mukmin dalam menangkis diri mereka dari fitnah dan kejahatan. Berbandingkan dengan amalan lain , puasa mempunyai kelebihannya tersendiri. Dari Abu Hurairah mengatakan , Rasulullah S.A.W bersabda ,

“ Allah telah berfirman : Tiap –tiap amal anak Adam itu adalah untuknya, kecuali puasa. Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang akan memberi balasan dengannya. Puasa itu adalah perisai , maka apabila seseorang dari kamu berpuasa janganlah dia menyentuh isterinya , janganlah dia mencaci maki , janganlah dia berkata tidak menentu dan janganlah kamu membuat hiruk pikuk . Maka sekiranya dimaki oleh seseorang ataupun diserangi dengan kata – kata kesat , maka hendaklah dia berkata “Aku ini berpuasa ” . Demi Allah yang diri Muhammad di dalam genggamanNya , sesungguhnya bau busuk mulut orang yang berpuasa di sisi Allah itu lebih harum dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa , dua kegembiraan akan dicapainya , yang pertama ketika dia berbuka puasa , dan yang kedua ialah waktu ia bertemu dengan Tuhannya . ”

Pada malamnya pula , kita dihidangkan dengan solat sunat Tarawih , mengajar kita agar sentiasa bersabar dan istiqamah dalam menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah.

Di samping itu , jika sama – sama dihayati iktibar dalam bulan ini , pasti kita akan menemui sirah dan peristiwa besar yang berlaku di bulan mulia ini. Ramadhan menjadi saksi keutuhan umat Islam berperang dalam peperangan Badar Al – Kubra , menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini di saat mereka berpuasa ,bertempur dengan penuh keImanan dan mencapai kemenangan. Di bulan barakah ini juga , peristiwa Nuzul Quran berlaku , iaitu penurunan Al –Quran sebagai panduan lengkap kepada umat manusia. Lailatul Qadar , suatu malam yang fadhilatnya lebih baik dari seribu bulan. Dijadikannya untuk umat Islam mengejar dan mencarinya sepanjang malam bulan Ramadhan. Masya Allah , betapa Pemurahnya Tuhan Sekelian Alam.

Perbanyakkanlah amalan kita sepanjang mengharungi madrasah Ramadhan ini, kerana ganjaran di bulan ini tidak ada lagi di bulan - bulan lain. Satu amalan sunat ibarat melakukan satu ibadat wajib , manakala satu amalan wajib dinaikkan kepada tujuh puluh amalan wajib. Sulamilah dengan bacaan Al –Quran , solat sunat , qiamullail , dan juga berzikir . Berdoalah agar kita mampu menggapai matlamat ketiga – tiga fasa di bulan ini , fasa pertama - rahmat , fasa kedua – keampunan dan yang terakhir adalah pelepasan dari azab neraka, dan tidak ada kejayaan yang lebih besar dalam kehidupan ini selain dari meraih Mardhotillah ( Redha Allah ).

Sama – samalah kita berdoa semoga Allah memberi kesempatan untuk kita bertemu semula dengan Ramadhan kali ini. Anggaplah bahawa inilah peluang terakhir kita untuk meraih semua ganjaran dari Allah dan sebagai mihrab penghapus dosa hamba yang lemah ini..Ameen


2 comments:

ONE_SYAIFUL said...

nice tazkirah.tq

sekudus hati said...

Jazakallah khair ya Akhi atas comment anta ....

bgsound src='http://www.4shared.com/Raihan_-_Tak_Selamanya.mp3 loop='infinite